JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Tuesday, June 30, 2009

Tolong doakan untuk mereka berdua....


Malam ni adalah hari terakhir bulan Jun. Esok dah masuk bulan Julai...bermakna Kak Ngah ada lebih kurang dua bulan lagi sebelum UPSR dan Kak Long pula ada lebih kurang tiga bulan lagi nak menghadapi PMR. Siapa yang susah hati??? Ibu juga...! Anak yang nak exam...ibu pulak yang tak lalu makan.


Jadi sekarang....aku memaksakan diri aku untuk memberikan perhatian 200% kepada mereka...moga mereka berjaya mencapai impian yang mereka inginkan. Paling tidak pun aku hadir bersama mereka sewaktu mereka mengulangkaji...semangat itu penting.


Kepada anak-anakku.....semoga tabah...semoga gigih mengejar impian. Ibu dan ayah akan mendoakan yang terbaik untuk kalian berdua.


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Adakah ini alasan yang terbaik untuk menghilangkan diri dari dunia blogku buat sementara waktu???

Tuesday, June 23, 2009

Tanamlah dengan cara yang betul...



Sepasang suami isteri membeli sepasu pokok bunga ros yang bewarna merah. Mereka berdua bercadang untuk menanam bunga ros tersebut di halaman rumah yang selama ini nampak kosong dan hambar. Setiap hari suami isteri tersebut memberikan perhatian yang sewajarnya kepada bunga ros tersebut. Disiram air setiap hari dan mereka menabur baja di sekeliling pokok tersebut dengan baja yang baik dan berkualiti agar bunga tersebut hidup subur. Pokok ros itu berjaya hidup dengan cantik sekali dan mengeluarkan bunga yang harum.


Setelah usaha yang pertama berjaya, suami isteri itu membuat keputusan untuk menanam bunga orkid pula sebagai penyeri hias laman. Benih orkid juga dipilih dari kalangan yang berkualiti dan mahal harganya. Namun begitu....suami isteri tadi memberi penjagaan yang sama seperti pengalaman mereka membesarkan bunga ros. Mereka menanam bunga orkid dengan campuran yang sama seperti bunga ros dan menyiram setiap hari seperti mereka menjaga si bunga ros. Mereka juga menggunakan baja yang sama untuk membesarkan si bunga orkid. Namun begitu si bunga orkid tidak mampu bertahan lama.....akhirnya terkulai layu walaupun penjagaan yang sama seperti si manja si bunga ros. Suami isteri tadi merasa pelik dan hairan......


Setelah usaha kedua gagal, mereka tetap tidak berputus asa. Mereka kemudian memilih untuk menanam si bunga kaktus pula. Baka kaktus yang terbaik dipilih, tanah tanih yang sama untuk menanam si bunga ros dan orkid tadi juga digunakan untuk menjadi medium bagi menanam kaktus mereka pada kali ini. Begitu juga penggunaan baja yang sama dan cara penjagaan yang sama dengan si bunga ros. Setiap hari mereka menyiram si bunga kaktus seperti mereka menanam si bunga ros. Apa yang terjadi....si bunga kaktus juga mati. Bertambah bingung suami isteri tersebut.


Jiran sebelah rumah mereka yang selama ini memerhati gelagat pasangan suami isteri tadi telah menghadiahkan sebuah buku tentang cara2 untuk menanam bunga orkid dan kaktus kepada sepasang suami isteri tadi. Barulah suami isteri tadi tahu bahawa untuk menanam dan membesarkan tiga jenis tumbuhan berbeza memerlukan kaedah yang berbeza. Si bunga ros dan orkid sesuai untuk menerima air yang banyak namun tidak begitu kepada si bunga kaktus. Air yang banyak menyebabkannya mati. Begitu juga medium yang digunakan untuk menanam ros, orkid dan kaktus juga berbeza.....tidak boleh menggunakan medium yang sama untuk pokok yang berbeza.


Cerita di atas memberi makna yang mendalam kepada seseorang manusia. Sebagai seorang ibu bapa, adalah menjadi satu kesilapan jika cara kita mendidik anak dengan pendekatan yang sama....kerana anak2 kita mempunyai pelbagai karektor dan tingkahlaku yang berbeza. Mungkin anak yang sulung jenis yang boleh menerima pendekatan yang tegas, tetapi mungkin berbeza dengan anak kedua yang lebih cenderung kepada cara pujukan dan pujian. Kita tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama untuk dua orang anak kita....bimbang jika akan "patah" atau "layu" kehidupannya. Kebolehan mereka juga berbeza.....mungkin anak sulung lebih kepada bidang sains dan matematik sedangkan anak kedua lebih cenderung kepada bidang seni dan sastera. Kita tidak boleh memaksa mereka menjadi apa yang kita hendak.....cuma kita boleh lihat potensi yang ada pada mereka dan mengembangkan potensinya mengikut kebolehan yang mereka ada.


