JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Sunday, September 27, 2009

Aku ingin mati dalam sujudku...



Suatu malam ketika aku sedang nyenyak tidur tiba2 aku melihat seolah-olah ayahanda menjelma dihadapanku. Perasaan kasih pada ayahanda tidak dapat ditahan-tahankan lagi, lalu aku berteriak...."Ayah, sudah terlalu lama tiada berita dari langit sejak ayahanda tiada....!"

Ketika itu aku terlalu rindu setelah beberapa hari ayahanda wafat. ketika aku sedang memanggil2 ayahanda, muncul pula para malaikat bersaf-saf lantas menarik tanganku, membawa aku naik terus ke langit.

Apabila aku mendongak, ternampak istana2 indah yang dikelilingi oleh pelbagai jenis tanaman serta anak2 sungai yang sejuk mengalir saujana mata memandang luasnya.

Keindahan istana demi istana dan taman demi taman berjajaran di hadapan mata begitu mengasyikkan. Dari celahan pintu2 istana tersebut menjelmalah para bidadari seolah2 patung bernyawa yang sangat jelita, sentiasa tersenyum dan bergelak ketawa. Bidadari itu berkata; "Selamat datang wahai makhluk yang diciptakan syurga untukknya dan kerana ayahanda kamu jugalah kami diciptakan....."

Malaikat terus membawa aku naik ke langit seterusnya sehingga memasuki sebuah tempat yang dipenuhi istana-istana yang lebih indah daripada sebelumnya. Cahayanya begemerlapan.

Dalam setiap istana itu terdapat rumah2 berisi pelbagai perhiasan indah yang belum pernah dilihat oleh mata, tidak terdengar di telinga dan tidak pernah tersirat di hati. Penghuni istana2 ini sentiasa bergembira, bergelak ketawa dan ceria. Di istana itu terdapat pelbagai jenis kain sutera nipis dan tebal. Juga terdapat selimutdaripada sutera dengan pelbagai warna dan corak.

Di atas rak kelihatan pelbagai jenis gelas diperbuat daripada emas dan perak yang sungguh menawan. Pelbagai jenis hidangan makanan, buah-buahan serta air minuman yang lazat dan enak tersedia untuk dimakan. Pemandangan di taman-taman pula sungguh memukau dengan aliran sungai yang warnanya lebih putih daripada susu, rasanya lebih manis daripada madu dan baunya lebih semerbak daripada kasturi.

Aku yang kehairanan dan takjub lantas bertanya: "Untuk siapakah tempat2 indah sebegini dicipta? Apa nama2 sungai yang harum mewangi ini?"

Malaikat2 itu menjawab: "Tempat ini adalah Firdaus, syurga yang paling teratas. Syurga ini khusus untuk singgahsana ayahandamu, semua para rasul, nabi,para syuhada dan syiddiqun yang dicintai Allah. Sungai ini bernama al-Khauthar yang telah Allah janjikan kepada ayahandamu"

Aku bertanya: "Di mana ayahandaku..?"

Malaikat-malaikat itu menjawab: "Sebentar lagi ayahandamu akan datang menjemputmu.."

Tidak lama kemudian aku ternampak istana-istana yang sangat putih dan permaidani yang sangat indah. Tiba2 aku sudah berada di atas permaidani yang terbentang di atas singgahsana. Aku ternampak ayahandaku sedang terbaring di atas singgahsana tersebut dikelilingi sekelompok orang yang tidak dikenali. Ayahandaku menarik tanganku dan mencium dahiku berkali-kali...

Ayahanda berkata: "Selamat datang wahai puteriku!" Lalu ayahanda meletakkan aku di atas pangkuannya dan berkata lagi: "Wahai puteriku, tidakkah engkau lihat apa yang telah Allah janjikan kepadamu dan apa yang akan engkau perolehi?"

Ayahanda menunjuk ke arah istana2 yang disaluti bermacam-macam hiasan yang indah menawan serta berkilau-kilauan saujana mata memandang. "Inilah tempat tinggalmu, kediaman suamimu, kedua-dua anakmu dan orang-orang yang mencintaimu dan kamu mencintai mereka. Bergembiralah...engkau akan mengikut ayahanda datang ke sini beberapa hari lagi!"

Aku berkata: "Kalau begitu, senanglah hatiku dan bertambah rindulah pada ayahanda"

Selepas berjumpa beberapa ketika dengan ayahanda, aku terjaga. Tubuhku menggigil dan terasa takut yang amat sangat. Aku masih teringat-ingat bisikan ayahanda. Aku akan mengikut langkah ayahanda beberapa hari lagi. Aku masih ingat ayahanda juga menyatakan perkara yang sama sebelum ayahanda wafat. Ayahanda membisikkan kepadaku bahawa akulah orang pertama yang akan menyahut panggilan Ilahi selepasnya.

