JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Monday, November 30, 2009

Moga ibadah korban diterima Allah....




Assalamualaikum....

Hari raya aidiladha tahun ini disambut secara sederhana sahaja. Tahun lepas agak meriah kerana keluarga saya mengadakan ibadat korban. Sebenarnya kami mengadakan aktiviti korban secara beramai2 seisi keluarga selang setahun. Tahun ini adalah tahun berehat....dan keluarga kami masing2 meraikannya bersama dengan keluarga mertua sahaja. Tahun depan insyaAllah ibadat korban akan dilangsungkan mengikut giliran.

Ini kiranya laporan ibadat korban tahun lepas. Inilah lembu yang kami sekeluarga cagarkan untuk dikorbankan secara berkongsi beberapa orang adik beradik. Tujuh bahagian berkongsi beberapa orang. Tahun hadapan orang lain pula terlibat. Adik beradik saya kesemuanya ada lapan orang.


Keluarga kami agak besar....selalunya aktiviti ini tidak perlu melibatkan orang luar. Keluarga kami pun dah cukup....cukup kaki dan tangannya. Setelah disembelih daging ditimbang, dibungkus untuk diagihkan kepada orang2 yang berhak.


Biasanya apabila ibadah korban dilangsungkan maka adalah juadah makan-makan mengisi perut yang kosong......kanak2 berbaju putih di atas sebenarnya telah berpenat lelah menumbangkan lembu. Sebab tu lah beria-ia dia makan....letih sangat!!



Inilah yang meriahnya....yang lelaki kerjanya menumbangkan lembu, menyembelih dan melapah. Manakala kanak2 perempuan di bawah umur ni mampu jadi penonton.....kemudian ada part2 tertentu mereka akan menutup muka dan menjerit.....perempuan la katakan!!!



Yang dewasa pula sibuk menyediakan bahan2 untuk memasak......untuk makan tengahari. Penulis tiada dalam gambar sebab sibuk menangkap gambar...hihi.



Tenaga2 muda pula digunakan sepenuhnya untuk melapah daging sebelum ditimbang dan dibungkus. Saat2 inilah yang mengeratkan lagi hubungan adik beradik kami....



Yang berkopiah putih tu adalah ketua melapah....abang saya yang kedua. Dia dibantu oleh anak2 buah yang semuanya bertenaga muda belaka.....



Inilah abang saya....Nizam. Paling besar dalam keluarga, jadi wajarlah dia menjadi ketua penyembelih pada hari tersebut. Jangan sesiapa berani rapat.....



Budaya di kampung saya....apabila berkumpulnya ahli keluarga dan jiran2 maka majlis membaca Yaasin dan tahlil diadakan untuk disedekahkan kepada mereka yang telah tiada. Semoga ibadah kami diterima Allah. InsyaAllah tahun hadapan kami akan melaksanakannya sekali lagi......moga dimurahkan rezeki dan mendapat keberkatan Allah.


Perkara2 sunat ketika melaksanakan ibadat korban:


Pertama: Apabila masuk 10 Zulhijjah dan dia berazam untuk melaksanakan ibadat korban, dia disunatkan untuk tidak menghilangkan bulu atau memotong kuku. Oleh itu, dia hendaklah menjaga bulu dan kukunya dengan baik. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.


"Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu ingin melakukan ibadat korban, maka hendaklah dia tidak menghilangkan bulu dan kukunya."


Kedua: Disunatkan kepada orang yang berkorban menyembelih binatang korbannya sendiri. Sekiranya dia tidak mampu melakukannya maka cukuplah sekadar dia menghadirkan diri menyaksikan penyembelihan yang dilakukan.


Ketiga: Sunat bagi pemerintah orang2 Islam atau pemimpin mereka untuk berkorban menggunakan harta Baitulmal bagi pihak orang2 Islam.


Yang paling penting, ikhlaskan hati dalam melaksanakan ibadat korban.....dilakukan semata2 kerana rasa kasih dan cinta kepada Allah tanpa berbilang2 mengira pahala yang akan Allah kurniakan. Semoga ibadah korban kita diterima Allah.


Wednesday, November 25, 2009

2012..mesti tonton!