Begitu juga bagi seseorang guru....mereka sepatutnya menerima anak murid mereka seadanya. Sistem pendidikan kita yang menjurus kepada peperiksaan telah memaksa anak murid sekarang untuk mencapai tahap tertentu dalam semua matapelajaran yang mereka ambil. Demi mematuhi saranan kerajaan ratio sebanyak 60:40 ditetapkan...maknanya 60% pelajar mesti berada di aliran sains manakala 40% sahaja yang mengambil aliran kemanusiaan. Hakikatnya pelajar kita yang kononnya cemerlang dalam PMR dengan mendapat 8A,7A,6A (dengan gred/markah lulus sebenar PMR di paras buku lali!) dimasukkan ke kelas aliran sains. Apa yang berlaku??? Amat sedih sekali, kadang-kadang markah Matematik Tambahan pun dapat 10% sahaja. Kita cuba memaksa mereka belajar apa yang mereka tidak mampu lakukan.....sedangkan anak murid ada yang berpotensi menjadi seorang pelukis handalan atau seorang peguam berwibawa atau Doktor Falsafah di bidang Sejarah yang tersohor di dalam negara suatu hari nanti.


Saya pernah terbaca di dalam sebuah blog rakan maya saya......tentang betapa kecewanya dia dilayan denga cara yang tidak sepatutnya oleh doktor "kerajaan" apabila dia mengadu sakit migrain. Ada ke patut doktor tu menggunakan bahasa yang lebih kurangnya begini...." Awak bukannya seorang pemimpin negara yang tersohor yang sakit migrain memikirkan masalah negara..." Dengan rasa kecewanya rakan saya tadi kemudiannya pergi pula ke klinik swasta yang biasanya dilayan dengan baik.....(kalau layan tak baik sudah pasti pelanggan cabut lari kan???) Jadi doktor swasta pun mungkin (tidak semua yea)melayan atas dasar nak cari makan...bukan kerana menjaga hati dan perasaan pelanggannya. Mana pendekatan psikologi mereka sewaktu merawat pesakit???


Pada saya doktor tadi mungkin tak minat nak jadi doktor tetapi disebabkan oleh kehendak ibu bapa maka mereka terpaksa belajar ilmu perubatan. ...inilah kesannya jika mereka dipaksa untuk menjadi seseorang tetapi mereka sendiri pun tak berminat.


Saya pun dalam dilema.....hajat di hati ingin melihat kak long menjadi seorang doktor setelah melihat kemampuan dia untuk memperolehi markah yang agak cemerlang di dalam setiap kali peperiksaan. Namun begitu saya saya belum betul2 pasti dia berminat atau tidak dengan kerjaya tersebut. Namun begitu hati kecil saya selalu berbisik.....dia mungkin layak menjadi seorang researcher seperti ayahnya kerana minatnya yang mendalam di dalam bidang bio genetik. Apa2pun saya pasrah....moga Allah memberi laluan yang mudah untuk dia. Yang penting...saya tidak mahu dihukum sebagai pesalah dalam perkara ini disebabkan saya memaksa dia untuk menjadi "seseorang" yang saya idamkan walaupun dia tidak berminat.

Asyiq: Sekadar nukilan peribadi untuk difikirkan bersama.

Monday, June 22, 2009

Tulis nama atas batu...

Menjadi orang yang kalah dan teraniaya oleh sahabat sendiri bukanlah isu yang luar biasa. Saya pernah merasai....dan ramai juga sahabat saya yang lain juga pernah merasai. Itu adalah rencah asam garam kehidupan. Perkara2 macam inilah yang menjadikan kita lebih kuat, tabah dan lebih mengenali ragam manusia. Kekadang saya sendiri lupa....Allah menganugerahkan saya sebilangan besar sahabat yang berhati mulia,penyayang dan sentiasa bersama dalam apa jua keadaan. Kenapa saya perlu bersedih dengan karenah dua tiga orang manusia yang berperangai sebaliknya.? Terlalu besar nikmat Allah pada saya....kenapa perlu saya fikirkan seperkara kecil yang mendukacitakan saya??? Adalah tidak wajar saya bertindak begitu bukan?



Kembali semula ke dunia persekolahan pada hari ini betul2 melapangkan hati saya. Bertemu dengan barisan sahabat yang sentiasa memahami, mendengar dan memberi perhatian........hidup kembali rasanya hati saya yang selama ini meruntun kesedihan. Masih ramai manusia baik di sekeliling saya....kenapa perlu saya rasa kecewa? Syukur ya Allah....rupanya limpahan kasih rahmatMu terlalu luas....! Lagipun, saya tidak akan bertemu dengan 'manusia' yang mengecewakan saya itu untuk satu tempoh yang lama kerana mereka bukan dari kalangan warga sekolah saya....so, don't be sad!!!