Selepas ayahanda wafat aku selalu menangis dan bersedih. Perasaan sedih makin terasa selepas bermimpi bertemu dengan ayahanda. Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia fana ini untuk bersama ayahanda tercinta di akhirat yang kekal, aman dan sentosa.

Aku menceritakan mimpi tersebut kepada suamiku dan pembantuku Asma binti Umaiys. Aku beritahu saat ajalku semakin tiba. Asma menunjukkan keranda dari pelepah tamar basah yang akan menjadi usungan jenazahku dan aku tersenyum memandangnya. Aku berwasiat supaya jenazahku dikebumikan di malam hari. Aku juga meminta suamiku menikahi Umamah, saudara perempuanku. Umamah menyayangi anakku seperti aku menyayangi mereka.

Setelah merasai saat ajalku semakin tiba, aku membawa dua orang anakku menziarahi makam ayahanda. Tubuhku terasa sangat lemah untuk memijak. Tapi aku gagahi juga untuk bersembahyang dua rakaat antara mimbar dan makam ayahanda.

Tidak lama lagi jasadku akan berpisah dari ruh. Aku akan meninggalkan dua puteraku. Lalu aku peluk dan cium kedua-duanya bertubi-tubi. Selamat tinggal semua, biarlah aku mengadap Ilahi tanpa tangisan sesiapa. Kalau boleh aku mahu tinggalkan dunia ini dalam keadaan bersujud kepada Ilahi...

Aku terus meninggalkan dua puteraku dan suamiku di makam ayahanda dan membiarkan suamiku terus bersembahyang di situ. Aku mengambil ramuan "hanuth" untuk mengawet mayat yang biasa digunakan oleh ayahanda. Aku siramkan air ramuan itu ke seluruh tubuhku. Kemudian aku memakai kain sisa kapan ayahanda. Kemudian aku memanggil Asma binti Umaiys.

Pada Asma aku berpesan: "Wahai asma, perhatikanlah aku. Sekarang aku hendak masuk ke dalam rumah membaringkan tubuhku sekejap. Jika aku tidak keluar, panggillah aku tiga kali dan aku akan menjawab panggilanmu. Tetapi jika aku tidak menjawab, ketahuilah ketika itu aku telah mengikut jejak langkah ayahandaku.."

Setelah sejam berlalu, Asma memanggil2 nama wanita itu tetapi tiada sebarang jawapan. Ketika Asma masuk, dia amat terkejut melihat wanita bertubuh kurus cengkung itu meninggal dunia dalam sujudnya. Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun......

*****
"Aku" dalam cerita di atas adalah Saidatina fatimah Az-Zahra, puteri kesayangan Rasulullah dengan isteri pertamanya Siti Khadijah. Saidatina Fatimah meninggal dunia dalam usianya 28 tahun setelah 40 hari Rasulullah wafat dan jenazahnya dimakamkan di Perkuburan Baqi` di Madinah. (dipetik dari MASTIKA-Mei 2006)

*****
Cerita-cerita sebegini mampu menghidupkan jiwa kita, menyegarkan ruh kita supaya lebih yakin akan balasan Allah kepada hambaNya yang taat, patuh dan ikhlas menghadapi kehidupan. Sabarlah menghadapi kesusahan dalam mentaati perintah Allah kerana janji Allah bukan sia-sia. Sabarlah dalam menjaga ibadat solat, sabarlah dalam mentaati suami tercinta, sabarlah dalam mentaati perintah menutup aurat, sabarlah dalam membanyakkan bacaan al-Quran, sabarlah segala-galanya.



Wahai puteri Rasulullah....aku juga ingin mati dalam sujudku kepada yang Esa....amiiin.

Thursday, September 10, 2009

Kita masih beruntung...

Assalamualikum w.b.t....





10hb September berlalu sudah....maka berakhirlah peperiksaan penting yang pertama dalam sejarah hidup kak ngah...UPSR 2009. Gembiranya dia bukan kepalang....banyak sudah agenda wajib yang ingin dibuatnya...."gaia online"nya pun sudah lama tidak dibukanya...."ym"nya dengan sepupu-sepupunya pun dah lama tak dijengah. Namun begitu saya membisikkan kepadanya bahawa tadarrusnya perlu diteruskan. Ada dua juz lagi yang belum dihabiskannya.








