JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Monday, August 31, 2009

Di manakah kau Melati....!

.....suatu ketika dahulu di sebuah sekolah menengah di pinggir bandar.....

Aku bersendirian di dalam bilik peperiksaan, mengemaskini fail bank-bank soalan. Peperiksaan Pertengahan Tahun baru sahaja berlalu. Soalan-soalan yang ku kumpulkan dari Ketua-ketua Panitia sudah bertimbun minta dimurnikan.

Sepintas lalu pelajar itu melintas di hadapan bilik peperiksaan. Aku perasan kelibatnya...walaupun aku tidak pernah mengajarnya tetapi aku memang kenal dia sungguh. Banyak kali aku bertentang muka dengannya...atas dasar masalah disiplin yang dihadapinya.

Tiba-tiba pintu bilikku diketuk....kedengaran suara pelajar tadi memberi salam. Aku tersenyum. Membalas salam dan menjemputnya masuk. Mesti ada sesuatu yang ingin disampaikannya....duga hati kecilku.

"Saya nak cerita satu rahsia tapi minta ustazah jangan cerita pada orang lain" katanya bersungguh.

"Cerita biasa atau masalah peribadi? Kalau masalah kita kenalah bincang...saya seorang saja yang tahu mana boleh selesai. Mesti kena minta pandangan orang lain...."

Dia diam...membatu. Puas aku bercakap-cakap dengannya untuk memberi dia keyakinan. Aku kenal sangat budak ni....memang hatinya keras, dia juga terkenal sebagai pelajar yang degil dan kuat melawan.

"Saya dah rosak ustazah....saya dah kena rogol..."

Terbeliak mata aku. Jantung aku berdegup kencang. Pertama kali kes seumpamanya aku hadapi. Fasih lidahnya bercerita....airmata juga laju membasahi pipi.

...
..
.

"Melati" adalah seorang pelajar perempuan yang menjadi mangsa keadaan. Beliau asalnya adalah anak bongsu kepada sepasang suami isteri yang agak berada....disebabkan ibunya meninggal dunia ketika dia masih lagi kecil, dia diserahkan kepada salah seorang kakak kepada bapanya yang menetap di bandar kecil ini. Di sinilah bermulanya cerita.

Emak saudaranya ini bukanlah seorang yang senang. Menjadi seorang penduduk kampung yang hanya bergantung sumber pendapatan kepada sebidang tanah getah yang tak seberapa luasnya....ditambah pula harga getah pada ketika itu yang tidak memberangsangkan seperti sekarang. Hidup mereka ibarat...kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Hubungan emak saudaranya dan bapa kandungnya juga tidak baik setelah berlaku beberapa masalah dalam keluarga mereka. Putus hubungan keluarga....Melati membesar tanpa bimbingan seorang bapa kandung malah tidak pernah mengecam wajahnya kerana tidak pernah bersua muka.

Akibat desakan hidup...apabila Melati masuk ke sekolah menengah, dia telah dihantar ke sebuah sekolah anak yatim yang berdekatan dengan sekolah saya. Identiti sebenarnya telah dipalsukan...kononnya dia seorang anak yatim yang terpaksa dipelihara oleh seorang emak saudara yang miskin.

Namun identitinya terbongkar setelah dua tahun setengah berada di sekolah saya. Maka dia telah dipaksa keluar oleh pihak asrama. Dek kerana tidak mahu menanggung perbelanjaan sekolahnya...emak saudaranya telah menyerahkan Melati untuk tinggal di rumah bapa angkat yang menjadi kenalan baik emak saudaranya.

Di sinilah cerita Melati menjadi semakin tragis....dipendekkan cerita, dia telah diperkosa oleh anak kepada bapa angkatnya. (Pada penilitian saya dan pihak sekolah....bukan "kes rogol" tetapi kes suka sama suka...). Oleh kerana dia terasa terlalu bersalah dan berdosa....akhirnya dia sanggup membongkarkan ceritanya kepada saya. Namun begitu istilah dia "dirogol" tetap dia pertahankan walaupun siri soal siasat kami menunjukkan dia tidak dirogol!

Maka berlakulah episod drama yang panjang....walaupun tidak menjadi kes polis. Kami cuba mengatur untuk menyerahkan semula Melati kepada bapa kandungnya semula. Akhirnya dengan susah payah....Melati berjaya juga kami "pulangkan" kepada bapa kandungnya yang sebenar.