Saya cuba untuk melupakannya. Kemaafan juga telah saya berikan....cuma menunggu masa untuk melupakannya sahaja. Bak kata Chimera, kentang dan buah pisang tidak boleh dibawa ke mana sahaja kerana ianya pasti busuk....bak kata Tirana, saya perlu cuba mencari hikmah positif di sebalik apa yang berlaku.....semua ini saya fikirkan dengan mendalam....dan mencuba juga petua ASE1 yang mencadangkan saya mencari kekuatan melalui kemaafan dan solat tahajjud. Terima kasih kepada semua rakan yang lain seperti Arazma, Oneluvsue, Dida, ainShahajar, Adeqya84, Aie Bahri,RHEA, Ummumishkah dan NoRuLLisZa yang memujuk dan menenangkan jiwa saya.....Melupakannya buat masa ini??? Mungkin agak mustahil secepat itu kerana kita ingat tentang cerita memaku pagar setiap kali kita marah? Walaupun seseorang telah mencabut paku apabila kemarahannya reda (bermakna dia memaafkan) tetapi kesan paku yang tertusuk dalam tetap berbekas juga.....mana boleh hilang langsung. Masa dan ketika sahajalah yang diperlukan untuk kita betul2 tenang.


Ada lagi cerita yang berkait dengan antry saya kali ini. Ianya berkisah tentang dua orang sahabat yang berjalan di padang pasir. Sambil berjalan mereka berbual.....dan entah bagaimana mereka bergaduh kerana berselisih pendapat. Salah seorang daripada mereka telah menampar pipi sahabatnya yang seorang lagi kerana terlalu marah. Sahabatnya yang telah ditampar dengan penuh rasa sedih dan kecewa telah menulis di atas padang pasir dengan perkataan ini...."SAHABAT AKU TELAH MENAMPAR AKU PADA HARI INI"


Mereka meneruskan perjalanan.....sehingga tiba di sebuah lembah oasis yang indah menghijau. Terdapat sebuah kolam air yang jernih dan bersih airnya. Dek kerana terlalu letih dan kepenatan, sahabat yang kena tampar tadi telah terus terjun ke dalam kolam tanpa memikirkan tentang dirinya yang tidak tahu berenang. Dia terkapai2 kelemasan dan rakan yang telah menamparnya tadi telah berjaya menyelamatkannya.


Rakan tadi dengan rasa penuh kesyukuran telah mengukir sesuatu di atas batu yang terdapat di situ. Dia mengukir "SAHABAT AKU TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU PADA HARI INI"


"Mengapa tadi kamu menulis namaku di atas pasir dan sekarang kamu bersusah payah pula mengukir nama aku di atas batu?" tanya sahabat yang telah menamparnya dan menyelamatkannya dari lemas tadi.


"Apabila seseorang menyakiti kamu hendaklah kamu menulis namanya di atas pasir kerana angin kemaafan akan memadamkannya suatu hari nanti. Apabila seseorang telah membuat bakti kepada kamu hendaklah kamu mengukir namanya di atas batu kerana tidak akan ada sejenis angin pun yang akan memadamkannya walaupun ribut taufan....ia akan kekal sehingga akhir hayat." jelas sahabat tadi.


Jadi apalah salahnya saya cadangkan di sini bahawa....marilah sama-sama kita mengukir nama2 sahabat baik kita yang telah banyak berjasa kepada kita di atas seketul batu. Ataupun lebih baik kalau kita memahatnya dalam hati kita.....agar ianya tersimpan lebih lama di dunia dan juga di akhirat.



Bagi mereka yang telah mengecewakan kita hendaklah kita buang jauh2 batu ukiran nama mereka yang selama ini kita simpan....then kita sediakan batu baru yang lain untuk kita tulis sebarang nama baru yang mungkin hadir dalam hidup kita.....bolehkah kita buat begitu??? Kalau kita disakiti oleh kerana sesuatu perkara yang berkaitan perkara remeh temeh mungkin mudah kita lupakan...tetapi kalau sesuatu yang melibatkan kepercayaan dan kesetiaan....mungkin mengambil masa terlalu lama untuk sembuh seperti sedia kala. Tetap akan berparut juga....mungkin takdir yang akan merubah segalanya.

Dan....rasanya apabila saya dah buang batu lama jauh2....
adakah rajin pula saya pergi untuk mencarinya semula
suatu hari nanti kerana disebabkan saya boleh menerimanya kembali?
Rasanya tak mungkin kerana
saya terlalu sibuk menulis nama2 sahabat baru
yang muncul dalam hidup saya sekarang..........


Saturday, June 20, 2009

Doakanlah saya...

Salam untuk semua...

Maafkan saya kerana tiada mood untuk update entry yang baru
Saya dalam mood yang sedih...
dilukai dan terluka..
parah....sehingga terbawa2 ingatan di setiap masa.

Semuanya kerana manusia itu...
yang selama ini aku anggap kawan karib.
kemudian menikamku dari belakang

Luntur semua kepercayaanku
Goyah setiap sendi tubuhku
longlai setiap langkahku
aku terlalu layu...
duhai kawan yang dulu ku anggap sahabat...
terima kasih atas dugaan ini.

Walaupun begitu aku pasrah
Seorang sahaja manusia yang begitu
masih ramai lagi sahabat lain di sisi...
yang memberi kekuatan hati...
kuatlah wahai diri.