Syukur alhamdulillah, dia melalui UPSRnya dengan tenang dan yakin. Mungkin berkat doa ramai pihak...ibu,ayah,ahli keluarganya dan juga semua rakan-rakan blogger saya yang setia....Saya amat menghargai kalian semua....amat menghargai. Ada yang menaip doa yang panjang lebar untuk kak ngah...terima kasih sangat-sangat atas kebersamaan anda semua dalam kehidupan saya sekeluarga.









































































Saya pahatkan nama kalian di dalam hati saya. Kalian adalah sebahagian dari cerita-cerita yang terdapat dalam diari hidup saya....Sebagai tanda penghargaan...terimalah sebakul bunga ros dari saya.....sebagai ucapan terima kasih atas penghargaan anda semua. Boleh buat hiasan di meja sempena hari raya ni...hihi. (Tak sempat nak edit....patutnya saya buat kad untuk anda semua!)





******

Petang tadi seusai bunyi loceng terakhir sesi persekolahan....saya didatangi oleh seorang murid dari tingkatan empat bersama dengan sekeping borang di tangannya.

Murid : "Ustazah, saya nak keluar duit biasiswa, guna buku ye ustazah...." katanya tersipu-sipu.

Saya: "Kenapa kamu tak guna kad GIRO aje...?"

Murid : "Saya dah guna kad GIRO bulan lepas...sekarang dah tak boleh guna laaaa...."

(Kad GIRO hanya boleh digunakan "terhad" untuk mengeluarkan RM150.00 dalam tempoh dua bulan. Kalau tidak...pengeluaran akan disekat secara automatik. Murid yang bermasalah dan memerlukan duit dengan alasan yang munasabah boleh mengeluarkannya dengan buku bank tetapi hendaklah dengan kebenaran guru yang berkenaan sahaja)

Saya: "Ada masalah...? " saya meneka seribu kemungkinan melalui air mukanya yang muram.

Murid: "Ayah dah diberhentikan kerja....dah dua bulan. Sekarang dia ambil upah masak bubur
lambuk di masjid dengan upah RM10.00 sehari. Dah tiga hari ayah demam...belanja
rumah dah tak ada." bergenang air di kelopak matanya. Dia menahan hiba...

Saya : "Hurm...nak buat belanja raya la ni....!" kata saya cuma berlagak biasa. Tak mahu dia
terus sedih.

Murid : "Bukan...belanja raya tak kisah ustazah. Yang penting nak beli makan berbuka pun tak
ada duit..." menitis akhirnya air matanya membasahi pipi.

Saya pun hiba juga. Saya pun sedih juga. Tetapi untuk menguatkan jiwa dia saya tahan kesedihan saya. Allah....hati saya mengeluh ....dalam terasa hingga ke ulu hati. Pedih. Terkenang zaman saya kecil dulu....beginilah juga susahnya saya. Kasihan kamu....apakan daya saya.

Tangan saya segera menurunkan tanda tangan dan mengecop borang tersebut...menandakan bahawa murid ini berhak mengambil buku banknya di pejabat sekolah dan segera menunaikan hajatnya. Sambil itu saya tak sudah-sudah memujuk dia....juga menghulurkan sedikit bantuan yang termampu oleh saya pada ketika itu. Lapangkanlah jiwa remaja ini ya Allah....

Murid tersebut meraup tangan saya...mencium lantas mengucapkan terima kasih berkali-kali. Murid ini memang saya kenali sungguh....pendiam, jujur, berbudi bahasa dan kuat berusaha. Besar sungguh hatinya apabila saya memahami masalahnya.


******

Di kamar kerja saya pagi tadi suasana agak bising.....semuanya membahaskan isu "bonus". Hanya kakitangan sokongan sahaja yang mendapat duit raya....kakitangan profesional seperti kami nampaknya tahun ini tak ada "luck"....berayalah seadanya.

Terdetik di hati kecil saya. Kita sibuk memikirkan persiapan rapi untuk menyambut hari raya....kuih berbalang-balang, baju raya berpasang-pasang, langsir silih berganti, namun terfikirkah kita akan nasib yang menimpa seorang remaja yang berusia 16 tahun tadi. Sanggup mengeluarkan duit biasiswa untuk menampung belanja berbuka puasa.....masyaAllah. Langsung tidak memikirkan soal baju raya baru atau kuih berbalang balang....

Setiap tahun juga kita menghabiskan sejumlah wang yang kita hantar ke masjid untuk menaja majlis berbuka puasa. Masjid yang kecil...kecillah peruntukkannya...masjid yang besar maka besarlah peruntukkannya. Siapa yang datang berbuka.....? Kekadang yang datang adalah mereka-mereka yang penuh menu berbuka di meja di rumahnya....ataupun pendatang asing yang berebut mengambil peluang berbuka free sepanjang bulan ramadhan....

Atas dasar sedekah...silalah siapapun makan. Kalau bukan orang pun....kucing liar yang tidak bertuan kalau makan makanan tersebut pun kita turut dapat ganjaran pahala dari Allah.Persoalannya....mereka yang benar-benar tidak mampu tidak pula mahu datang ke masjid untuk berbuka puasa. Jadi matlamat kita untuk menggembirakan yang miskin berbuka puasa tidak juga tercapai!