Ketika pertama kali bapa kandungnya menjejak kakinya ke sekolah.....luluh hati saya apabila kami ketahui bahawa bapanya adalah salah seorang pegawai kerajaan "kelas A" yang berpendidikan agama (dari gaya dan corak pakaian yang dipakai) dan jangan terkejut apabila saya nyatakan bahawa dia adalah salah seorang dari "motivator" yang terlibat dengan pelbagai program motivasi.

Gugur airmatanya di hadapan kami....menyesali dengan apa yang telah berlaku! Disebabkan keegoan yang tinggi dan kononnya "maruah diri" yang perlu dipertahankan....tidak pernah sekali pun dia menjejak anak kandungnya setelah hampir 15 tahun berpisah. Nampak sangat kekesalannya...namun nasi sudah menjadi bubur.

Berlakulah episod "jejak kasih" antara dua beranak itu....di hadapan saya, pengetua, penolong kanan dan dua orang guru bimbingan dan kaunseling. Berderai akhirnya air mata saya....amat dalam pengajaran yang menusuk di hati saya....peliharalah anak-anak sepenuh jiwa dan raga.

Akhirnya Melati dibawa balik ke Kuala Lumpur semula setelah 15 tahun terpisah dengan bapa dan adik beradik kandungnya yang lain.

Dalam bulan ramadhan yang mulia ini.....hati saya tersentuh. Mengingati kembali cerita ini menjadikan saya rasa pilu....apakah khabar Melati sekarang. Pernah juga dia menelefon saya setelah beberapa bulan dia bersama bapa kandungnya tetapi setelah saya berpindah....putus sudah khabar berita.

Melati....saya sentiasa doakan yang terbaik untuk awak!!! Moga Melati sentiasa diberkati Allah.


P/S Melati bukanlah nama sebenar....peristiwa benar ini berlaku dalam tahun 2003. Kini Melati dah berusia 21 tahun.....

Friday, August 28, 2009

Raikan RAMADHAN...!!

Assalamualaikum...

Sudah agak lama saya tidak menulis sesuatu di sini...banyak sebenarnya perkara yang saya ingin suarakan tetapi masa agak suntuk ditambah pula jadual di bulan ramadhan yang agak padat. Tak perlulah saya membilang masalah dan halangan yang saya hadapi...yang pentingnya saya bersyukur tika dan saat ini saya dapat berada di hadapan laptop ini untuk menulis....perkara yang paling saya rindui untuk lakukan dalam tempoh terdekat ini.


Ramadhan? Sudahkah kita meraikannya???

SOLAT TARAWIH!!!!

Terlalu banyak email yang saya terima terutama dari rakan2 alumni KISAS tentang meraikan ramadhan almubarak pada tahun ini. Saya mahu berkongsi pengalaman sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang bekerja. Dahulu masa anak dara...tak pernah miss solat tarawih dan tadarrus sementelah pula memang saya meraikan ramadhan di sekolah yang berteraskan pendidikan agama. Tarawih dan tadarrus adalah rutin wajib...rela atau tidak rela anda diwajibkan hadir ke surau untuk mengikuti program yang telah di susun. Yang seronoknya di akhir bulan ramadhan ada majlis khatam al-Quran. Selesai....

Apabila sudah bergelar isteri pada frasa pertama semasa anak2 masih kecil....saya hanya sempat bertarawih di rumah sahaja. Ada ketikanya sewaktu bertarawih pada rakaat yang keempat...anak kecil menangis dan perlu disusui. Berhentilah bertarawih...utamakan anak dahulu...tidurkan anak...dan dengan itu juga saya pun diulit mimpi sekali...sementelah pula seharian suntuk badan terlalu letih melayan karenah mereka dan tugasan wajib seorang guru dan seorang surirumah juga. Suami pula sudah menjadi rutinnya menunaikan tarawih di surau bersama jemaah di qaryah kami....Begitulah keadaan saya sehinggalah yang sulung sudah melangkah ke alam persekolahan....bolehlah meminta bantuan dia melihat2 adik2nya sementara waktu ketika saya menunaikan solat tarawikh. Ketika itu adalah sedikit penambahbaikkannya...syukur.


Sekarang apabila bergelar isteri pada frasa kedua,anak2 sudah menginjak dewasa...barulah saya boleh tunaikan tarawih di masjid. Itupun saya, suami dan anak yang sulung sahaja pergi ke masjid. Yang kedua dan yang bongsu saya tinggalkan di rumah kerana belum cukup umur. Tunggulah mereka sudah betul2 bersedia bolehlah mereka menyertai solat berjemaah di surau. Kalau saya benarkan si fahem mengikut saya ke surau...rasanya bukan taat duduk dalam saf solat...entah2kan berkeliaran di kawasan masjid bersama kawan2nya meletupkan mercun.