Kepada Allah aku berserah
biar semua urusan ditentukanNya
aku mohon kekuatan dan kegigihan
untuk menghadapi kesedihan ini...

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Monolog hati Asyiq sempena Hari Puteri PPIM Peringkat Daerah...
tahun 2009
yang tercalar penuh luka berdarah...

Wednesday, June 17, 2009

Belilah hadiah untuk diri sendiri..!!!!

Hari ini hampir pukul 5.00 petang baru sampai ke rumah. Petang tadi selepas sekolah dari pukul 2.00 hingga pukul 4.30 saya memberikan Ceramah Teknik Menjawab SPM (Pendidikan Islam - Kertas 1 dan Kertas 2)....di sekolah saya sendiri. Bukan tak mahu menjemput penceramah dari sekolah lain tetapi atas arahan Pengetua kami akur untuk menggunakan sendiri tenaga kemahiran yang ada di sekolah sendiri. Rasanya lebih mudah kerana saya lebih mengenali murid saya...kekuatan dan kelemahan mereka. Jadi, penyampaian kita lebih berfokus kepada keadaan dan situasi mereka. Lagi pun....sebagai sekolah missionary kami memang kekurangan belanja...guna tenaga dalaman boleh 'berlebih kurang' saja...yang penting matlamat tercapai. Sudah empat tahun berturut2 sekolah saya mencapai 100% lulus Pendidikan Islam SPM dan PMR. Saya gunalah kemahiran saya sebagai Pemeriksa K ertas SPM selama lebih 10 tahun untuk membantu mereka....alhamdulillah.


Namun begitu terdapat juga murid-murid saya yang perlukan motivasi yang berterusan. Sebenarnya mereka mampu tetapi sentiasa perlu dipupuk. Kalaulah mereka amat faham...apa yang lakukan sekarang adalah demi masa hadapan mereka...semestinya mereka akan bersungguh-sungguh. Kalau saya dulu macam tu la...emak selalu pesan, kalau nak hidup susah macam sekarang (zaman kecil2) tak usahlah belajar...ayat negatif yang digunakan.....daripada melarang baik menyuruh kan????

Kita pun disebabkan takut mewarisi kesusahan...berusahalah bersungguh-sungguh walaupun hanya menjadi seorang guru. Tetapi budak2 sekarang...tambahan murid sekolah saya ni latarbelakang keluarga memang dah senang. Tidur dalam bilik air-cond, datang ke sekolah pun dihantar oleh kereta mercedez, kat rumah ada bibik yang membantu dan ayah pun dah war2kan.....dapat macam mana result pun nanti ayah mereka akan hantar belajar di kolej ternama....pilih saja apa jurusan yang hendak....jadi, buat apa lagi susahkan diri untuk bersengkang mata???? Study ala kadar pun dah ok...kekayaan keluarga makan pun tak habis.

Namun begitu bukan 100% murid saya yang hidup mewah.....ramai juga yang masih hidup cara sederhana...dan ada juga yang dalam kategori miskin macam saya dulu. Namun begitu semangat mereka tak sama macam saya dulu. Banyak sangat pengaruh luar kot....sebab itulah mereka jadi begitu.

Saya dulu lain....saya tahu saya membina hidup saya sendiri. Saya amat yakin apa yang saya lakukan sekarang adalah kehidupan saya di masa hadapan. Saya selalu bercerita begini kepada anak murid saya...beri semangat...sehingga ada di antara mereka yang mengalirkan air mata. Pernah sekali saya menyerahkan sebuah basikal kepunyaan anak saya yang sulung kepada seorang murid susah....selalu ponteng sekolah sebab terlalu jauh berjalan kaki ke sekolah dan bila keluar gelap2 pagi, diganggu pula oleh lelaki2 yang tidak bermoral. Saya pujuk anak saya....berilah basikal tu kepada mereka yang lebih memerlukan. Lagi pun dia sekarang dah tak berminat menggunakan basikal tersebut. Daripada terbiar berkarat...biarlah ianya digunakan....boleh memberi manfaat kepada orang lain. Kata saya...jadilah seperti matahari.............

Saya pun kadang2 ketandusan idea untuk memotivasikan mereka....mungkin dah habis kata2......namun usaha saya tidak berhenti.

Ingat saya kepada kisah seorang tukang kayu....Pada suatu ketika tukang kayu tersebut merasakan bahawa dia wajar bersara dari kerjanya. Jenuh dipujuk oleh majikannya tetapi usaha itu menjadi sia2......dia tetap mahu bersara....


Majikannya telah memintanya membuat sebuah rumah sebelum dia bersara. Atas keinginan yang kurang, si tukang kayu membuat rumah tersebut dengan tidak sepenuh hati. Dia menggunakan kayu yang rendah kualitinya.....maka terhasillah sebuah rumah kayu yang kecil dan tidak cantik seni ukirannya.



Majikannya juga agak kecewa dengan si tukang kayu. Rupanya rumah tersebut dijadikan hadiah untuk si tukang kayu sempena persaraannya.........alangkah malangnya. Kalaulah dia tahu perkara itu......


