Assalamualaikum.....!
Menjelajah ke blog2 penulis ilmiah sempena sambutan Tahun Baru 2010.....saya tertarik dengan satu entry yang ditulis oleh penulis tersohor Pahrol Mohamad Juoi di sini.....Amat sesuai dengan kehendak naluri hati dan jiwa saya ketika ini.....maka seeloknya saya kongsikan di sini.
Suci Sekeping Hati
Sekeping hati dibawa berlari
Jauh melalui jalanan sepi
Jalan kebenaran indah terbentang
Di depan matamu para pejuang
Tapi jalan kebenaran
Tak akan selamanya sunyi
Ada ujian yang datang melanda
Ada perangkap menunggu mangsa
Akan kuatkah kaki yang melangkah
Bila disapa duri yang menanti
Akan kaburkah mata yang meratap
Pada debu yang pastikan hinggap
Mengharap senang dalam berjuang
Bagai merindu rembulan di tengah siang
Jalannya tak seindah sentuhan mata
Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba
Diambang 2010, di mukaddimah 1431 H, enam segmen kehidupan diteliti satu persatu – kerohanian, ilmu, keluarga, kerjaya, kesihatan, kewangan. Ku teliti hati-hati dan ku disuluh sepenuh satu persatu. Kepincangan dan lompang kelihatan di mana-mana. Sabar. Dan aku perlu bangun untuk memperbaikinya. Prestasi dan kemajuan… alhamdulillah, juga kelihatan. Syukur. Dan bangun lagi untuk meningkatkannya.
Di langkah pertama memacu roh hijrah 1431 H dan momentum 2010, aku hanya ingin mengingatkan. Tentang wujudnya parasit… parasit hati!
Awas, parasit yang seperti itu sentiasa ada. Kenali dia dan menghindarlah jauh-jauh tanpa bermusuh. Jangan buka ruang dan peluang untuk dia mencelarukan hidup mu. Jangan biar dia mengelirukan pertimbangan mu. Dia itu pandai berkata dan licik bercerita. Cerita yang memikat. Kata yang mengikat. Dia seolah-olah sahabat terapat… tetapi rencananya busuk sekali. Dalam diam dia bijak melaksanakan dendam. Bagaikan api di dalam sekam!
Mungkin kita tidak pernah menjangka orang yang begini wujud. Jika anda lurus, tulus tetapi tidak berhati-hati… anda akan serahkan segala-galanya kepada dia. Kepercayaan, kesetiaan dan harapan, anda pertaruhkan kepadanya. Dia itu bijak menghulur, tetapi tiba-tiba dia akan menyentak dan anda akan tersentak. Dia kah itu? Mungkin dia berwajah jernih, murah senyuman dan pandai menabur simpati. Lalu anda akan terkesima dalam terpedaya. Sudah nyata tetapi seakan masih tidak percaya. Dia kah itu?
Beringat-ingat, ketika dia bercerita tentang orang lain, satu ketika orang lain pula akan mendengar cerita mu. Dia bijak mengatur bidak, menjolok yang sana untuk menjatuhkan yang sini. Atau menyanjung yang sini untuk memancung yang sana. Di mana pun dia mudah mendapat kawan, kerana simpati, empati dan kata-katanya sangat menawan. Terlalu lama masa untuk mengenal warna dia yang sebenar. Hanya bila anda mula menjarak, barulah rupanya yang sebenar terserlah.
Jangan takut dan rugi untuk menjauhinya. Dia hakikatnya “parasit” pada hati mu dan diri mu. Dia akan sentiasa memperalatkan dan punya dua wajah yang boleh diterima oleh dua atau tiga pihak yang saling bertelagah. Jika permusuhan orang lain menguntungkannya, dia menjadi batu api. Jika perdamaian orang lain memberi manfaat, dia akan kelihatan sebagai juru damai yang begitu cinta keamanan. Tetapi hakikatnya bukan orang lain yang menjadi sasaran kebaikan, tetapi dirinyalah jua yang meraih keuntungan.
Aku menulis ini justeru ada pertanyaan. Aku enggan menulis tentang watak “hitam” dalam kelompok manusia seperti dia. Aku pun bukan “malaikat” yang serba suci dan tidak punya kesalahan. Tetapi berdasarkan ilmu dan pengalaman yang secebis, anda, aku dan kita pasti menemui orang-orang seperti ini dalam pergaulan. Jika tidak setuju, dia senyum, manis seolah-olah setuju. Tetapi belakang kita lain bicaranya. Jadi, jangan ada apa-apa hubungan dengannya… biarkan dia berlalu sebagai “tanda jalan” dalam musafir hidup mu!