Pada pandangan saya, sekiranya bacaan Al-Quran kita bagus, para jemaah wanita digalakkan untuk menunaikan solat di rumah sahaja....terutama pada yang mempunyai anak yang masih di bawah umur. Ada sesetengah wanita membawa bersama anak2 mereka bersama....duduk dalam saf dewasa....kadang2 bising, menangis ...amat menganggu jemaah lain yang ingin melakukan solat dengan penuh sempurna. Kanak2 yang belum cukup umur berada di dalam saf dewasa juga boleh menimbulkan pandangan sinis jemaah lain yang berpegang dengan pendapat ulamak yang tidak bersetuju dengan keadaan tersebut. Kanak2 lelaki pula kadang2 membuat hingar yang boleh menjejaskan keharmonian masjid. Saya berpendapat...kita boleh bawa anak2 kita menunaikan solat tarawih di masjid dengan syarat ....sekiranya mereka mampu untuk taat berada dalam saf dengan khusyuk dan menghormati jemaah lain yang lebih dewasa....sekiranya tidak maka jangan bawa. Lebih baik bagi ibu2 menunaikan solat tarawih secara bersendirian di rumah. Lagi pun bacaan surah dalam solat tarawih bukanlah menjadi satu kepayahan kerana boleh dibaca ayat2 lazim yang paling mudah sahaja. Anak2 yang sudah bersedia dari sudut mental dan fizikal eloklah dibawa bersama untuk melatihnya.


TADARRUS AL-QURAN!!!

Banyak kelebihan membaca alQuranul Kariim di bulan yang mulia ini....mengkhatamkannya adalah matlamat kita setiap kali ramadhan menjelma. Bagi para suami mungkin ini tidak menjadi masalah apabila meraka hadir program tadarrus di masjid berdekatan. Bagi wanita pula...banyak sangat masalaahnya. Tambahan pula wanita memang ada tujuh hari dalam seminggu wajib bercuti dari membaca al-Quran walaupun di bulan ramadhan. Bertuahlah bagi mereka yang sedang mengandung atau wanita yang telah berhenti haidnya. Kalau kita baca sehari satu juzuk pun kadang2 tak sempat juga nak habis. Mesti target dua juzuk sehari....sekurang2nya.


Oleh itu saya cadangkan di sini.....kalau wanita2 di luar sana mempunyai anak yang telah khatam al-Quran dan boleh membaca al-Quran dengan baik...adalah lebih baik kita mengagihkan juzuk2 mengikut bilangan anak masing2. Contohnya saya sendiri....saya mesti membaca juzuk 1 hingga 10, suami saya mesti menghabiskan bacaan dari juzuk 11-17, anak sulung saya dari juzuk 18-25 dan anak kedua saya mesti menghabiskan bacaan juzuk 26 hingga 30. Nampaknya si bongsu tidak ada taklifan kerana tahap bacaannya masih lemah terutama dari sudut tajwid dan fasohah.


Bolehlah kita budayakan perkara ini setiap tahun di rumah kita....adakan majlis khatam al-Quran di peringkat keluarga kita. Barulah terasa kemeriahan ramadhan....moga dengan kemukjizatan al-Quran keluarga kita makin diberkati,dirahmati dan diredhai yang bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim......amiin.

Anak tiada di rumah?? Kita juga boleh melaksanakannya secara jarak jauh. Agihkan tugasan ini sebelum ramadhan lagi...mungkin pada tahun pertama agak sukar dilaksanakan tetapi berkat kesungguhan dan komitmen....ianya akan menjadi satu budaya. Kalau semua keluarga berkumpul di dalam rumah...lebih manis sekiranya si ibu atau si bapa menyemak bacaan Al-Quran anak2. Kalau dapat bertadarrus pula lagilah baik. Saya memberikan pandangan kerana secara praktikalnya untuk berkumpul satu keluarga dan bertadarrus amat sukar dilakukan dengan kekangan kerja dan tanggungjawab anak2 untuk mengulangkaji pelajaran. Jadi alternatif ini lebih rasional.


BUDAYA MAKAN?!!!

