JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Tuesday, March 31, 2009

April Fool???



Ikutilah cerita sedih di sebalik April Fool's Day sebagai renungan bersama. Setiap kali menjelang 1hb April, sesetengah orang kita begitu taksub dengan budaya 'pandang kebarat'.

Berbalik kepada perayaan April Fool's Day ini, adalah ia mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Setelah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada , Sepanyol, kerajaan Islam akhirnya runtuh diserang tentera-tentera Kristian.

Penduduk-penduduk Islam diSepanyol (Moors) terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha untuk menghapuskan orang-orang Islam dr Sepanyol.

Penduduk-penduduk muslim ini, diberitahu bahwa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang-barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh dipelabuhan. Orang-orang Muslim yang risau sekiranya tawaran tersebut merupakan suatu penipuan, telah pergi keperlabuhan untuk melihat kapal-kapal yang dimaksudkan.

Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokan harinya (1April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan menuju ke perlabuhan.

Pada masa inilah pihak Kristian mengambil kesempatan untuk menggeledah dan kemudian membakar rumah penduduk-penduduk Islam ini.

Mereka juga tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya dibakar. Pihak Kristian kemudiannya menyerang kaum muslim dan membunuh kesemuanya, lelaki, perempuan, serta anak-anak kecil. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian.

Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia.

Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri.

Semoga Allah sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

Petikan drpd Risalah Fikrah
Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu .....

Monday, March 30, 2009

Kita pun nak bahagia...



Jika aku memandang rendah kepadamu, bermakna ia adalah satu pengakuan
bahawa
aku pun bukanlah orang yang sempurna.

Ada dua sifat buruk yang merosakkan manusia secara dalaman iaitu sifat rakus dan tamak. Kedua-dua sifat buruk ini boleh diatasi dengan cara-cara yang berikut:

1. Berjimat-cermat, pandai berbelanja serta bijak mengurus kewangan. Orang yang gemar berbelanja akan menjadikan diri kita sentiasa rasa tamak dan bakhil. Catatlah wang keluar dan masuk kita supaya tidak terlebih berbelanja. Bahagikan secukupnya pada yang wajib menerima dan jangan lupa membahagikan wang kita untuk membantu orang yang sepatutnya. Kita akan rasa tenang dengan cara begitu....

Yakinlah bahawa wang yang kita belanjakan di jalan yang sepatutnya adalah harta yang akan menunggu kita di akhirat...wang yang kita simpan menimbun sehingga bakhil untuk membelanjakannya ke jalan yang sepatutnya, andainya kita meninggal dunia akan menjadi harta pusaka....silap2 waris2 akan bergaduh pula untuk mendapatkannya.


2. Jangan cemas dan gentar menghadapi masa depan. Kita memang banyak angan-angan tetapi kawallah dengan akal yang waras. Yakinlah bahawa jika sesuatu itu memang telah ditakdirkan untuk kita, maka dapatlah kita tetapi kalau sebaliknya, redhalah. Tidak perlu keluh kesah jika apa yang kita inginkan tak dapat. Mungkin ada rezeki lain yang lebih baik ditentukan oleh Allah suatu hari nanti. Allah lebih tahu adakah ianya wajar diberikan kepada kita ataupun tidak.


3. Meningkatkan ketakwaan kerana ketakwaan sahajalah yang membantu kita keluar dari kesusahan. Selalulah baca Surah at-Talak:2 atau dikenali sebagai ayat seribu dinar. Hayatilah maknanya. Jangan hanya menjadi perhiasan di dinding sahaja.


4. Redha dengan apa yang kita ada. Bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.


5. Perhatikan keadaan mereka yang kurang bernasib baik dari kita. Andainya kita memiliki sebuah kereta Toyota Vios janganlah dilihat pada mereka yang membawa kereta Mercedez C200. Keluh kesahlah hati kita....cuba tengok mereka yang membawa kereta yang lebih kecil dari kita....bersesak pula dengan anak dalam kereta. Jadi, dari situ muncullah perasaan tenang dan redha dengan apa yang kita ada.


6. Bacalah dan hayatilah perjalanan hidup para nabi dan orang-orang yang soleh....terutama dari sudut akhlak mereka, sifat rendah diri mereka, sifat qanaah mereka dan ketinggian kecintaan mereka dalam menyintai Allah.

Jika anda mampu membuat diri anda bahagia,
maka anda akan mampu melihat kebahagiaan kepada apa yang anda pandang.

Orang yang enggan mencari kebahagiaan,
sudah pasti ia sendiri bukan orang yang bahagia.

Orang yang paling bahagia ialah
orang yang dapat memberi kebahagiaan kepada orang lain.

Sunday, March 29, 2009

Lilin Hour..Torch Light Hour



Selepas Maghrib...kami anak beranak kelam kabut di dapur. Yang sulung tolong panaskan lauk siang tadi, yang tengah sibuk pula sediakan air minum di meja, siibu pula kelam kabut tumiskan sayur ...yang bongsu sibuk bertanyakan menu tambahan untuk makan malam sambil duduk menjenguk hidangan di atas meja.

"Kenapa nampak kelam kabut ni...?" tanya si bongsu.

"Nak makan cepat sikit...8.30 rumah kita dah bergelap" jawab si sulung.

"Ala....kita masih boleh pasang lilin. Ibu kata makan malam dengan lilin romantik ooooo", tingkah yang tengah.

"Tak boleh pasang banyak....sebatang lilin aje. Kalau idak tak ada maknenya" tegas si sulung.