Syarikat-syarikat besar pula berebut-rebut menaja anak-anak di rumah-rumah anak yatim untuk berbuka puasa. Sememangnya golongan ini layak dibantu kalau mereka dalam kategori "miskin".....tapi bukan sedikit rumah anak yatim yang sudah dalam kategori"mewah" sekarang ini....rumah anak yatim yang "miskin" mungkin nun jauh di pinggir kampung......!


Menjadi guru bukan boleh jadi kaya. Namun begitu saya bersyukur kerana saya sering mendampingi manusia yang mempunyai pelbagai latarbelakang keluarga. Semuanya membuatkan saya insaf.....apabila mampu mendampingi mereka, mendengar perit jerih kehidupan mereka mampu melapangkan hati saya...seterusnya memanjatkan seribu kesyukuran di atas nikmat yang dianugerahkan kepada saya.

Alangkah indahnya sempena ramadhan ini kita dapat membantu golongan yang benar-benar memerlukannya. Kenalilah mereka...hantarlah bantuan. Riangkanlah hati mereka untuk sama-sama menikmati rezeki yang dianugerahkan oleh Allah.

Jadi, apabila saya dikejutkan dengan masalah murid tingkatan empat tadi....setidak-tidaknya saya rasa besyukur dengan apa yang saya ada. Pasrah meraikan aidilfitri walaupun tanpa bonus.

^__^

"Marilah meraikan 10 terakhir bulan ramadhan....."


Monday, September 7, 2009

Semoga berjaya kak ngah...


Assalamualaikum semua.....hari ini saya memasukkan entry khas untuk anak kedua saya Aini Amirah atau lebih dikenali dalam keluarga kami sebagai kak ngah. Ianya dibuat khas kerana kak ngah akan menduduki Peperiksaan UPSR 2009....Selasa hingga Khamis (8hb hingga 10hb September 2009) sebagai tanda bahawa kami semua bersama kak ngah dalam mendoakan kak ngah dan memberi suntikan semangat bahawa "kak ngah boleh."



Saya tak sangka baby yang berusia tiga hari di atas itu ialah Aini Amirah yang kini sudah hampir menjangkau usia 12 tahun. Kak Ngah dilahirkan pada 3hb November 1997....iaitu awal 4 hari untuk menyambut ulangtahun perkahwinan ibu dan ayah kali keempat. Sedangkan anak sulung saya (kak long) lahir pada 7hb November 1994 iaitu tepat pada ulangtahun perkahwinan kami yang pertama. Kiranya kak long hadiah ulangtahun perkahwinan yang pertama dari Allah....Kak ngah lahir seberat 3.5 kilo (agak besar!) tepat pukul 9.00 pagi hari Isnin.

Beza umur kak long dan kak ngah ialah tiga tahun sahaja....lihatlah perangai kak long yang teruja menanti kelahiran adiknya ketika dia berusia tiga tahun. Beria-ia dia ingin dibedung sama macam adiknya....taraaaaa, kain pelikat ayahlah yang menjadi mangsa. Itulah detik-detik permulaan hubungan dua beradik ini yang lagaknya seperti saudara kembar.....sehingga kini, tidak boleh berpisah.....

Ok...ini pula gambar kak ngah masa berusia 9 bulan, baru belajar berjalan. Sudut yang paling digemarinya di rumah ialah bakul mainannya....punggah, kemas,punggah,kemas dengan dibantu oleh kakaknya yang tersayang. Orangnya kecil molek sahaja...walaupun masa baby dilahirkan seberat 3.5 kg. Satu daripada kepelikan yg ada pd kak ngah sewaktu kecilnya ialah dia menyusu badan sepenuhnya....dia tidak langsung boleh menerima susu lembu, kalau minum mesti muntah. Atas faktor ini jugalah dia mempunyai emak susuan iaitu kakak kandung saya sendiri yang mengasuhnya seawal usia dua bulan ketika saya pergi bekerja. Jadi kak ngah ada dua keluarga....keluarga kandung dan keluarga susuan. Adik beradik kak ngah di sebelah ibu susu seramai tujuh orang. Dia amat kenal dan sayang semuanya.....


Kak ngah merupakan kanak-kanak kecil molek yang aktif....tidak sepadan dengan usianya. Lincah bergerak, ceria dan rajin menolong ibu...terutamanya bab memotong sayur dan membuat kuih. Seorang kanak-kanak yang jarang sakit....tetapi badannya tak mahu berisi. Sehingga sekarang still maintain...