Bila menjelang sahaja bulan ramadhan maka bazaar ramadhan pun muncullah di sana sini bagai cendawan tumbuh. Seolah-olah ramadhan adalah bulan pesta makanan!!! Bukanlah melayan kehendak makan itu sebahagian dari memuaskan nafsu??? Jadi matlamat utama kita di bulan puasa untuk mengekang hawa nafsu nampaknya sudah GAGAL?? Saya pernah membaca artikel tulisan Ustaz Ravi Abdullah yang pernah menetap di Jordan. Di Jordan tak ada bazaar ramadhan. Orang Jordan menyambut berita tibanya 1 Ramadhan dengan linangan airmata, berpeluk2 kegembiraan dengan kedatangan bulan ibadat, berpusu2 memenuhkan ruang masjid dengan tadarrus al-Quran....tetapi kita di Malaysia??? Marilah kita ubah adat ini!!


Dalam Kitab Al-Qanun Fil Tibb karangan Ibnu Sina....beliau mencadangkan untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat kita hendaklah mengekang nafsu makan. Latihlah diri kita berhenti makan sebelum kenyang....bermakna kita terpaksa menghentikan makan ketika masih ada rasa untuk makan lagi....bukan berhenti makan ketika rasa `dah tak lalu` nak makan! Pesannya lagi, sekiranya masih ada keinginan untuk menambah makanan....segera hentikan makan dan lakukan perkara lain supaya kita melupainya....kerana kata Ibnu Sina otak kita akan melupakan kehendak makan ini dalam tempoh satu jam. Ini pesan orang hebat dalam bidang perubatan...bukan calang2 orang!

Bersederhanalah ketika berbuka puasa!!

Saya pula kalau dalam bulan ramadhan terasa amat relaks dalam bab memasak. Tambahan pula sekarang seluruh ahli keluarga saya sudah berpuasa....tidak ada lagi anak kecil yang perlu dilayan makan minumnya. Kalau tidak, bermula dari bangun tidur kita sudah memikirkan bab makan, kemudian menu makan tengahari, kemudian minum petang dan menu makan malam. Kalau dalam bulan puasa, saya hanya memikirkan menu untuk berbuka yang juga merangkumi menu sahur. Cukup!! Amat memudahkan hidup saya yang memang kurang berkenan berada di dapur sepanjang hari. Memasak bukanlah agenda kegemaran...kecuali untuk tuntutan wajib sahaja!!!

Menu wajib bagi kami sekeluarga ialah bubur lambuk. Satu pot untuk bubur lambuk tanpa santan. Ini adalah menu pilihan suami...yang kini menjadi kegemaran kami satu keluarga. Mudah pun memasaknya. Kemudian saya akan masak satu jenis lauk yang akan digunakan untuk makan berbuka dan juga sesuai untuk makan bersahur, sayur dan sejenis kuih yang ringkas dan mudah. Selalunya sukatan kuantiti bahan2 tadi sekadar cukup untuk dua kali makan sahaja....tidak membazir, secukupnya sahaja. Air yang biasanya menjadi pilihan ialah jus buah2an yang akan disediakan sendiri oleh dua orang anak dara saya yang memang boleh diharap! Setakat ini belum lagi ada keinginan untuk membeli belah di bazaar ramadhan....mungkin bila sudah ketiadaan idea nanti bolehlah berkunjung ke sana...itupun dengan memakai MASK!!!! Jangan lupa...

Bersederhana??? Konsep bersederhana itu yang relatif.....mungkin bersederhana pada kita masih berlebih2an pada orang2 miskin yang ada di Kemboja atau nun jauh di ceruk Kalimantan.....atau di hujung kampung atau di hujung taman kita sahaja, atau mungkin jiran sebelah rumah kita!!!! Banyakkanlah bersedekah...ingatlah orang yang tiada!


SELAMAT MERAIKAN RAMADHAN!!! SALAM KASIH SAYANG DARI SAYA UNTUK SEMUA. MOGA KITA DIBERKATI ALLAH!!!

Thursday, August 20, 2009

Pandangan Mata

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan untuk semua rakan2 blogger....semoga kita menjalani ibadah puasa dengan penuh "imaanan" dan "ihtisabaan"....salam rindu untuk semua....moga nanti kita akan bersama lagi, InsyaAllah.


Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
kalau hati itu bersih

Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
jasad lahir tumpuan manusia

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
jasad lahir tumpuan manusia

Utamakanlah pandangan Allah
daripada pandangan manusia


Utamakanlah pandangan Allah
daripada pandangan manusia


Hati kalau terlalu bersih
pandangannya akan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah

Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

...

...

...

...

^__^


Monday, August 10, 2009

Hukum Allah pasti benar...