Selesai makan malam, tepat jam 8.30, beserta dengan countdown dari TV3,....maka bergelaplah rumah kami. Hanya lilin aje yang terpasang...dan cahaya laptop ayahnya yang sedang melayari internet.

Kelam kabut si bongsu membuka pintu rumah untuk menyaksikan kawasan sekitar kawasan perumahan di situ. Si sulung dan si tengah pun join sekaki....

"Kenapa rumah Uncle ******* tak tutup lampu pun ibu? Dia orang tak tahu ke hari ni kena tutup lampu? Dia orang tak baca paper ke? Dia orang tak tengok TV3 ke???"

"Suruh dia orang pindah ke planet Marikh....duduk atas bumi tapi tak sayang bumi....????" tambah si sulung.

"Dia orang tak sokong la tu....kalau idak pun dia orang tu tak suka cahaya lilin...malap!" tingkah si ayah.

"Kan ke yang tak sokong tu TNB je ayah....orang lain kena sokong la...!!!!!" tambah si tengah.

Si ibu hanya senyum dan bermonolog...."asyik tengok Channel 201-20* setiap hari...mana tahu dah isi dunia apa jadi...gaduh2,cinta2,mabuk2...tu je dunia mereka." (rasanya pembaca dapat agak siapa Uncle ******* yang dimaksudkan oleh si bongsu.

Berpakaian tetapi telanjang..


Ceramah Maulidur Rasul telah diadakan di sekolah saya pada Khamis 26hb Mac yang lalu. Ianya telah dianjurkan oleh Kelab Warga Islam, bermula dengan solat zohor berjemaah sehinggalah solat asar berjemaah. Padat isi ceramah yang disampaikan oleh penceramah...namun begitu pada pagi Jumaat, rata-rata kelas yang saya masuk pelajar masih bertanyakan tentang salah satu isi ceramah yang berjaya memikat hati mereka.

Dalam sebuah hadis nabi yang mafhumnya menyebut tentang dua golongan yang mendapat laknat dari Allah, tidak akan berjaya memasuki syurga malah tidak berhak langsung mencium bau syurga iaitu golongan pemimpin yang zalim dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang....kasiatin `ariatin. Disebabkan ustaz penceramah menerangkannya secara umum (mungkin kerana dia `lelaki` dan rata-rata yang hadir adalah 99.99% perempuan) maka para pelajar saya memerlukan penerangannya secara terperinci.

Saya menerangkan kepada mereka mengikut ilmu yang saya ada...walaupun pada saya perkara ini kekadang memang ada saya jelaskan kepada mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya hari2. Dengan harapan dan doa moga mereka menerimanya dengan petunjuk dan hidayah Allah. Harus diingatkan juga memberi penerangan kepada mereka mestilah secara praktikal beserta contoh kerana pelajar-pelajar ini dari golongan yang bijak pandai.

Antara ciri-ciri kasiatin `ariatin (berpakaian tetapi telanjang) dalam hadis tersebut:

Pertama: Mendedahkan aurat (tidak menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan)
-tidak memakai tudung
-memakai t-shirt lengan pendek
-memakai seluar pendek

Kedua: Memakai tudung tetapi tidak sempurna
-memakai tudung yang terlalu pendek hingga menampakkan susur galur leher dan buah dada.
-memakai tudung yang hanya dipinkan di bawah dagu sedangkan seluruh leher dan dada terdedah
-memakai tudung yang masih menampakkan sebahagian rambut walaupun sedikit
(tidak memakai serkup)

Ketiga: Memakai tudung yang terlalu nipis
-tudung yang terlalu nipis hingga menampakkan sebahagian besar rambut mereka
-boleh nampak rambut lurus atau kerinting
-boleh nampak bayangan leher samada berkulit putih atau berkulit gelap
(**sebagai orang islam, memakai tudung mengikut trend dibolehkan tetapi kena ada ilmu
untuk memilih yang mana sesuai atau tidak dengan hukum syarak, bukan semuanya sesuai)

Keempat: Memakai pakaian yang terlalu ketat
-T-shirt yang terlalu ketat sehinggakan menonjolkan bentuk2 badan wanita
(sila rujuk www.brotherhoodarts.com untuk mendapatkan t-shirt yang sesuai untuk muslimah)
-seluar panjang yang terlalu ketat
-baju yang pendek, tidak melepasi paras punggung.

Nampak riak puas di wajah mereka dengan penerangan saya....namun begitu ada juga yang menarik muka dan berbisik sesama rakan mereka. Terpulanglah...yang penting saya sudah menyatakan yang hak. Di akhirat nanti bukan ditanya pun berapa orang yang mengikut nasihat kita tetapi ditanya sudahkan anda memberi peringatan atau tidak kepada mereka.

Namun begitu...saya ingat pesanan salah seorang pensyarah saya semasa di universiti. "Dalam menyatakan kebenaran jangan sedih seandainya orang yang kita nasihati tidak mendengar cakap kita sewaktu itu kerana mungkin suatu hari dia akan mengamalkannya tanpa pengetahuan kita. Yang penting sampaikan nasihat tanpa rasa prejudis, penuh kasih sayang (jangan menghina) dan doakan yang terbaik untuk mereka." Saya sentiasa ingat pesan itu...dan saya pasrah.

Thursday, March 26, 2009

Peringatan buat hati yang lupa...


Gemersik lagu Munajat berkumandang apabila aku mula membuka blog ini .....sengaja aku kuatkan supaya syahdunya menusuk ke dalam kalbu. Entah kenapa hati rasa begitu tersentuh dengan alunan lagu ini.....terbit airmata satu persatu...laju membasahi pipi.