Cerita ini juga pernah digunakan oleh Petronas di layar perak. Mereka menggarap cerita ini menjadi si tukang pembuat perahu yang membuat perahu bocor sebagai kerja terakhirnya sebelum dia menjadi 'jaga' (pengawal keselamatan) di Ipoh....ingat kan????


Itulah kita....cerita di atas tadi dia tak tahu bahawa apa yang dia buat itu adalah hadiah untuk dia...tapi kita???? Kita sentiasa tahu,sedar,insaf bahawa apa yang kita buat ini adalah untuk diri kita sendiri....namun kita sentiasa alpa. Hadiah itu pula ada yang kita dapat di usia sekarang atau di usia tua....dan ada hadiah yang kita buat itu untuk kita guna di AKHIRAT kelak.......sama2lah kita berfikir!!!!!!!!


Tuesday, June 16, 2009

Jadilah seperti bunga matahari....

Bunga matahari...merupakan bunga yang amat saya sukai. Warnanya yang kuning dan cerah menambat hati saya....kuning adalah warna kecemerlangan. Bentuknya yang menyerupai matahari juga menambat hati saya. Saya fikir warna dan bentuknya memiliki unsur2 motivasi dalaman yang sentiasa diperlukan oleh insan biasa seperti saya.
Namun begitu bunga matahari bukan hanya dalam warna kuning...ianya juga ada dalam warna merah.
Walau sehebat mana pun bunga matahari merah...saya tetap suka bunga matahari yang berwarna kuning.....

Bunga memang dibekalkan dengan tenaga. Mengikut kajian perubatan aroma terapi, bunga adalah satu2nya tumbuhan yang paling banyak menyimpan tenaga yang mana tenaga ini boleh digunakan untuk memintas atau menyerap unsur2 tidak baik yang berada dan berlingkar di sekeliling manusia. Maka itulah sebabnya kita digalakkan untuk mandi bunga....tetapi bukan yang bertujuan untuk mendapat jodoh. Yang itu diharamkan dalam Islam kerana menjadi salah satu dari amalan khurafat yang terdapat dalam kehidupan kita.....


Aroma yang dihasilkan oleh bunga terbukti boleh mengubah mood seseorang. Seseorang yang sedang marah, apabila terhidu bau wangi akan mudah kendur kemarahannya. Ini membuktikan bahawa bunga mempunyai tenaga tertentu yang diperlukan untuk menstabilkan perasaan manusia.


Kelopak bunga matahari mengandungi klorogenik, karotena dan lutein. Bijinya mengandungi 5 - 7% air, 14-25% protein, 20 - 60% minyak dan 18 - 27% karbohidrat. Dengan kandungan yang sebegini ianya memang mengandungi unsur2 perubatan. Keseluruhan pokok bunga matahari boleh dijadikan ubat. Daun pokok bunga matahari jika direbus telah terbukti dapat melagakan penyakit malaria dan sakit perut. Minyaknya dijadikan minyak masak dan marjerin. Cakeranya boleh dibuat lauk dan sayur (...saya tak pernah pula mencubanya...!) Bijinya boleh dibuat kuaci.



Kalau di musim perayaan...terutamanya sewaktu kita menyambut Hari raya Aidilfitri....maka bijinya sering dicampurkan ke dalam kek dan biskut. Memang rangup....sedap sekali.



Kalau kita berkesempatan ke kedai aksesori....banyak hiasan yang melibatkan bunga matahari. Macam2 ada....
Hiasan piring yang berbentuk bunga matahari......


Bekas lilin berbentuk bunga matahari....cantik kan?
Sikat dan cermin muka berbentuk bunga matahari....

Kerusi kanak2 bercorak bunga matahari....

Tudung bersulam yang bermotifkan si bunga matahari.......

Dan....yang paling bestnya bunga matahari juga menjadi simbol penting di tadika dan nursery....untuk menceriakan suasana. Kalau sukan tahunan mana2 tadika atau nursery pasti akan ada maskot yang direkacipta bermotifkan si bunga matahari.......kanak2 comel akan bertambah serinya bila memakai maskot tersebut.


Subhanallah......betapa hebatnya penciptaan si bunga matahari ni. Mesti banyak lagi kegunaan dan kebaikan si bunga kuning ini. Jadi entry ini hanya ditulis oleh Asyiq dengan satu tujuan........hargailah alam sekeliling. Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia......ini antara bukti bahawa Allah amat menghargai manusia dengan membekalkan penciptaan terindah untuk kita semua....alhamdulillah.

Jadilah seperti bunga matahari.....apa sahaja yang ada padanya menjadi manfaat untuk orang lain.


Semua gambar dalam entry ini hanya sekadar gambar hiasan sahaja.....

Monday, June 15, 2009

Mengapa mereka derita???

Seorang lelaki pergi ke sebuah kedai gunting rambut untuk menggunting rambutnya. Sepanjang dia berada di situ bermacam-macam topik yang mereka bualkan.....semuanya yang berkaitan dengan kehidupan seharian. Apabila masuk topik yang berkaitan dengan kepercayaan kepada Tuhan, tukang rambut itu seraya berkata.