Hari ini sahaja H1N1 atau panggilan 'Melayu'nya Selsema babi telah meragut 9 lagi nyawa menjadikan angka kematian mencecah 27 orang. Rata2 orang membicarakan soal selsema babi, pemakaian mask, angka kematian dan pelbagai lagi.....namun begitu hari ini saya membaca satu blog yang ditulis oleh Dr V.M. Palaniappan di sini tentang beberapa perkara berkaitan dengan selsema babi ini. Beliau merupakan individu yang mengarang buku2 dalam bidang perapi pelengkap yang diterokai oleh beliau yang dipanggil sebagai sistem penyembuhan secara ekologi.Beliau merupakan bekas Profesor Madya Ekologi di Universiti Malaya. Ada beberapa kenyataan beliau yang menarik perhatian saya.


Pertama: Kegiatan homoseksual dan onani perlu dielakkan......kerana hubungan yang haram ini akan menghasilkan geseran haba yang akan meningkatkan kadar keasidan dalam badan dan keadaan ini akan menjadikan badan lebih mudah terdedah dengan virus ini.

MasyaAllah....benarlah bahawa Allah mengharamkan perbuatan liwat dan juga onani. Salah satu sebab kenapa virus ini menular adalah disebabkan peningkatan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Ramai orang yang tidak setuju dengan kenyataan ini.....namun kita sepatutnya akur. Allah menurunkan virus ini sebagai satu ancaman kepada peningkatan kadar maksiat di seluruh dunia samada dilakukan oleh orang Islam atau dilakukan oleh orang bukan Islam. Nak kawal virus ini????......berhenti dari maksiat serta merta. Namun begitu hubungan kelamin yang dilakukan secara normal antara pasangan lelaki dan perempuan adalah selamat.


Lihat sahaja bagaimana Allah menurunkan haiwan yang kecil untuk kita hidup merana dengan pelbagai jenis penyakit....NYAMUK. Dari nyamuk tiruk yang menyebabkan malaria, kemudian nyamuk aedes yang menyebabkan denggi.....dan kemudian demam chikungunya yang juga disebabkan oleh makhluk kecil ini...Bagaimana kita yang lebih besar beribu kali ganda darinya tidak dapat melawan makhluk Allah yang kecil ini. Tidak salah saya katakan bahawa...angka kematian yang disebabkan oleh denggi sebenarnya lebih tinggi berbanding dengan kadar kematian yang disebabkan oleh selsema babi. Mungkin disebabkan usia selsema babi masih muda di kalangan manusia....nak kawal denggi????......tutup semua premis yang melibatkan maksiat!!!


Kedua: Cara untuk mencegah keasidan itu adalah perlu untuk mengambil makanan dan minuman beralkali bagi meneutralkan lebihan asid di dalam badan.

Rupanya penawar yang paling berkesan untuk meneutralkan asid dalam badan kita ialah dengan meminum air kelapa muda --- dua kali sehari. Kiranya petua orang2 tua kita ada benarnya....air kelapa yang bersifat alkali akan meneutralkan asid dalam badan kita. Jadi bagi mereka yang mempunyai pokok kelapa muda di rumah, inilah masanya untuk meminum air ini. Kalau tidak, terpaksalah kita membeli air kelapa muda di gerai2 yang berdekatan.


Selepas ini kita akan dengar pula naiknya harga air kelapa muda pula....itulah sifat orang kita. Percaya tak???....'mask' yang saya beli pada hari Jumaat lepas dengan harga 40 sen sekeping, hari ini meningkat kepada harga 80 sen sekeping...di farmasi yang sama dan jenis yang sama. Menangguk di air yang keruh adalah sifat semulajadi orang kita....terutama di saat genting sekarang.


Selain air kelapa muda --- kita juga digalakkan untuk makan buah2an seperti limau barli, lemon, limau manis dan sejenisnya. Walaupun limau mengandungi banyak asid sitrik tetapi ianya juga kaya dengan potasium yang boleh menghasilkan urin beralkali. Apakah selepas ini kita akan melihat kenaikan harga pada barang2 ini juga?
Kita lihatlah bersama2.


Ketiga: Kegiatan jasmani yang berlebihan juga sebaiknya dielakkan kerana ianya juga akan meningkatkan kadar asid dalam badan kita disebabkan kegiatan metabolik berlebihan dalam badan.