Tuhan....
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan pengharapan..

Tuhan....
Ku sembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan

Terasa benar hati saya kosong....benarkah aku rindu padaMu Allah? Benarkah aku sudah betul2 insaf di atas semua dosa dan kesilapan yang pernah aku lakukan??? Apa pula pengorbanan yang selama ini telah aku lakukan untukMu????Betulkah aku betul2 cinta kepadaMu???? Terasa diri terlalu kerdil untuk menjawab semua persoalan tadi. Rasa malu menebal di dalam jiwa......

"Jangan sekali-kali membiasakan diri dengan sifat suka bertekak dan terbabit dalam perbincangan yang tidak ada hujung pangkalnya tentang sesuatu masalah yang hanya bersifat mungkin. Hal ini akan membuat hati menjadi sempit dan nurani menjadi kotor. Janganlah anda memaksa orang lain menerima pendapatmu dengan cara keras. keluarkanlah ideamu dengan santun, tenang, tidak tergesa-gesa dan jauhi dari mengumpat dan mencela yang lain"

Terpukul rasanya membaca tazkirah yang aku baca dari buku "Be A Happiest Woman" karya Dr ``Aidh Abdullah Al-Qarni. Memang kena sungguh dengan diri aku...namun aku bersyukur kerana tatkala aku memerlukan makanan rohani, kebiasaannya buku yang aku baca memang sesungguhnya merawat apa yang sedang aku hadapi. Banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Syukur Ya Allah....nikmat terbesar yang diberikan kepada hambaNya ialah rezeki untuk bertaubat dan berubah....aku sambung lagi bacaanku.

"Sikap suka membantah dan banyak mengkritik tidak mendatangkan sebarang kebaikan buat anda. Hal itu akan menjadikan ketenangan hatimu hilang dan menjadikan penampilan dan imejmu akan tercemar. Ucapkanlah kalimah yang sopan dan penuh cinta jika kamu ingin menarik hati dan jiwa orang lain."

"Perbuatan yang sentiasa mendatangkan kesedihan dan kegundahan adalah menganggap orang lain tidak ada, menekan mereka, mencela mereka dan meremehkan mereka. Hal2 tersebut dapat menghilangkan pahala, dapat mengumpulkan dosa untukmu dan menimbulkan perasaan tidak tenang."

"Sibukkanlah dirimu dengan membetulkan aibmu berbanding aib orang lain. Sesungguhnya Allah tidak menciptakan kita sempurna dan terpelihara dari dosa. Setiap kita pasti menanggung dosa dan aib sendiri. Berbahagialah mereka yang sibuk memperbaiki diri sendiri berbanding sibuk memerhatikan aib orang lain"

Jika anak kecil jatuh dari tempat yang tinggi,
siibu tidak sepatutnya membuang masa menangis dan berteriak.
Tetapi yang perlu dilakukan ialah membalut lukanya secepat mungkin.

Dan aku terus memetik jari jemariku di blog kesayanganku ini...dengan harapan orang di luar sana yang sama keadaannya dengan aku tatkala ini akan turut berkongsi rasa dan terubat jua.....itulah matlamat utama aku di sini. Berkongsi dan menerima....semata-mata keranaNya.


Monday, March 23, 2009

Apa itu Kalamun Nafsi??

Ada seorang saleh yang sangat patuh pada perintah Allah dan Rasulnya. Dia sentiasa beramal dan sentiasa menjaga dirinya dari segala rupa maksiat dan keburukan. Namun begitu pada suatu malam dia terlintas untuk melakukan zina dengan seorang wanita yang cantik dan jelita.

Di dalam rumahnya ketika itu terdapat sebuah pelita sumbu...menyala terang menyinari segenap penjuru rumahnya. Kemudian dia menajamkan penglihatannya kepada api pelita yang menyala-nyala itu....seraya berkata di dalam hatinya....."engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah, aku akan letakkan jariku ini di atas api pelita yang menyala ini, kiranya aku tahan panasnya nescaya aku akan turutkan kemahuan itu..."

Nyata sekali tak sampai beberapa saat dia telah kesakitan menahan sakit. Jarinya merah kepanasan. Lalu segera ia berteriak kepada dirinya sendiri, " Wahai jiwa, rupanya engkau tidak tahan walaupun ianya hanya sedikit dari kepanasan dunia. Padahal api dunia itu telah disejukkan sebanyak 70 kali ganda agar manusia dapat bertentangan dengannya. Kalau hanya menghadapi api dunia pun tak tahan, bagaimana untuk kamu menghadapi api neraka yang panasnya 70 kali ganda lebih dahsyat dari api dunia.!"

Lalu orang saleh itu pun berpalinglah dari niatnya untuk berzina dengan wanita tersebut kerana hatinya takut dengan balasan azab neraka Allah.

Asyik: Cerita ini penuh teladan. Orang saleh ini sebenarnya ada "kalamun nafsi" dalam diri dia. Apa dia "kalamun nafsi". Ianya adalah kata-kata halus dalam diri kita yang bersulamkan ilmu yang benar...ataupun disebut sebagai lintasan hati yang baik.