"Saya tidak percaya bahawa Tuhan itu wujud"


"Kenapa awak berpendirian begitu" tanya pelanggan lelaki itu dengan nada kehairanan.


"Sekiranya Tuhan itu wujud, kenapa masih ada orang menderita kerana menanggung penyakit yang melarat, kenapa masih terdapat ramai kanak-kanak terbiar yang tidak mendapat perhatian yang sepatutnya, kenapa masih ramai manusia yang sengsara dan derita. Bukankah Tuhan sepatutnya Maha Penyayang.....kenapa Dia tidak mencurahkan kasih sayangNya kepada semua manusia??? Jadi, pada pendapat saya Tuhan memang tidak wujud"


Pelanggan lelaki tadi terdiam sejenak. Dia enggan bertingkah pendapat dengan si tukang gunting rambut...bimbang pula akan timbul pergaduhan. Pelanggan lelaki tadi terus meninggalkan kedai setelah rambutnya siap dipotong. Apabila dia keluar dari kedai tersebut, dia melihat terlalu ramai orang yang berambut panjang, mempunyai janggut yang tidak diurus. Mereka kelihatan terlalu selekeh dan amat kotor. Lelaki tadi terus masuk semula ke dalam kedai gunting rambut tersebut.


"Awak tahu tak bahawa pada saya si tukang rambut tidak wujud di bandar ini"


"Apa yang awak merepek ni...saya ada di sini, malah saya baru tadi memotong rambut dan janggut awak" jawab si tukang gunting rambut agak kehairanan.


"Tidak...awak tidak wujud. Kalau awak wujud kenapa terlalu ramai orang di luar sana yang berambut panjang, berjanggut panjang dan tidak terurus...terlalu selekeh dan kotor sekali..." dakwa lelaki tadi.


"Ohhh...itu bukan salah saya. Saya ada je di sini...mereka selekeh dan kotor kerana mereka tidak datang berjumpa saya untuk digunting dan dicukur janggut mereka....Itu bukan salah saya"


Si lelaki tadi tersenyum...."Itulah jawapan kepada persoalan awak sebentar tadi. Manusia derita dan melarat kerana mereka tidak kembali kepada ajaran dan perintah Tuhan....Tuhan wujud sebenarnya".

^^^^^^^^^

Asyiq: Cerita ini sebenarnya dalam versi Bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh kak Tirana dalam blognya The Precious Moment. Dengan izin kak Tirana saya siarkan semula di dalam blog saya setelah menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu. Sekalung penghargaan untuk kak Tirana.


Friday, June 12, 2009

Pilihan yang tepat!!

"Assalamualaikum.........boleh ke saya masuk!!!!"

Suatu hari seorang wanita budiman melihat ada tiga orang lelaki tua yang agak uzur berada di tepi pintu pagar rumahnya. Lelaki itu amat asing ... dan dia tidak mengenali walau seorang pun daripada mereka. Namun begitu hatinya luluh kerana kelihatan ketiga-tiga lelaki itu amat naif dan mesti dalam kelaparan.


"Saya tidak mengenali kalian...tetapi silalah masuk kerana saya pasti kalian bertiga semestinya lapar. Saya akan sediakan makanan untuk kalian bertiga....silalah..." wanita budiman itu menawarkan pertolongan.


"Suami anda ada di rumah?? Kami akan masuk sekiranya suami puan ada di rumah..." salah seorang lelaki tersebut memberikan jawapan dengan penuh rasa hormat.


Apabila suami wanita budiman itu kembali dari tempat kerja dia terus menceritakan apa yang telah berlaku. "Pergilah jemput mereka masuk....katakan bahawa saya telah memberi izin." kata si suami.


"Nama saya 'Kekayaan', yang ini pula 'Kejayaan' dan yang ini pula 'Kasih sayang'. Kami tidak boleh masuk serentak. Sila puan berbincang dahulu dengan suami puan, yang mana di antara kami bertiga yang sepatutnya masuk dahulu" lelaki tadi meminta mereka membuat pilihan setelah dijemput masuk untuk kali keduanya.


Suami wanita itu berasa amat gembira. Dia terus memilih 'Kekayaan'....katanya biar 'Kekayaan' memberi sinar yang baru dalam rumah mereka. 'Kekayaan' adalah segalanya dalam dunia ini.


Wanita budiman tidak pula bersetuju. Dia memilih 'Kejayaan'. Baginya 'Kejayaan' adalah punca seseorang itu mendapat kekayaan. Orang yang berjaya biasanya akan memperolehi kekayaan.


Anak perempuan mereka yang mendengar perbualan ibu dan ayahnya pula mencelah......dia memilih 'Kasih Sayang'. Padanya 'Kasih Sayang' amat penting dalam hidup mengatasi kekayaan dan kejayaan.