Ini mungkin perkara yang tak terlibat secara langsung kepada kita semua.....kerana orang Malaysia yang biasa2 macam kita (bukan atlit) biasanya "hari-hari tak bersenam". namun begitu berjalan (walking) yang selalunya kita amalkan adalah jenis senaman yang paling selamat dewasa ini.....tetapi jangan lupa pakai 'mask'.


Keempat: Berjaga hingga jauh malam atau bekerja tanpa rehat yang secukupnya juga akan menyebabkan tubuh badan kita berasid dan akan mudah dijangkiti virus.....termasuklah virus ini.


Pastikan kita mendapat tidur yang mencukupi dan rehat yang sepatutnya....orang yang terlebih kerja badan akan menjadi lemah.....badan yang lemah akan mudah dihinggapi penyakit.


.
.
.
.

Saya menyusun sepuluh jari kepada rakan2 blogger semua.....masa yang terlalu terhad sekarang memaksa saya mengadap kerja2 yang bertimbun di bulan Ogos ini. Banyak sebabnya.....sebab peribadinya saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada anak2 yang akan menghadapi peperiksaan besar, urusan rumahtangga yang tidak pernah selesai dan ditambah pula dengan kerja2 profesional saya di sekolah.....menanda kertas Gerak Gempur SPM dan PMR, ditambah pula dengan menanda kertas Percubaan PMR yang sedang berlangsung, aktiviti latihtubi dan sebagainya.


Maaf andai kalian semua tidak nampak kelibat saya di mana2 blog....terima kasih kerana sudi juga kawan2 datang berziarah ke sini dan meninggalkan jejak kalian....andai ada masa dan kesempatan pastinya saya akan pergi juga menziarahi kawan2...menqadha balik mana2 entry yang tertinggal.......apakan daya saya.!



Saturday, August 8, 2009

Asyiq sudah kembali...

Alhamdulillah, dapat kembali semula ke alam maya. Selama 4 hari berada di Pulau Pinang atas tugas rasmi. Kursus Literasi Undang-Undang untuk Ketua Guru Disiplin Seluruh Negeri Perak. Hotel yang kami diami ialah aHotel Copthorne Orchid di Tanjung Bungah....bertaraf tiga bintang. Fasiliti agak sempurna....terutamanya kualiti makanan dan dewan seminar yang amat selesa.





Jadual kursus juga amat padat....bermula dari 8.30 pagi hingga ke pukul 11.00 malam. Pengisian kursus juga amat berkesan kerana ada gabungan maklumat dari pelbagai pihak.....slot ceramah dari pihak PDRM, slot ceramah undang-undang oleh Timbalan Pendakwaraya Pulau Pinang, slot ceramah dari Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, slot ceramah tentang isu disiplin yang berprofail tinggi dari Pegawai Khas Menteri Pelajaran Malaysia di samping slot-slot ceramah dari pihak KPM dan Jabatan Pendidikan Perak sendiri. Saya secara individu amat berpuashati dengan perjalanan kursus ini serta maklumat yang kami perolehi sebagai Ketua Guru Disiplin amat bermanfaat. Walaupun bilangan Ketua Guru Disiplin wanita hanya 11 orang sahaja berbanding dengan jumlah guru lelaki......namun keminoritian kami tidak menjejaskan semangat kami untuk terus menadah telinga dan melapangkan hati di dalam program besar seperti ini. Salam penuh takzim dari saya untuk rakan-rakan seangkatan iaitu Azanin, Saadiah, Norliza, Zuraini, Mastura, Fadhilah dan lain-lain.


******

Petang selasa saya mendapat panggilan telefon dari suami bahawa anak saya yang bongsu...Fahem telah di bawa ke klinik kerana demam. Hati saya gundah gulana kerana risau yang bersangatan. Doa dan solat hajat sempat juga saya titipkan buat anak2 tersayang. Namun ketenangan suami dalam menangani situasi amat menyenangkan saya....alhamdulillah dengan kata-katanya yang menyejukkan hati, Fahem kebah juga dari demam pada malam tersebut. Terima kasih kepada suami tercinta yang sanggup bersusah payah sewaktu ketiadaan saya......pagi Rabu dia memaklumkan bahawa Fahem sudah sembuh sepenuhnya tetapi direhatkan di rumah pada hari itu. Katanya...pada malam Rabu, diselimutkan Fahem dengan selimut saya.....alahai anak....demam kerana ingatkan ibunya kot!!! Anak bongsu memang macam tu....