Apabila kita hendak melakukan sesuatu...berperang dalam jiwa kita antara lintasan nafsu dan lintasan iman. Yang satu menarik untuk kita melakukan kesalahan dan yang satu lagi menolak kita untuk menjauhinya. Inilah yang dinamakan "kalamun nafsi"

Bila kita nak menipu kita terus terfikir...yang nak jawab di akhirat esok bukan mulut kita tetapi anggota badan dan kulit yang lain. So, apa nak jawab depan Allah??? Itulah "kalamun nafsi"

Bila nak excuse dari tanggungjkawab di pejabat...terus terfikir bahawa segala-galanya akan dihitung dan dinilai dengan adil oleh Allah di Padang Mahsyar....boleh ke kita lari??? Itulah "kalamun nafsi"

Bila nak membuka aurat...terus terfikir sanggupkah kita berada di dalam neraka untuk membayar balik perbuatan kita itu kelak. Itulah "kalamun nafsi"

Masalahnya di sini...kalau ilmu kita kurang, "kalamun nafsi" kurang berfungsi. Jadi nak dapatkan "kalamun nafsi" kena ada ilmu, amalan dan kesungguhan. Moga2 sama2 kita mendapat manfaat.


Sunday, March 22, 2009

Ingat Allah ke tidak???



Manusia selalu lupa nak berterima kasih??? Kalau berdoa, macam-macam kita minta. Tetapi andai kita dapat apa yang kita mohon, kekadang kita lupa untuk berterima kasih. Amat pelik di negara kita melihat orang melakukan sujud syukur sebaik sahaja menerima berita baik. Contoh yang paling sering dilihat...dapat keputusan peperiksaan 10A1...menjerit,melolong,melompat...kekadang lafaz alhamdulillah pun tak terkeluar. Walhal sebelum peperiksaan...sembahyang hajat, baca yaasin dan macam-macam lagi telah dibuat. Bila dah makbul...lupa pulak nak berterima kasih. Mungkin dah lama melompat dan menjerit barulah keluar perkataan...syukur. Sayalah tu..orang lain mungkin tak macam tu.

Rahmat apakah yang perlu kita syukuri????Ada makanan dalam peti sejuk, ada tempat untuk tidur,maka bersyukurlah kerana kita antara yang lebih beruntung dari 65% penduduk di dunia ini.

Jika kita mempunyai wang di bank, di dompetmu dan masih mempunyai wang baki maka bersyukurlah kerana kita berada di antara 8% yang memiliki kesejahteraan di dunia.

Jika kita tidak pernah mengalami ketakutan dalam perang, kesepian dalam penjara, kesengsaraan penyeksaan, kelaparan yang amat sangat maka bersyukurlah kerana kita lebih beruntung dari 7 ratus juta orang di dunia ini.

Jika kita menghadiri masjid dan majlis agama tanp ketakutan,penyerangan,penangkapan
atau kematian maka bersyukurlah kerana kita lebih beruntung dari 3 juta orang di dunia ini.

Marilah kita latih diri kita untuk mengucapkan syukur dengan apa yang kita ada. Walau hanya sedikit tetapi banyak sebenarnya jika dibandingkan dengan orang yang tiada.

Di dalam Surah Ar-Rahman, Allah mengulang-ulang perkataan berikut sebanyak 31 kali.

"Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?"

*****Dipetik dari Majalah Midi-1 Mac 2009-ms 107.*****


Saturday, March 21, 2009

"Ikut apa yang dia buat.."



Kisah ini berlaku pada zaman dahulu...di Malaysia la tetapi tak tahu di daerah mana. Masa Islam mula nak bertapak di negara kita. Kira-kiranya ni kisah pendakwah dulu-dulu la...masuk kampung berdakwah kepada orang ramai.

Dalam sebuah kampung terpencil yang didiami lebih kurang 20 buah rumah....datanglah seorang tok guru yang bernama Haji Brahim untuk menyampaikan ceramah fardhu ain. Disebabkan keadaan penduduk kampung yang tidak menerima pendidikan formal maka susahlah sikit Haji Brahim nak menyampaikan ilmunya.....semua serba tak faham. Mengajar bab sembahyang pun dah berhari-hari. Disebut ini tak faham...disebut itu pun tak faham.

Maka (macam cerita dulu-dulu pulak...) Pak Brahim mendapat satu idea....mengajar hendaklah secara praktikal atau amali supaya mudah faham. Kata Pak Brahim....."macam inilah...nak tahu macam mana cara sembahyang yang betul...ikut saya sembahyang."

Pak Brahim pun menyusun saf solat berjemaah. Dia sebagai imam. Waktu itu ialah solat asar berjemaah. Pak Brahim mengangkat takbir...."Allahu akbar!" Semua jemaah mengangkat takbir mengikut cara Pak Brahim. Dalam hati mereka ingat sungguh...."ikut apa yang dia buat!"

Pak Brahim yang sudah agak uzur terbatuk-batuk semasa membaca surah Al-fatihah. Apa lagi...semua jemaah turut terbatuk-batuk. Macam2 bunyi ada...bunyi burung ada, bunyi katak ada, bunyi kucing ada, (maklumlah bunyi batuk yang dibuat-buat) sampai macam bunyi harimau mengaum pun ada.

Pak Brahim jadi takut...sembahyangnya jadi tak khusyuk. Kampung pedalaman macam ni memang semua ada...anak harimau ke, bapa harimau ke, datuk harimau ke semua ada. "Nanti tak pasal2 aku jadi mayat kat sini..." kata Pak Berahim dalam hati.

Apa lagi...Pak Berahim pun terjun ikut tingkap depan surau, berdekatan dengan tempat imam berdiri yang digantung dengan sebiji gadang untuk halang tempias hujan. (Tau ke gadang tu apa???? Macam nyiru padi tapi bentuknya bulat.) Pak Brahim terjun ikut tingkap itu dan langgar gadang yang tergantung tadi dan entah macam mana kepalanya terpelosok ke dalam gadang tersebut. Pak Brahim cabut lari sekuat hati dan dalam hatinya tetap berdoa...."Ya Allah, selamatkan aku daripada dibaham dek bapak rimau .....". Gadang tadi masih melekat di kepalanya.