Kak ngah seorang yang peramah dan amat disenangi oleh kanak-kanak sebaya dengannya. Gambar di atas di ambil ketika kak ngah masih di tadika, ketika itu kami menetap di rumah kami di Kuala Kangsar. Mereka adalah rakan sepermainan kak ngah yang kini masih menetap di Desa Seri Iskandar di Kuala Kangsar. Yang berbaju biru tu...."superman"...adalah hero saya, Fahem.

Taraaaaa....ini pula gambar kak ngah pada hari pertama persekolahannya di tahun satu. Baju sekolahnya dijahit sendiri oleh ibunya...hihi. Nampak penuh bersemangat dan sangat bercita-cita tinggi....agak serius kak ngah di hari pertama persekolahannya.


Next....saya pilih gambar ini kerana inilah tahun permulaan kak ngah memakai tudung...2005 ketika kak ngah berusia 8 tahun. Kak ngah bersama kak long dan adiknya fahem bersemangat memakai baju merah menyokong pasukan rumah sukan ibu pada Hari Sukan Tahunan di SMK Raja Perempuan Kelsom Bukit Chandan Kuala Kangsar.


Gambar ini saya ambil sewaktu kak ngah mengikut rombongan sekolah saya melawat Bandar Bersejarah di Melaka. Kalau berjalan-jalan....walaupun asalnya elok bertudung kemudian kak ngah akan menanggalnya dan memegangnya sahaja...panas, itu katanya. Mereka ketawa kerana sewaktu gambar ini ditangkap, lembu di belakangnya tengah sedap membuang air kecil...hihi. Baunya Allah sahaja yang tahu....


Inilah kak ngah sekarang....tahun 2009. Masih maintain kecil moleknya....dari dulu lagi. Semua orang ingat dia baru tahun tiga atau empat. Awet muda katanya.....

Kak Ngah....

Kami Semua mendoakan kejayaan kak ngah dalam UPSR

Kekalkan pencapaian yang ada sekarang....

Berhati-hati semasa menjawab...

Jangan lupa semak semula jawapan....

Berdoa dan bertawakkal kepada Allah.

Semoga Berjaya kak ngah...

Wish U the best of luck...!

Saturday, September 5, 2009

Dengan Rahmat Allah Dia ke Syurga

Assalamualaikum w.b.t....

Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua berkenaan kisah Nabi Musa dengan seorang abid (ahli ibadah) yang terlalu mengharapkan syurga Allah di akhirat kelak.

Abid tersebut hidup di zaman Nabi Musa...iaitu salah seorang dari keturunan Bani Israel. Disebabkan terlalu cinta kepada Allah, beliau sanggup mengasingkan dirinya dari kehidupan dunia dengan menetap di sebuah gua yang jauh dari pandangan manusia lain.


Pada siang hari dia berpuasa...di malam hari dia berjaga beribadat kepada Allah. Mata air yang terdapat di gua tersebut dijadikan sumber bekalan air minumannya dan buah-buahan yang terdapat di persekitaran gua dijadikan bahan makanannya.


Kisah abid ini telah diketahui oleh Nabi Musa. Nabi Musa terlalu teringin untuk bertemu dengan abid ini....baginda mengetahui kehebatan si abid ini. Beberapa kali usaha Nabi Musa untuk bertemu dengan abid ini telah menemui jalan buntu kerana si abid asyik beribadat kepada Allah dan enggan keluar daripada gua tersebut.


Pada kali yang ketiga baginda mencuba...baginda terus masuk ke dalam gua tersebut dan memberi salam. Dek kerana yang datang menziarahinya adalah seorang Nabi maka si abid tadi sedaya upaya melayan tetamunya.

"Wahai Nabi Allah, aku tahu Allah Maha Mengasihani...tetapi aku bimbang jika aku tidak membuat kebajikan, entah-entah nanti aku dipanggilnya dalam keadaan lalai...maka aku akan mati dalam keadaan sia-sia....dalam keadaan cuai terhadap Allah."


"Wahai Nabi Allah, mintalah kepadaNya redha untukku dan jangan biarkan aku bergantung kepada sesuatu selain dari hanya kepada Allah semata-mata sehingga aku menemui ajalku dan bertemu denganNya"


Si abid memohon supaya Nabi Musa menyampaikan hasrat dan permintaanNya kepada Allah. Apabila Nabi Musa memanjat bukit Thursina untuk bermunajat kepada Allah....baginda menyampaikan pengharapan hamba Allah ini walaupun pada asalnya baginda sudah hampir terlupa akan permintaan si abid tadi....


Allah berfirman..."Wahai Musa, pergilah kepadanya. Katakan kepadanya....walaupun dia berterusan beribadat dan bermunajat...dia tetap akan masuk ke dalam neraka kerana dosa yang pernah dilakukannya dahulu. Tidak terkira banyaknya."