******

Kami check out dari hotel pada pukul 2.00 petang hari Khamis. Sudah menjadi kelaziman bagi wanita....tidak membawa cenderamata untuk keluarga bukanlah wanita namanya apabila pergi berkursus. Saya dan rakan sedaerah, Azanin pergi membeli belah di Bazaar Penang yang juga berdekatan dengan Pasar Showrasta dan Komtar. Membeli jeruk buah-buahan adalah kemestian apabila berada di Penang...jeruk mempelam, buah pala dan buah salak yang banyak dijual di Pasar Showrasta. Di Bazaar Penang pula kaum wanita pasti akan juling mata melihat pelbagai corak baju dan kain pasang yang beraneka rupa.....agak mustahil untuk saya katakan bahawa tiada wanita yang akan pulang dengan tangan kosong apabila datang ke sini.....termasuklah kami. Namun begitu sebagai ibu...sudah pasti untuk anak2 dan suami juga ada dibelikan sebagai ingatan.


******

Hampir pukul 5.30 ptg baru kami menuju ke perlabuhan feri untuk berangkat pulang. Terus mengambil laluan tol Lebuhraya Utara Selatan hingga ke Changkat Jering. Pada asalnya saya berhajat untuk singgah sekejap di rumah emak saya di Kuala Kangsar untuk mengambil buah rambutan dan menjenguk emak...tetapi bimbang akan sampai ke Teluk Intan lewat malam maka saya batalkan rancangan tersebut. Dari Changkat Jering kami mengambil jalan potong melalui Pantai Remis - Segari - Lumut - Manjung dan ke Teluk Intan. Alhamdulillah, setelah berhenti sebentar di Lekir menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak dan qasar, saya sampai di rumah lebih kurang pukul 9 malam. Agak lama juga kerana kami memandu dalam keadaan tenang, tidak laju dan tidak terburu2.

******

Hari Jumaat --- kembali ke sekolah seperti biasa. Ada dua kes disiplin yang saya kena settlekan hari ini. Isu biasa sahaja....yang lebih panasnya isu Selsema babi yang sedang menular di daerah Teluk Intan. Tiga buah sekolah telah diwartakan ada kes ini dan salah sebuah darinya telah ditutup serta merta. Bimbang hati kami bukan kepalang. Saya dan seorang lagi rakan sejawat mengedarkan artikel tentang zikir dan doa yang sepatutnya diamalkan untuk menghindari wabak penyakit ini. Moga2 rakan dan murid Islam dapat mengamalkannya sebagai langkah berjaga2.

******

Pada pendapat saya....ada beberapa langkah berjaga-jaga yang perlu kita ambil untuk menangani wabak ini.

Pertama: Menjaga kebersihan....membasuh tangan dengan kerap kali.
Orang Islam mungkin tak ada masalah sebab secara sunatnya pun kita membasuh tangan dahulu sebelum mengambil wuduk. Kebersihan isi rumah juga jangan diabaikan.


Kedua: Mengelakkan diri dari berada di tempat awam sekiranya boleh.
Aktiviti yang melibatkan perhimpunan juga sekiranya boleh ditangguhkan, eloklah ditangguhkan. Ini pesanan dari Perdana Menteri kita sendiri.

Ketiga: Sekiranya kita terpaksa berada di tempat awam untuk keperluan hidup seperti bertugas dan membeli keperluan di pasar, hendaklah memakai topeng penutup hidung dan mulut. Jangan tunggu orang ramai pakai baru kita nak pakai...kitalah yang sepatutnya memulakan langkah ini terlebih dahulu kerana kita orang bermaklumat kan??? Perubahan patut dimulakan oleh diri kita sendiri.

Keempat: Sekiranya demam, terutamanya yang sakit tekak...bersegeralah berjumpa doktor
untuk menerima rawatan awal.

Kelima: Sepatutnya yang kelima ini adalah langkah yang pertama iaitu....membaca doa2 khusus untuk merawat jangkitan penyakit berjangkit. Terdapat pelbagai kaedah dan cara....melalui bacaan ayat Al-Quran dan selawat2 syifa`...kemudian sertai pula dengan solat hajat. InsyaAllah kita akan dilindungi Allah.

Walau apa juga yang berlaku.... hidup mesti diteruskan.....berserah dan bertawakkal kepada Allah. Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah. Allah sahaja tempat kita bergantung....



Monday, August 3, 2009

Amalan untuk elak penyakit berjangkit



Assalamualaikum semua...