Jemaah tadi juga bertempiaran lari....masing2 lari ke rumah masing2 mencari gadang. Dipelosoknya juga gadang mereka di kepala masing2. Dalam hati mereka tetap ingat sungguh pesan tok guru mereka...."ikut apa yang dia buat!" Mereka lari mengikut Pak Brahim menuju ke sebuah tanah sawah di pinggir kampung. Di tepi sawah ada sebuah anak sungai yang jernih airnya.

Pak Brahim yang tercungap2 berlari berhenti sekejap di tepi anak sungai untuk melepaskan lelah. Apabila sudah pasti harimau tadi tidak mengejarnya...Pak Brahim terus duduk sambil meminum air sungai untuk menghilangkan dahaga. Dari jauh riuh rendah orang kampung mengekori Pak Brahim. Apabila mereka tiba di tempat Pak Brahim duduk......seorang dari penduduk kampung menjerit......"beratur balik, beratur balik, duduk dalam saf masing-masing"

Semua beratur balik dalam keadaan tercungap-cungap dan gadang tetap maintain di kepala masing2...dan semuanya duduk berbaris dalam saf dan duduk ikut gaya Pak Brahim.

Salah seorang dari mereka bertanya, "Udah siap ke tok guru sembahyang kita???"

Pak Brahim yang masih semput hanya menganggukkan kepala. Terkejut besar juga dia melihat keadaan orang kampung.

Mereka menambah, "Tak ada ke cara lain nak sembahyang????? Penat beno rasenya...."


Asyiq: Watak dalam cerita bukan watak sebenar. Tidak ada kaitan dengan yang hidup atau yang sudah meninggal dunia. Cerita ini adalah cerita warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi...dari atuk saya kepada bapa saya...dari bapa saya kepada saya.....dan dari saya kepada anak2 saya.....dan sekarang kepada rakan blogger semua. Apa kata anda??

Friday, March 20, 2009

Kisah Rasulullah lagi....


Nabi Muhammad sewaktu kecil, baginda tidak nakal seperti kanak-kanak sekarang. Baginda dipelihara bersama oleh para malaikat. Maruah dan akhlaknya dipelihara kerana baginda lelaki terpilih yang akan membawa risalah Islam ke seluruh alam. Pernah sekali baginda berhajat untuk menanggalkan baju ketika bermain tetapi ditegah oleh malaikat. Demikianlah kiranya maruah baginda dipelihara dan terpelihara.

Asyiq: Kalaulah kita dapat didik anak kita sebegini alangkah bagusnya. Selalulah bercerita kepada anak-anak kita tentang Rasulullah yang tidak pernah bergaduh, tidak pernah menipu, tidak pernah menyakiti hati......moga-moga anak kita akan ingat dan diberi hidayah serta dapat melembutkan hatinya.

Baginda seorang lelaki yang berkening lebat dan matanya memang tersedia bercelak. Baginda berkulit putih dan rambutnya panjang di paras bahu. Jalannya tegap dan agak condong ke hadapan. Cara berjalannya agak laju menunjukkan sifatnya yang tidak suka berlengah.

Akhlak baginda juga amat disenangi oleh orang lain. Baginda tidak akan mula bercakap kecuali apabila telah selesai sahabatnya bercakap (tidak suka menyampuk). Apabila orang yang dilawannya bercakap sedang duduk, baginda juga akan duduk. Itu tanda baginda menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Akhlaknya yang mulia amat disenangi oleh seluruh penduduk Mekah sehingga baginda digelar sebagai al-Amin.

Asyiq: Untuk menjadi seorang pemimpin kita kena mempunyai ketrampilan dan akhlak yang baik. Amat payah nak meniru ni...tetapi kita cubalah yang sebaik mungkin.

Ketika remaja, sesudah kewafatan datuknya baginda tinggal dengan Abu Talib, bapa saudaranya yang juga mempunyai ramai anak. Kerana simpati dengan kesusahan Abu talib baginda bekerja sebagai pengembala kambing. Baginda seorang remaja yang sedar diri kerana hidupnya sekadar menumpang kasih sayang orang lain. Menjadi seorang pengembala kambing mengajar baginda menjadi seorang yang sabar dan tabah kerana kambingnya sifatnya memang degil dan tidak mahu mendengar kata. Didikan seperti ini juga diterima oleh nabi-nabi lain yang juga bekerja sebagai pengembala kambing.

Asyiq: Anak-anak kita juga perlu diajar susah. Jangan diikut semua kata-katanya walaupun ibu dan ayahnya seorang yang mampu memenuhi semua impiannya. Berilah sebab dan alasan yang kukuh kenapa kita tidak perlu membeli itu...membeli ini. Hanya yang penting dan berkenaan sahaja yang kita turuti kehendaknya....ini cadangan ustaz. Apa pendapat pembaca sekalian?

Selepas itu baginda bekerja sebagai pembantu Khadijah bagi memperdagangkan hasil dagangannya di Syam bersama seorang orang suruhan Khadijah yang bernama Maisarah. Jangan silap faham...Maisarah bukan wanita tetapi seorang lelaki. Upah yang disaran oleh Khadijah pada asalnya dua ekor unta jika hasil dagangannya laku...tetapi atas permintaan Abu Talib dan kerelaan Khadijah sendiri upahnya dinaikkan kepada lima ekor unta. Ini disebabkan oleh kejujuran Nabi Muhammad sementelahan pula hasil dagangannya juga laris.