Berita buruk itu disampaikan kepada abid tadi. Beliau pasrah...terus menangis, terus sujud dan terus bermunajat memohon keampunan dan rahmat Allah. Baginya apa yang berlaku ada mengandungi hikmah di sebaliknya. Tidak ada rasa putus asa di atas rahmat Allah. Beliau menggandakan lagi ibadatnya dengan penuh rasa ikhlas dan amat yakin bahawa rahmat Allah amat luas....


Kemudian Allah berfirman...."Wahai Musa, sekarang pergi kepadanya dan gembirakanlah dia bahawa dia adalah dari golongan ahli syurga, semata-mata kerana rahmatKu! Dia telah menerima keputusanku yang pertama dengan redha dan terus mengharap rahmatKu....dia amat bertenang mendengar keputusanKu. Katakanlah....jika dia membuat dosa seluas langit dan bumi sekalipun nescaya Aku akan mengampuniNya."


***

Pengajaran dari kisah ini : Hendaklah kita sentiasa yakin dengan rahmat Allah. Bahawa dengan rahmat Allah kita akan memasuki syurgaNya. Untuk memperolehi rahmat Allah kita juga hendaklah melebarkan rahmat kita kepada manusia yang berada di sekeliling kita. Ingatkah kita kepada kisah seorang hamba Allah yang dapat memasuki syurga Allah semata-mata kerana menolong memberi minuman kepada seekor anjing yang sedang dalam kehausan!
Kesimpulannya hati kena baik...walaupun hanya kepada seekor binatang....apatah lagi kepada sesama manusia. Jauhi sifat hasad dengki, dendam, berkasih sayanglah kita sesama manusia.


Kita juga perlu sedar bahawa kita tidak mampu untuk membeli syurga dengan ibadat-ibadat yang kita lakukan...apatah agi untuk membayar balik segala nikmat2 Allah yang telah diberikan kepada kita. Kita akan dapat masuk syurga semata-mata dengan rahmat Allah. Kita tidak mampu untuk mempersembahkan ibadat kita yang banyak semata-mata untuk membayar segalanya....semua itu terlalu sedikit di sisi Allah. Ikhlas, tulus, hati yang bersih, taat perintahNya adalah jaminan untuk menduduki syurga.


Rahmat Allah perlu kita mohon selalu terutamanya di bulan yang penuh maghfirah dan rahmah ini....amiiiiiiin ya Rabb.

Thursday, September 3, 2009

Bertengkar...selamatkah?


Pernah bertengkar dengan pasangan? Kalau jawab "TIDAK PERNAH" bolehlah dianggap "ajaib". Bagi pasangan yang tengah bercinta memang la jarang bertengkar. Masing-masing sedang meraih perhatian pasangan...sedaya upaya mahu merebut hati pasangan. Tapi kalau pasangan suami isteri.....agak mustahil juga tak pernah bertengkar....sedangkan lidah lagi kan tergigit. Betul tak?


Punca suami isteri bergaduh atau bermasam muka amat banyak. Dah tinggal sebumbung...mestilah banyak yang menggigit rasa. Kalau zaman bercinta "kentut pun wangi" tetapi kalau dah berumahtangga.....suami kentut depan isteri pun boleh membuatkan isteri bermasam muka. Betul tak? Tadi saya terbaca kisah perceraian berlaku pada sepasang suami isteri setelah si suami tidak suka tabiat isterinya yang suka memicit ubat gigi sesuka hati....tidak dipicit dari bawah. Pelik kan? Cerita lanjut bolehlah baca di SINI.


Betul la kata P.Ramlee..."sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri" Kita ni kan manusia biasa. Kita ni banyak kekurangannya. Cuma yang perlu kita ingat ialah suami kita adalah manusia yang mempunyai hak untuk dihormati dan dan ditaati. Begitu juga dengan si isteri...bagi para suami di luar sana perlu ingat bahawa isteri mereka juga mempunyai hak untuk disayangi dan dibelai dengan kelembutan.


Adakah apabila timbul pertengkaran maka kita boleh labelkan bahawa rumah tangga tersebut telah gagal kerana tidak wujud komunikasi unggul? Tidak ada rumah tangga yang tidak ada slot pertengkaran....cuma yang kita perlu lakukan ialah "bertengkar dengan cara yang selamat" Ertinya kita tak mahu pertengkaran tersebut akhirnya mengakibatkan perceraian...nauzubillah.