Cinta jangan keterlaluan, benci jangan sekali. Namun berhati-hati itu sangat perlu… pembeza antara sangka baik dan waspada. Sangka baik itu dituntut, waspada itu perlu. Jangan tertipu dengan senyuman. Jangan melulu oleh kemarahan. Sebaik-baiknya aturlah perasaan agar sentiasa di pertengahan. Agar diri sentiasa dalam kawalan. Pintalah hidayah, pohonlah taufik, untuk mencari kesetiaan dalam amukkan badai kemunafikan.
Maaf kiranya bicara ku ini dibauri bunga-bunga bahasa. Sengaja ku kelamkan makna di balik sulaman kata-kata. Bukan tidak mahu berterus terang… tetapi sekadar “melembutkan” pendekatan. Ya, mana mungkin air najis akan membersihkan najis? Mana mungkin satu keburukan dihapuskan oleh satu keburukan yang lain? Cuma aku tidak mampu berdiam. Sebagai manusia biasa, hati kita bukankah umpama kuah yang sedang menggelegak? Ada kala dingin seperti salju, tetapi ada masanya bagaikan lahar berapi yang sedia meledak!
Ah, biasa ilmu akan datang memujuk kita. Ditayangkan di depan mata akan keburukan sendiri, lalu ketika itu kaburlah kesalahan orang lain. Teringat pesan Imam Ghazali RHM, jika yang melakukan kemungkaran itu orang muda… kau katakan, dia masih muda. Masih sedikit dosa dan kesalahannya. Berbandingkan kau yang telah tua, yang terlalu pekat oleh maksiat. Dia masih punya masa untuk taubat. Sedangkan kau sudah berada di garis penamat.
Jika yang melakukan kejahatan itu sijahil, kau ingatkan diri mu bahawa dia melakukannya kerana tidak tahu. Sebaliknya jika kau melakukan kejahatan, kau melakukannya dengan ilmu, dalam sedar, dalam tahu. Oleh itu dosa mu adalah terlalu. Takutilah parasit hati… yang berasal daripada hati mu sendiri!
Ya, sekali lagi… pandanglah dulu onar diri mu. Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
1. Solat berjemaah.
2. Sentiasa berzikir.
3. Berdamping dengan Al Quran.
4. Melazimi taubat dan berselawat.
5. Sering bersedekah.
Itulah perisai hati yang akan melemahkan parasit hati!
Salam kasih sayang,
Asyiq
Terima kasih, mak anjang kholijah
1 day ago
18 comments:
Salam...:)
Saya tambahkan pada "Parasit hati itu tidak akan mampu merosakkan mu jika kau sentiasa:
- Tidak meninggalkan solat sunat tahajjud
- Tidak meninggalkan solat sunat dhuha
Terimakasih ustaz Razak...
Ustaz selalu berada bersama saya ketika saya memerlukannya.....saya akan ingat pesanan ini. Saya akan mengamalkannya.....azam tahun baru.
ustaz pahrol merupakan seorang kenalan terdekat saya - dan terima kasih kerana kita berkongsi minat membaca ' minda ' untuk pahrol.........
rasanya semua bahan yg dituliskan terbaik untuk dijadikan rujukan...
salam Kak Asyik..selamat tahun baru. semoga tahun br lebih baik drp sebelumnya..jom tkr link..
salam cikgu,
terima kasih atas nasihat dan peringatan
selamat tahun baru.
Isnin dah mula keje ek?
Salam Kak Asyiq...
Selamat tahun baru... semoga sentiasa bahagia disamping kelurga... terima kasih masih menjengah ke blog saya... walaupun dah lama benar saya tak ke blog akak nie... tq
Jinggo ---> Mungkin itu antara matlamat kita di sini....berkongsi segalanya. Terima kasih krn guide saya dalam banyak perkara selama ni....
Hamizah ---> Semoga adik juga terus diberkati Allah di tahun baru nie....
tEDI adikku sayang ---> Selamat tahun baru juga utk tEDI, moga terus diberkatiNya.
Yup, isnin dah keje.....kejap aje masa berlalu.
atie ---> Akak pun dh lama tak blogging....rindu juga rasanya. Blogging ada kepuasan tersendiri berbanding facebook.
Selamat tahun baru, moga terus diberkatiNya.
salam kasih sayang kembali :D
apa kabar kak.. lama xdgr brita?? rindu pulak..
selamat menghadapi hari2 yg mendatang dgn penuh keimanan.. insAllah..
Apa khabar? Lama tak dengar cerita?
Muga sihat dan tabah selalu
selamat tahun baru lagi kita, moga lebih cantik pada tahun ini dan seterusnya ;)
Hi Kak..
sihat tak? Bz eh..
Happy New Year 2010 Kak..
Jaga diri k.
selamat tahun baru utk akak..
Nasihat yang indah..............
salam kerinduan..
lama akak tk update bl0g dh...
bz ke..sihat?
tq asyiq :)
Post a Comment