Asyiq: Apabila kita menggaji orang, berilah upah setimpal dengan kerja dan akhlaknya. Tambahlah gaji yang setimpal kepada pembantu rumah kita sekiranya dia dapat menjalankan tugas dengan baik dan penuh amanah...ditambah pula dengan akhlak yang baik.

Maisarah yang menyarankan Khadijah supaya menikahi Nabi Muhammad. Khadijah bersetuju dan meminta Maisarah meminangkan Nabi Muhammad untuknya. Maka, berkahwinlah Khadijah dan Nabi Muhammad yang beza umurnya 15 tahun. Khadijah berumur 40 tahun dan baginda berumur 25 tahun ketika mereka berkahwin.

Asyiq: Lelaki memang suka wanita yang matang ye....sebab itulah sekarang ramai lelaki pilih wanita yang sudah berumur (dalam beberapa kes sahaja la, di kalangan artis pulak tu...jangan silap faham.) Sejauh mana kebagusannya...hanya orang-orang berkenaan sahaja yang tahu. Yang penting, umur muda tetapi matang...itu lebih baik kan?

Khadijah adalah isteri yang terlalu baik dengan rasulullah. Ketika baginda pergi berkhalwat (bersendirian) di Gua Hira` kerana tidak tahan melihat kemaksiatan yang berlaku berleluasa di bandar Mekah, Khadijah dengan rela hati dan sabar memanjat anak bukit berbatu menghantar makanan untuknya. Sebab itulah Rasulullah tidak berkahwin lain ketika Khadijah masih hidup. Hidup bersama Khadijah juga dikurniakan tujuh orang anak, 3 orang lelaki yang meninggal ketika kecil dan 4 orang anak perempuan yang sempat membesar dan berkahwin. Anak perempuannya juga meninggal lebih awal dari Rasulullah kecuali Saidatina Fatimah. Anak bongsunya ini meninggal ketika berusia 28 tahun.

Asyiq: Kekadang saya time suami demam, nak bawa makanan sampai ke dalam bilik pun berkata-kata....usah kan nak panjat anak bukit berbatu macam Khadijah. Jauhnya sifat beliau dengan saya...macam langit dengan bumi. Kekadang banyak pula persoalan saya tentang apa2 yang berlaku tentang dia...balik rumah lambat sikit pun kena bersoal jawab. Memang jauh....moga masih ada ruang untuk saya berubah.

Asyiq: Dipetik dari siri ceramah-ceramah agama RTM Ipoh, Perak.


Thursday, March 19, 2009

Anak-anak itu......

Entah apa pulak mood hari ini....tengok album2 dalam My Pictures, hati tertarik dengan gambar2 budak2 kecik ni. Apa salahnya nak letak la dalam blog ni sebagai kenang2an......
Dalam family saya, saya anak bongsu. So anak2 buah dah ramai yang besar panjang. Dah ada dua orang yang sudah kahwin dan ada anak. Kiranya saya ni bukan mak su lagi...tapi opah su...alahai. Terasa benar tuanya. Ni yang tak berapa suka jumpa dia orang ni...mujur anak dia orang baby lagi...tak pandai lagi nak panggil `opah su`...he he.

Ini cucu abang saya yang kedua...abang Fuad. Hasil perkahwinan anak dia Safura dan Osman maka lahirlah...Ammar Zariff. Alahai, nama bebudak sekarang. Nak tergeliat lidah menyebutnya. Anak engineer ni....besar esok nak jadi apa la agaknya ye Zariff??Ini cucu kesayangan abang Fuad dan Kak Sofiah...opah dan atuknya asyik ke Rawang je sekarang...apa lagi, rindu kat cucu.

Ini pulak cucu kakak ketiga saya, Kak Ton. Ini anak doktor...emaknya Nor Adilah dan ayahnya Khairul Aswadi. Dia orang sekarang tinggal di AU5, Lembah Keramat. Namanya Ahmad Dani Ilham....cool aje, suka senyum dan boleh dikendong oleh sesiapa sahaja. Putih melepak orangnya...tak padan dengan lelaki. Malangnya dia ni tak ada atok, arwah suami Kak Ton dah meninggal dunia tahun 2006 yang lalu....sakit kanser usus. Walau bagaimana pun, dia ni ramai atok...atok su, atok cik, atok anjang, atok ateh, atok ngah...dan ramai lagi la. So....dia tetap dikelilingi oleh atok`s` yang menyayanginya.


Haaaa.....yang ini lagi istimewa. Ini anak saudara bongsu saya...anak abang Nizam dan Hanita. Dialah cucu bongsu opahnya. Setelah abang saya dikurniakan empat orang anak perempuan berderet-deret akhirnya dapatlah seorang anak lelaki tunggal....Umar Taufik nama dia. Orangnya juga cute, suka didampingi dan paling istimewa ada tanda tu di mukanya....mesti ada tuah dia ni. Tunggu la besar nanti.

Kalau keluarga kami berkumpul....ketiga-tiga inilah yang mewarnai suasana. Dia orang ketawa pun comel, menangis lagi la comel. Dan anak2 dara yang lain semua mengerumuninya.....
Itulah kehidupan. Dunia tak akan ceria tanpa gelak tawa kalian......

Anak2 buah selalu mengusik saya...mak su bila lagi nak tambah bilangan cucu opah???? InsyaAllah kalau ada rezeki....doa-doakan. Tapi malulah......dah ada cucu pun nak beranak lagi ke???? Opsssss!


