JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Monday, March 2, 2009

Amalan Baik Penyebab Doa Dimakbulkan


Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Khattab ra berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah saw bersabda. "Suatu ketika dahulu sebelum kamu, ada tiga orang sahabat sedang berjalan-jalan dan berteduh di dalam sebuah gua. Tiba-tiba ada seketul batu yang bergolek dari atas bukit dan menutup pintu gua sehingga mereka tidak dapat keluar.

Salah seorang dari mereka berkata: Tidak ada apa yang boleh menyelamatkan kamu semua dari bencana ini kecuali dengan cara berdoa dan menyebut amalan-amalan soleh yang kamu lakukan.

Salah seorang dari mereka berdoa: ` Wahai Allah, saya mempunyai ayah dan ibu yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu kepada kedua-duanya dahulu sebelum saya memberi kepada anak-anak saya. Pada suatu hari saya terlambat pulang dari mencari kayu dan saya dapati kedua-duanya telah tidur. Saya memerah susu untuk minuman mereka. Saya enggan membangunkan mereka kerana mereka telah tidur dan saya berjanji untuk tidak memberikan susu tersebut kepada ahli keluarga saya yang lain mahupun anak-anak saya sebelum saya memberikannya kepada ayah ibu saya. Saya menunggunya hingga terbit fajar barulah kedua-duanya bangun sementara anak-anak saya menangis. Setelah mereka bangun kuberikan minuman susu kepada keduanya. Wahai Allah, jika amal yang ku lakukan ini semata-mata mengharapkan wajahMu (rahmatM
u) maka gerakkanlah batu yang menutup gua ini. `

Maka bergeraklah sedikit batu itu tetapi masih belum membolehkan mereka keluar dari gua itu.

Orang yang kedua pula merayu: ` Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai saudara sepupu perempuan yang sangat saya sayangi. Saya selalu memujuknya untuk melakukan zina tetapi dia selalu menolaknya. Selang beberapa tahun dia ditimpa kesusahan dan dia datang kepada saya meminta bantuan. Lalu saya berikannya 120 dinar, dengan syarat dia mahu berzina dengan saya. Kali ini dia berada dalam keadaan terdesak menyebabkan dia pun bersetuju. Ketika kami hampir-hampir melakukan perbuatan hina itu dia berkata kepada saya: `Takutlah kamu kepada Allah dan jangan kau rosakkan selaput daraku kecuali dengan cara yang benar`.Kemudian saya telah meninggalkannya sedangkan dia amat saya cintai dan saya redakan bantuan yang telah saya berikan kepadanya. Wahai Allah, jika saya membuat seperti itu dengan mengharapkan redaMu, gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.`

Maka bergeraklah batu itu sedikit lagi tetapi masih belum dapat melepaskan diri keluar dari gua itu.

Orang yang ketiga pula berdoa: `Wahai Allah, saya menggaji beberapa orang pekerja dan semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gaji itu saya laburkannya dalam sehingga menjadi banyak. Selang beberapa lama dia datang dan berkata, `Wahai hamba Allah, berikanlah gaji saya yang dahulu itu.` Saya berkata: ` Semua yang kamu lihat itu baik unta, lembu, kambing, termasuk budak yang mengembalakannya adalah gajimu. Dia berkata: `Wahai hamba Allah, janganlah kamu mempermainkan saya.` Saya menjawab: `Saya tidak mempermainkan kamu.` Kemudian dia mengambil semua tanpa meninggalkan sedikit sisa pun. Wahai Allah, jika saya melakukan semua itu kerana mengharapkan redaMu, maka gerakkanlah batu itu`

Akhirnya batu itu bergerak dan mereka dapat keluar dari gua tersebut.

Pengajaran dari hadis:

1. Kita digalakkan untuk sentiasa berdoa kerana doa adalah senjata orang mukmin.

2. Kita diharuskan berdoa dengan cara menyebut amal kebaikan ikhlas kita yang terbaik kepada Allah.

3. Keutamaan berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah amalan mulia mengatasi amalan yang lain.

4. Menepati janji adalah tanda kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.

5. Taqwa atau takut kepada Allah adalah faktor penyelamat mukmin dari azab neraka Allah.


Sumber: Petikan dari hadis2 Riwayat Bukhari.

3 comments:

Unknown said...

semuga hari ini dan seterusnya kita berberkatiNya cgu...N3 yg menarik.

Tirana said...

Terimakasih kerana berkongsi ilmu...


Asyiq, tiada yang istimewanya kak tirana untuk dikagumi...dan juga tiada rahsia..cuma minat...Kak tirana minat membaca dan menulis...

ASYIQ said...

Jinggo,

Amin...semoga kita sama-sama diberkati Allah. Itulah harapan tertinggi kita sebagai hamba Allah.

Kak Tirana,

Alangkah indahnya memiliki ilmu macam kak. Bak kata Luqmanul Hakim: "Carilah ilmu. Kalau kamu miskin, ilmu menjadi harta, kalau kamu kaya, ilmu sebagai perhiasan"

Semoga saya dapat kongsi ilmu kak sebanyak mungkin. TQ

Pengikut ASYIQ