Untuk bertengkar dengan cara selamat...kita hendaklah ubah sikap yang tidak mahu bertanggungjawab. Contoh....suami marah-marah apabila barang yang diletakkannya di atas meja telah hilang lalu menuduh si isteri yang suka mengemas membuangnya. Dalam keadaan begitu...si isteri perlu mengalah sahaja. Diam adalah langkah terbaik...ataupun minta maaf. Dalam keadaan macam tu jangan menafikan pula...walaupun jelas kita tidak membuang benda tersebut. Tolong dia cari barang tersebut. Jangan bertekak. Silap-silap barang tersebut ada di dalam kocek seluarnya. Jangan harap pula si suami minta maaf...ego mereka kan tinggi. Jangan mengharap...nanti kita kecewa. So, pertengkaran itu selesai dengan selamatnya.


Kedua....hentikan sikap suka mencari perbezaan. Inilah sikap yang paling tidak selamat dalam rumah tangga. Utamakan mencari keserasian dan persamaan. Jangan suka membanding-bandingkan suami atau pasangan dengan orang lain. Jangan cari macam cerita Pendekar Bujang Lapok...disebabkan buat sambal tak letak belacan pun sampai nak berbunuh-bunuh. Redha dengan apa yang kita ada. Kita pun bukannya sesempurna mana pun...macam mana kita nak pasangan kita sesempurna mungkin. Suami pun kenalah bersikap begitu juga....mungkin isteri tak pandai memasak tetapi dia pandai mengemas. Mungkin isteri tak pandai mengemas tetapi dia pandai menjahit sehingga boleh menambahkan pendapatan keluarga. Mana mungkin nak cari isteri yang sempurna semua perkara...tetapi jangan disebut yang "kurang"...sebutlah yang "lebihnya" pasangan kita itu....


Ketiga....berhenti menuding jari kepada pasangan anda. Kalau perkara yang salah semuanya pasangan anda punya angkara...bukan anda. Itu ego tandanya. Ada isteri yang disalahkan kerana anak mereka gagal dalam peperiksaan. Bukankah mendidik anak itu tanggungjawab bersama. Lakukanlah bersama-sama. Masalahnya apabila si suami asyik nampak si isteri sahaja yang membimbing anak membuat kerja rumah....jadi kalau anak gagal maka salah isteri lah. Suami tak salah sebab bukan dia yang mengajarnya. Logik ke sebegitu??? Kalau bertengkar...jangan mudah menuding jari menyalahkan mana-mana pihak. Sebaliknya terus berfikir macam mana nak selesaikan masalah anak yang gagal tersebut...hantar ke pusat tution yang lebih baik. Fikirkan jalan penyelesaian....bukan menoleh ke belakang mencari kesilapan siapa. Perkara dah berlaku!!


Keempat...perkara yang paling penting untuk bertengkar dengan selamat ialah memohon maaf atau memberi maaf. Susah bagi lelaki?? Menurut satu artikel yang saya pernah baca....berdasarkan satu kajian, kaum lelaki 93% daripadanya sukar memohon maaf walaupun ternyata dia yang bersalah. 5% daripadanya hanya berdiam diri apabila diajukan mengenai kesalahannya manakala 2% sahaja yang bersedia untuk memohon maaf. Sebabnya...nak jaga maruah di hadapan seorang isteri kut....takut "pride" nya berkurangan. Harap-harap rakan-rakan blogger saya adalah dalam kategori 2% tersebut.


******

Tulisan ringkas itu sebenarnya adalah atas permintaan seorang rakan baik saya melalui email yang saya terima petang tadi. Walaupun tidak sesempurna mana harap dapat memberinya sedikit info untuk menangani masalah rakan baiknya yang sedang dalam "kekalutan" dengan suaminya. Saya tidak sempat membuat kajian terperinci....ini sahajalah idea yang muncul sekembali dari tarawikh ni. Anggaplah ini juga sedekah ye....moga mendapat keberkatan di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ini adalah jawapan kepada emailnya yang saya copy and paste di sini dengan sedikit pengubahsuaian...harap dapat manfaat. Wallahua`lam.

Wednesday, September 2, 2009

Kasihan emak...


Petang tadi seusai menunaikan solat asar saya menerima panggilan telefon dari kakak saya yang berada di kampung. Nak tanya resipi ke nih??? Hati kecil saya menduga...sedikit nakal!

"Akak nak cerita ni tapi ko jangan susah ati pulak..."

"Apa kisahnya tu....cepatlah cerita" hati saya sedikit hilang keruan. Risau.

"Pagi tadi mak kena rompak tau......"

"Haaa.....kena rompak? Mak cedera ke?" lagi kencang jantung saya berdegup. Tak sabar nak mendengar cerita lanjut dari kakak saya. Perkataan "rompak" tu amat menakutkan saya.