Sebenarnya saya sedang menunggu masa untuk bertolak ke Pulau Pinang pada pukul 10.00 pagi untuk berkursus di sana sehingga Rabu 5.8.2009. Pagi tadi saya mendengar berita radio sewaktu menghantar anak ke sekolah....angka kematian untuk H1N1 pagi ini sudah ke angka 6 orang dan yang amat mengejutkan saya dua orang kanak2 yang meninggal dunia semalam tidak mempunyai sebarang petanda batuk atau kesesakan nafas. Macam mana boleh berlaku macam tu...semuanya ini meruntun hati dan perasaan saya...sementelah pula akan meninggalkan keluarga buat beberapa hari. Hanya Allah menjadi tempat saya bergantung.


Malam tadi saya sempat merayau ke laman2 web perubatan islam, sememangnya niat untuk mencari doa atau amalan yang diambil dari ayat2 al-Quran bagi mengelakkan diri dari penyakit penyakit yang sedang menular ini....berikut adalah hasil carian saya yang terdapat di blog Terapi Islam al-Fatah. Kredit untuk yang empunya blog...syukran jazilan.

*************************************************
Amalannya:


Yasin : 58


58. (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.


1) Selepas selesai solat Fardhu, amalkan membaca Yasin : 58 sebanyak 7, 9, 12 atau 27x senafas. InsyaALLAH terhindar dari segala unsur-unsur negatif.

2) Sebelum keluar rumah amalkan membaca Yasin:58 7x senafas, insyaALLAH terhindar dari segala penyakit berjangkit ,sihir atau gangguan makhluk halus dan santau terutamanya.

3) Dalam sehari, jadikan mandian untuk menghindar dari penyakit berjangkit dan segala penyakit dengan izin ALLAH – Yasin : 58 sebanyak 77x. Ditiupkan pada air di dalam baldi. InsyaALLAH.

4) Bagi yang terkena, boleh diikhtiarkan dengan menyediakan air satu baldi:-

- Garam Bukit 3-7 sudu (bergantung kepada tahap kekronikan sakit)

-Daun pokok Ketapang 7helai

- Daun Daun pokok Ara 7helai

- Kulit pokok Rambai 7 Keping ( Ditumbuk halus)

- Daun Bidara (jika kes gangguan)

Lalu dicampurkan semuanya dalam satu baldi dengan tuangan satu persatu lalu dibacakan dengan :

a) Al Fatihah 7 kali dengan ulangan Fatihah : 4 sebanyak 7 kali setiap satu.


4.
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

b) Ayat Kursi 7 kali dengan ulangan ayat yang digariskan sebanyak 9 kali setiap satu.



255. Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi.
tiada sesiapa Yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan Dengan izinNya. Yang mengetahui apa Yang ada di hadapan mereka dan apa Yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya)

c) Yasin : 58 63x.

d) 5 Qul ( Al Jin 1-5, Al Kafirun, Al-Ikhlas, Al- Falaq, An-Nas) Al Ikhlas seelok-eloknya dibaca sebanyak dalam bilangan yang berikut samada 1, 3, 5, 7, 9 atau 12x.

Maka, setelah selesai, dimandikan pesakit tadi. Adalah lebih bagus jika yang sihat mengamalkannya sekali sebulan sekurang-kurangnya kerana mengelak lebih baik dari mengubati.

************************************************************************************

Ramai juga yang tertanya-tanya, bahan-bahan di atas agak sukar untuk diperolehi jika tinggal di kawasan bandar.

Boleh saja digantikan dengan limau nipis sebanyak 7 biji dan garam bukit, jika bahan ini juga sukar diperolehi di bandar, saya dapat rasakan, pasti ada yang pelik, bandar mana yang individu tersebut tinggal?

Tidak perlu dipeningkan kepala dengan kaedah atau bahan-bahan. Yang paling penting dan utama adalah penyerahan dan pengabdian diri kepada ALLAH semata-mata. Bahan dan kaedah hanya sandaran tetapi pergantungan tetap kepada ALLAH semata-mata, tiada duanya. Ada jalan masuk, pasti ada jalan keluar, InsyaALLAH. ALLAHu Robbi.

*************************************************************************************
Sekadar tambahan, bagi yang akan menghadapi temuduga, boleh juga amalkan dengan membaca Yasin:58 7x senafas di muka pintu sebelum keluar rumah sambil membayangkan diri sendiri, lalu hembuskan nafas perlahan, isyarat menghembus diri kita yang dibayangkan itu. InsyaALLAH, semoga ALLAH memudahkan segalanya. Amin Ya Robbal A'lamin.
*************************************************************************************

Semoga kita semua mendapat perlindungan Allah ....

Pengikut ASYIQ