Halimatus Saadiah

Sebaik sahaja Nabi Muhammad dilahirkan, seluruh keluarganya bergembira dan ramai-ramai datang menziarahi baginda. Salah seorangnya ialah seorang gadis sunti yang berumur 15 tahun. Sambil mendukung bayi yang sihat dan comel itu beliau berkata "alangkah indahnya kalau aku dapat memelihara bayi ini". Terbukti bahawa niatnya itu termakbul apabila gadis sunti tadi apabila melewati umur 40 tahun telah berkahwin dengan baginda Rasulullah saw, dialah isteri pertama Rasulullah, Khadijah. Itulah tanda-tanda awal keberkatan seorang nabi.

Setelah baginda dilahirkan, baginda disusui oleh Ummu Aiman sementara menunggu kumpulan orang kampung dari Bani Saad datang untuk mengambil upah menyusu bayi. Setelah beberapa hari, tibalah rombongan dari Bani Saad. Kumpulan ini kebiasaannya mencari anak orang kaya-kaya untuk diambil menyusu kerana kebiasaannya upahnya tinggi. Baginda Rasulullah adalah anak yatim....bukan di antara pilihan utama mereka.

Unta yang dinaiki oleh Halimatus Saadiah adalah seekor unta yang telah uzur. Jalannya juga perlahan. Dia merupakan orang terakhir yang sampai di Mekah ketika itu untuk mencari anak susuan. Disebabkan tiada lagi orang lain...Halimatus Saadiah terpaksalah menerima bayi Siti Aminah walaupun dia sedar anak yatim yang disusui upahnya tidak seberapa. Tetapi dia redha dengan rezekinya.

Tanpa diduga Halimatus Saadiah rupanya mengambil upah untuk menyusu seorang lelaki agung pilihan Allah. Atas keberkatan baginda Rasulullah, unta yang pada asalnya sangat uzur dan berjalan perlahan bertukar menjadi cergas dan pantas. Air susu Halimatus Saadiah juga bertambah banyak kerana pada asalnya sebelah daripada susu beliau pada asalnya tidak mengeluarkan susu. Begitu juga hasil tanaman yang diusahakan oleh suaminya juga subur dan memperolehi hasil yang lumayan.

Inilah berkatnya kita redha dengan apa yang kita ada. Bersyukur dan redha akan membuahkan keberkatan dalam hidup. Bagaimana kita hendak mencapai keberkatan hidup dalam dunia sekarang.? Rahmat Allah dan keberkatan Allah akan lahir apabila kita berusaha untuk mengamalkan amalan-amalan baik walaupun sedikit tetapi berterusan. Inilah yang dinamakan `amalan soleh`. Mulakan sesuatu dengan bismillah dan doa adalah amal soleh, melakukan solat sunat adalah amal soleh, menolong orang ketika susah adalah amal soleh, hadir ke kuliah ilmu adalah amal soleh, menghulurkan derma dan sedekah adalah amal soleh hatta memberikan senyuman pun adalah amal soleh. Kesimpulannya berbuat baik dengan ikhlas dan berterusan adalah amalan soleh....apa tunggu lagi. Lakukanlah perubahan.

Orang-orang dari bandar yakni Mekah sudah menjadi adat dan kebiasaan mencari ibu susuan untuk anak mereka. Mereka memilih orang-orang dari kawasan kampung dan pedalaman atas beberapa sebab. Antaranya orang kampung sihat kerana faktor makanan dan keadaan cuacanya yang segar, mempunyai akhlak yang terpuji kerana jauh dari gejala tidak sihat di bandar serta mengamalkan budaya hidup yang murni.

Menyusu anak juga adalah amalan soleh. Untuk menyusu anak secara intensif perlukan komitmen dan niat yang betul. Menyusu anak juga perlukan disiplin yang tinggi. Islam mengajar kita menyusu anak dengan cara duduk dan meriba anak, bukan dengan cara lain seperti sambil berbaring dan sebagainya. Menyusu anak dimulakan dengan susu sebelah kanan dan disertakan dengan bismillah. Sepanjang menyusu anak, di dalam hati ibu doakan yang terbaik untuk anak sambil mengusap kepalanya. Buatlah sebegitu sehingga anak berumur dua tahun. Kalau ada niat yang baik, insyaAllah susu akan banyak dan anak pun akan suka menyusu walaupun bagi seorang ibu yang bekerja. Saya mengamalkan pesanan ini...dan ketiga-tiga anak saya menyusu badan sehingga berumur dua tahun walaupun saya merupakan ibu yang bekerja. Alhamdulillah.
Menyusu badan juga adalah salah satu cara untuk menjarakkan kehamilan secara biologi. Syaratnya perlu ada komitmen, disiplin, doa dan niat yang betul. Itu penting.

Asyiq: Petikan di atas diambil dari salah satu siri ceramah agama di RTM Ipoh setiap pukul 6.30 sehingga 7.00 petang setiap hari. Ceramah di atas sempena Maulidur Rasul yang juga disampaikan oleh Ustaz Khazim Elias al-Hafiz.

Wednesday, March 18, 2009

Wasiat Rasulullah Untuk Wanita 1


Asyik terpanggil untuk menulis entry ini setelah balik dari menghadiri satu ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Mohd Khazim Elias Al-Hafiz. Asyiq tertarik dengan salah satu kenyataan ustaz yang berbunyi:

"Menyambut Maulidur Rasul bukan sekadar perit tekak untuk melaungkan selawat ke atas baginda s.a.w. Menyambut Maulidur Rasul perlu disertakan dengan perubahan2 yang bersungguh-sungguh tentang pengamalan sunnah Nabi dalam kehidupan kita. Cuba ditanya kepada jemaah wanita di belakang sana.....berapa orang yang telah dan sedang berusaha untuk merealisasikan amanat dan sunnah Nabi berkaitan dengan wanita????? Kalau ada pun mungkin sedikit....???? Fikir-fikirkan..!!!!"