Demi menghormati pendapat anak perempuan mereka....mereka bertiga akhirnya bersetuju untuk menjemput lelaki tua yang bernama 'Kasih Sayang'. Apabila 'Kasih Sayang' masuk....kedua lelaki iaitu 'Kejayaan' dan 'Kekayaan' pun mengekori sekali.


"Mengapa kamu berdua masuk ke rumah saya...sedangkan saya hanya menjemput seorang sahaja?" tanya wanita budiman tersebut dengan penuh kehairanan.


"Kalau anda semua memilih 'Kekayaan' atau 'Kejayaan', yang dua lagi akan tinggal di luar. Tetapi disebabkan anda memilih 'Kasih Sayang', maka kami berdua akan turut sama mengikutnya. Di mana ada 'Kasih Sayang' , maka di situlah adanya 'Kekayaan' dan 'Kejayaan'. Tahniah kerana anda semua telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup kalian......"


"Apabila anda memilih 'Kasih Sayang'.....di saat anda dalam kesakitan, dia akan menjadi penawar untuk anda segera sembuh, ...di saat anda kehilangan semangat , dia akan membina keyakinan diri anda untuk berani menghadapi kesusahan hidup,...di saat anda keletihan, kelelahan, dia akan memahami, sabar dan mengembalikan kekutan diri yang hilang,....di saat anda ketakutan, dia akan memberi keberanian kepada anda....sesungguhnya anda semua telah membuat pilihan yang tepat!!!"


Apabila anda membaca cerita ini...anda juga ada dua pilihan: Pertama......lupakan cerita ini. Kedua.....jemputlah 'Kasih Sayang' untuk hidup bersama anda dengan berkongsi cerita ini bersama rakan-rakan anda yang lain.......


Asyiq: Sekadar memanjangkan email rakan2 untuk dikongsi bersama anda semua. Jenuh juga saya menterjemahkannya sebab artikel asal dalam Bahasa inggeris. Bunyi ayat tertentu macam tak sedap jer...tapi ok la....asalkan mesej yang nak disampaikan boleh difahami semua. Saya bersetuju untuk menjemput 'Kasih Sayang' untuk tinggal di dalam rumah saya....anda pula macam mana??
Peace to all!!!

Thursday, June 11, 2009

"Alangkah bagusnya...!!!"








































Sebuah kisah dinukilkan berkenaan dengan seorang raja yang terkenal. Raja ini mempunyai seorang sahabat baik yang amat disayanginya. Sahabat baiknya ini membesar bersama-samanya di istana....ke mana sahaja Raja ini pergi pasti sahabat baiknya ini akan turut bersama.


Sahabat baik Raja ini mempunyai satu perangai pelik. Dia sentiasa berfikiran positif.....apa sahaja yang berlaku di dalam hidupnya walau positif atau negatif...ayat yang akan keluar dari mulutnya ialah "ALANGKAH BAGUSNYA......."


Pada suatu hari si Raja bercadang untuk keluar memburu. Seperti kebiasaannya, si sahabat baik akan menyediakan semua kelengkapan berburu.....bekalan dan juga senapang perburuan. Sahabat baik akan menyediakan yang terbaik untuk si Raja budiman dengan harapan mereka akan mendapat hasil buruan yang lumayan kali ini.


Namun begitu....berlaku perkara yang tidak diingini...salah satu senapang yang disediakan oleh sahabat baik si Raja telah memakan diri si Raja.....disebabkan oleh peluru yang tidak kemas berada di larasnya. Akibatnya, peluru tersebut telah melantun semasa si Raja membedik senapang tersebut.....terkena ibu jari si Raja dan terus terputus.


Si Raja amat marah kepada sahabat baiknya....tambah mendidih lagi kemarahannya apabila si sahabat baiknya berkata "ALANGKAH BAGUSNYA...." apabila melihat ibu jari si Raja telah terputus.


"Kamu menghina beta apabila kamu melafazkan perkataan tersebut..." herdik si Raja dengan rasa marah yang bersangatan. "Kamu lihat apa yang berlaku.....habis kudung ibu jari beta..." tambahnya.


"Maafkan patik, tuanku. Patik rasa mujur ibu jari tuanku yang terputus....kalau peluru tersebut terkena dada tuanku...pasti perkara buruk lagi akan berlaku" ujar si sahabat baik Raja dengan penuh rasa syukur.


"Kamu akan beta sumbat ke dalam penjara.......bersyukurlah kamu di situ", perintah Raja.


Setahun berlalu....si Raja tetap meneruskan aktiviti perburuan. Namun begitu nasibnya agak malang apabila ditangkap oleh kumpulan kannibal....iaitu orang makan orang. Mereka menangkap si Raja dan mengikatnya dengan tali dan menyediakan api dan periuk besar untuk merebusnya. Si Raja amat sedih dan kecewa. Dia dapat merasakan hari-hari terakhir dalam hidupnya akan berakhir dalam beberapa saat sahaja lagi.


Kebetulan ada seseorang ahli kannibal yang menyedari bahawa anggota badan si Raja tidak sempurna. Rupanya menjadi salah satu syarat untuk makan daging manusia ialah....si mangsa mestilah mempunyai anggota badan yang sempurna. Mereka membebaskan si Raja.