"Kalau cedera tak lah akak beritau ko lambat sangat...peristiwa tu berlaku pagi tadi." "Mak tak ada apa-apa.....cuma melecet sikit leher dia bila rantai emas dia kena regut"

***



Emak saya sudah berusia lebih dari tujuh puluh tahun. Seorang yang kuat bekerja. Walaupun hidupnya disara penuh oleh anak-anak tetapi dia tidak berhenti dari bekerja. Rumah kami yang terletak di tengah-tengah kebun buah-buahan seluas hampir empat ekar mengandungi banyak hasil kebun yang sentiasa menjadi sepanjang tahun....

Inilah alasan utama emak tidak mahu tinggal di rumah anak-anaknya. Hasil kebun yang tidak pernah putus menjadikannya sentiasa ceria dengan rutin hariannya. Apabila musim buah-buahan dia sibuk melayan peraih buah-buahan yang datang membeli hasil kebunnya...durian,manggis,rambutan,langsat,rambai,dukung dan macam-macam lagi. Bila musim pokok kekabunya berbuah, dia sibuk membuang biji-biji kekabu yang kemudiannya kekabu itu dibuatnya bantal....pembelinya sentiasa ada, kadang-kadang hingga tak cukup bahan yang ada. Sekiranya buah gelugurnya berbuah, dia pulak sibuk menghiris, menjemur buah gelugur setiap hari. Asam gelugur juga menjadi bahan rebutan pembeli yang sudah bertahun-tahun melanggan hasil tersebut dari kebun emak.

Emak tidak pernah sakit teruk. Tidak ada penyakit jantung, tidak ada penyakit darah tinggi, tidak ada penyakit kencing manis dan tidak ada penyakit apa jua...mungkin berkat sifatnya yang terlalu suka bekerja. Kekadang aje...sakit urat. Mungkin faktor umurnya yang sudah agak lanjut.


***
Pagi tadi seperti biasa dalam lingkungan pukul 9.00 pagi emak akan menjemur asam gelugur di halaman rumah. Tanpa disedarinya sebuah kereta singgah betul-betul di hadapan emak....kereta Wira bewarna putih. Keluar seorang lelaki berbangsa India memperkenalkan dirinya sebagai inspektor kesihatan...mahu memeriksa kualiti bahan api (tabung gas) di dalam rumah.

Tanpa bersangka buruk...emak dengan ramah melayan tetamunya. Buka pintu rumah dan terus masuk ke dapur. Tiba-tiba emak ditolak ke tepi dinding....Dengan suara kasar, lelaki tersebut minta emak jangan menjerit. Dia kata dia akan bunuh emak sekiranya emak menjerit.

Lelaki itu meregut rantai leher emak. Dua utas rantai yang dipakainya putus dua. Melecet kulit leher dia...kemudian emak melucut cincin yang dipakainya. Mujurlah gelang tangan emak yang besar dan agak bernilai tidak dipakainya ketika itu.

Lelaki itu seperti terdesak terus lari keluar dari rumah dan memandu kereta dalam keadaan kelam kabut....hilang lenyap meninggalkan emak keseorangan yang masih terpinga-pinga...terkejut...takut...dan seribu macam perasaan lagi.

Abang dan kakak yang duduk di rumah berhampiran tiada di rumah kerana keluar bekerja. Anak-anak mereka (cucu-cucu emak) semuanya bersekolah.... Tinggal emak keseorangan...

Semasa saya menelefon emak tadi....saya meredakan perasaan emak. Bersyukurlah...sebab nyawa emak selamat. Mujurlah emak tidak dicederakannya. Mujurlah rumah tidak digeledahnya. Mujurlah masih banyak lagi barang-barang berharga emak yang selamat. Hati emak sedikit tenang dan lega....lain kali perlu lebih berhati-hati.

Menurut emak, abang saya dah membuat laporan polis di balai berdekatan. Polis pun sudah datang memeriksa di rumah emak. Menurut polis, memang banyak kes berlaku sekarang di mana kecurian dilakukan ke atas warga emas. Warga emas dianggap lemah....warga emas tidak melawan...jadi mudahlah golongan ini dirompak!

Emak.....
Nak bawa dia duduk dengan kita pun dia tak mahu...
Dia sayang rumah dia sendiri...
Dia risau hasil kebunnya terbengkalai, busuk dan membazir...
Dia sayang akan rakan-rakan sekampungnya...
Dia sayang akan jadual mengaji di suraunya...
Dia sayang segala-galanya...
Tanah tempat tumpah keringatnya...
Walau apa pun...
Moga emak bahagia dengan cara emak...
Tidak ada anak yang memaksa emak mengubah pendirian..
Emak buatlah apa yang emak suka...
Emak buatlah apa yang emak rasa bahagia...
Anak-anak amat memahami...
Namun doa kami tak pernah putus...
Moga emak selamat selalu..
Sihat selalu..
Bahagia selalu..
^Saaaaaayaaaang emak sangat-sangat...!^

***
**
*
.

Pengikut ASYIQ