Terpukul sungguh hati saya dengan soalan ustaz itu....merenung ke dalam diri sedalam-dalamnya. Memang diri kurang berjihad ke arah itu. Hakikatnya begitu.....

When a Winner make a mistake, he says ,”I was wrong”
When a Loser make a mistake, he says ,”It wasn’t my fault”

"So, kenalah saya menyalahi diri ini untuk menjadi 'Winner'...!!!!"

Balik ke rumah terus capai sebuah buku di dalam almari....."111 Wasiat Rasulullah Untuk Wanita Solehah" Banyak ni...entah berapa dah yang saya amal tak tahulah. Marilah sama2 kita lihat beberapa wasiat Rasulullah tersebut. Saya hanya pilih beberapa yang penting dulu...untuk yang lain akan saya sambung dalam entry2 yang akan datang. Biar sedikit asal kita amalkan ye...InsyaAllah.

1. Taat kepada suami

"Sesungguhnya seorang isteri belum dapat dikatakan telah menunaikan kewajipannya Allah sehingga ia menunaikan kewajipannya terhadap suami seluruhnya. dan jika suami memerlukannya sedangkan dia ketika itu sedang berada di atas kenderaan, maka tidak boleh dia menolaknya" Hadis riwayat Thabrani

"Jika seseorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya dari mengerjakan perkara haram dan dia taat kepada suaminya, maka dia akan dipersilakan masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang dia suka"
Hadis riwayat Ahmad dan Thabrani


Di dalam sebuah riwayat diterangkan, sesungguhnya telah terjadi di zaman Rasulullah seorang
suami yang pergi berperang meninggalkan isterinya. Ketika meninggalkan rumah dia berpesan,"Jangan kamu meninggalkan rumah sehinggalah aku balik dari berperang"

Pada waktu suami tidak ada di rumah, si ibu kepada si isteri telah jatuh sakit. Maka si isteri tadi mengutus seorang utusan untuk bertanya kepada Rasulullah untuk meminta izin melihat ibunya. Jawab Rasulullah: "Tunggulah sehingga suamimu pulang"

Akhirnya ibu kepada si isteri tadi meninggal dunia. Maka si isteri tadi mengutus lagi seorang utu
san untuk bertanya kepada Rasulullah untuk meminta izin menziarahi jenazah ibunya. Jawab Rasulullah: "Tunggulah sehingga suamimu pulang"

Setelah itu Rasulullah pula mengutus seseorang untuk mengkhabarkan bahawa Allah telah mengampuni dosa orang tuanya (si ibu yang telah meninggal dunia) disebabkan ketaatannya kepada suaminya.

Pengajaran dari hadis tadi: Seorang wanita yang solehah itu ialah wanita yang telah sanggup meletakkan sesuatu pada tempat yang benar. ertinya jika kita sudah bersuami maka yang paling berhak ke atas dirinya adalah suaminya, melebihi dari ibu bapanya serta keluarganya yang lain.

Asyiq: Perkara sebegini mungkin dah payah nak berlaku....walau di mana sahaja kita berada telefon bimbit adalah penghubung kita dengan suami.Mintalah kebenaran. Biasanya kita dengan suami dah ada MOU tentang keizinan untuk keluar rumah...setakat mana bidang kuasa yang diberikan pada kita, gunakanlah...jangan melampaui batas sudah lah. So memang tiada perkara yang halang kita untuk taat kepada dia asal tidak menyalahi syariat.

2. Selalu menyenangkan hati suami

Mari kita contohi akhlak isteri pertama Rasulullah yang paling disayanginya...iaitu Khadijah r.a. Dia menjadi tulang belakang suaminya dalam memberi semangat dan kekuatan menjadi pendakwah Islam ketika itu. Dia selalu berusaha mengecilkan beban dan musibah yang sedang dialami oleh suami dalam perjuangan hingga ke akhir hayatnya.

Khadijah mengetahui sifat dan akhlak kekasihnya baik di dalam mahupun di luar rumah. Beliau sering meniupkan kata-kata semangat untuk baginda Rasulullah walau dalam keadaan apa sekali pun. Kemuliaan jiwa Khadijah telah menjadikan Rasulullah amat sayang kepadanya dan tidak pernah meninggalkannya terutama ketika Khadijah sakit. Apabila Khadijah sakit baginda Rsulullah tetap menyemat nama wanita unggul ini di hatinya mengalahkan wanita2 lain yang menjadi isterinya selepas itu.

Asyiq: Kekadang kita selalu menyalahkan suami....suami tak layan kita dengan baik, suami tak nak tolong jaga anak, suami tak nak dengar cakap kita, suami tak nak jadi pendengar yang setia, suami tak sporting, suami tak mahu memahami, suami itu...suami ini.....jarang sekali kita tanya pada diri kita apa yang dah kita lakukan yang terbaik untuk suami. So marilah kita sama-sama buat perubahan. Jadilah isteri yang terbaik untuk suami.

When a Winner make a mistake, he says ,”I was wrong”
When a Loser make a mistake, he says ,”It wasn’t my fault”

Wasiat Rasulullah ini akan bersambung lagi di dalam entry yang akan datang.

Pengikut ASYIQ