Si Raja amat gembira dan bersyukur....terus dia teringat kepada sahabat baiknya yang menyebabkan ibu jarinya terputus. Kalaulah peristiwa itu tidak berlaku...sudah pasti nyawanya akan melayang.


Si Raja segera membebaskan sahabat baiknya...setelah setahun berada di dalam penjara. Si Raja menceritakan semua kisah yang telah berlaku. "Kamu benar.....tindakan beta memasukkan kamu ke dalam penjara adalah satu keputusan yang paling SALAH....amat SALAH tindakan beta itu."


"Tidak! ALANGKAH BAGUSNYA patik dimasukkan ke dalam penjara..." kata si sahabat baik Raja.


"Apa maksud kamu bercakap begitu......" tanya si Raja agak kehairanan.


"Kalau patik tidak dimasukkan ke dalam penjara....sudah pasti patik akan mengikut tuanku berburu. Patik yang mempunyai kesempurnaan anggota badan ini pasti akan dibunuh oleh mereka......."


Terdiam si Raja mengiyakan kata-kata si sahabat baiknya itu...untuk kesekian kalinya........!


Asyiq: Kita selalunya resah dengan apa yang berlaku ke atas diri kita...tanpa melihat hikmah yang tersirat disebalik peristiwa tersebut. Marilah sama-sama kita melatih diri redha dengan ujian....pasrah dengan takdir....kerana pasti ada perkara baik di sebalik semua peristiwa yang berlaku.

Wednesday, June 10, 2009

Berat ke gelas ni??


Suatu hari seorang guru berdiri di hadapan kelas sambil memegang segelas air jernih. Dia bertanya kepada anak muridnya "Cuba kamu teka berapa berat gelas ini..???"


Murid yang berada dihadapan sekali menjawab, "50 gram cikgu..."


Guru tersebut hanya tersenyum dan bertanya lagi soalan yang sama kepada anak muridnya yang lain.


Kedengaran jawapan yang berbeza-beza dari anak muridnya yang ramai itu. Ada yang menjawab 150 gram, ada yang menjawab 200 gram, ada yang menjawab 400 gram......


Guru itu menjawab, "Jawapan kamu ada yang betul dan ada yang salah...Sebenarnya, berat gelas ini bergantung kepada berapa lama kamu memegangnya...."


Guru itu menyambung lagi, "Kalau kamu memegangnya selama satu minit, mungkin tak menjadi masalah. Kalau kamu memegangnya selama satu jam tangan kamu akan rasa lenguh dan sakit. Kalau kamu memegangnya selama sehari semalam....mungkin kamu akan diusung ke hospital!"


Sambung guru itu lagi, "Berat segelas air ini tak akan berubah. Tetapi semakin lama kamu memegang gelas ini maka kamu akan merasa semakin berat. Apa yang patut kamu lakukan ialah letakkan dahulu gelas itu ke bawah, rehat beberapa minit sebelum menyambungnya kembali."


"Begitu juga dengan kehidupan kita sehari-hari. Jika kita ada masalah, selesaikannya secepat mungkin. Kalau kita tidak berupaya menyelesaikannya, rehat sebentar dan lupakan masalah itu seketika."


"Jangan terlalu memikirkannya kerana ia akan menyebabkan fikiran kita tidak tenang dan terganggu. Ketenangan amat penting sebelum kita memikirkan masalah itu kembali."



Bila terbaca cerita ini saya teringat masa saya di sekolah rendah dulu. Ada seorang cikgu tu dia suka denda pelajar bising dengan mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas beberapa minit. Saya pun pernah kena...hehe. Lenguhnya bukan kepalang. Kalau tidak akur....ditambah lagi masa dendaan tersebut. Aduhai...budak sekolah rendah kalau diam tu maknanya "demam" la...kalau sihat sure bising punya.


Cerita di atas mengajar kita bagaimana untuk menangani sesuatu masalah. Kalau masalah tu boleh selesai....selesaikanlah dengan kadar yang segera. Tetapi kalau tak mampu....lupakan seketika, tarik nafas, tenangkan fikiran sebelum kembali memikirkan jalan penyelesaiannya.


Mudah aje orang bijak pandai memberi pandangan. Kalau masalah itu kecil bolehlah dilupakan buat sementara waktu...tetapi kalau masalah besar, aduhai....macam mana nak lupakan. Dalam tidur pun termimpikan dia...silap-silap tidur pun tak lena.


Kenalah bertanya kepada orang bijak pandai....kemahiran untuk melupakan masalah....seperti mengeluarkan beberapa biji guli dari gelas yang berisi pasir.....ambil satu-satu....dan asingkan sebelum memasukkannya semula. Kemahiran itu yang saya tak ada. Ada sesiapa yang boleh beri pandangan??? Kak Tirana mesti tahu jawapannya.


Banyak dah teori saya belajar tapi praktikalnya belum tentu LULUS...hehe.

Pengikut ASYIQ