Assalamualaikum...

Baca tajuk entry....mesti rakan2 kata saya dah pergi tengok cerita ni di panggung. Jangan tak percaya seumur hidup saya pernah sekali sahaja masuk panggung....tengok cerita Titanic, suatu ketika dahulu....masa bujang. Jangan ceritalah bestnyer.....rasa kita pula yang duduk dalam kapal tu.


Dengar cerita orang, 2012 best sangat. Lagi best kalau tengok kat panggung. Baru terasa gegarannya. Petang semalam sewaktu membeli barangan dapur di salah sebuah pasaraya di sini....Fahem singgah di sebuah kedai CD. Menelek2 DVD karektor animasi kegemarannya.


"Cerita 2012 ada?" tanya saya pada apek tukang jual tu.


"Ada maaa.....bagus gambar nyer." Terus si apek mengeluarkan sekeping DVD....6 ringgit shj. Bukan original tapi spicy.....haha. (Tolong jangan heboh2kan cerita nih....nanti polis jiran saya tahu)


Terujanya saya nak tengok....kononnya kiamat akan berlaku tahun 2012. Macam mana dia gambarkan suasana kiamat tu????


Balik terus tonton bersama anak2....tetapi disebabkan Fahem ada jadual main kasut roda dan skateboardnya, dia tak menonton pun. Padahal dia yang promote pada saya tentang filem ni. Katanya kiamat akan berlaku tahun 2012. Jenuh saya membetulkan kesalahan faktanya itu.


Hasilnya....memang cerita ni best. Wajarlah kalau dapat box office pun. Agaknya kalau tengok kat panggung lagi best. Air laut melimpah, bangunan habis menyembah bumi, tanah runtuh, gempa bumi....semua digambarkan dengan berkesan sekali.


Cuma digambarkan kononnya sebuah keluarga terselamat lari dari segala bencana hanya kerana mereka memiliki sebuah kapal terbang. Mereka lari dari bencana tersebut. Dan bencana tersebut pula hanya berlaku di atas bumi.....di ruang angkasa kononnya masih selamat.


Sekadar untuk mendapat pengalaman suasana kiamat....suasana kiamat yang sebenarnya lebih dahsyat lagi. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui....



Tuesday, November 24, 2009

Apa lagi nak buat masa cuti ni?


Assalamualaikum...

Cuti sekolah datang lagi. Biarlah cuti sekolah kali ini menghidangkan berita2 yang enak didengar....jangan ada pula anak yang hilang dari rumah, ada pula yang meninggal di tali air, ada pula yang jatuh longkang dan macam-macam lagi. Rancanglah percutian anak dengan berkesan.


Seperti biasa percutian saya agak terhad. Aktiviti di bulan Disember amat suntuk. Aktiviti menanda kertas SPM akan bermula dari 9hb Disember sehingga 9hb Januari. Anak2 pun sudah sedia maklum dan memahami....maknanya itu adalah tempoh ibu akan berkurung...bersama timbunan kertas2 SPM yang entah dari negeri mana. Bermakna mereka juga akan berkurung.....kasihan!! Nak makan angin (nak guna istilah melancong rasa macam tak padan....)....mesti diatur sebelum tarikh di atas!


Suami saya pula dah seawal bulan September dahulu memberikan lampu hijau untuk saya dan anak2 menghabiskan cuti2 kami di rumah kami di Kuala Kangsar. Namun begitu wajah anak2 kurang ceria dengan berita itu. Nak tahu apa sebabnya.....?


1. Tak ada talian streamyx.

Ini sebab yang paling utama. Nampak sangat pengaruh internet amat besar dalam hidup kami. Sebenarnya ibu dia pun sedih juga....terpaksa meninggalkan dunia blognya. Nanti bersawang pulak blog dia tidak diupdate.....dan sarat pula rindunya dia kepada rakan2 mayanya.

So, jalan yang paling mudah untuk mengatasinya adalah dengan melanggan broadband...portable, mudah untuk diangkut ke sana ke sini. Hanya untuk beberapa minggu??? Amat tidak praktikal.

***Namun begitu jadual untuk berstreamyx di rumah saya adalah terhad. Hanya satu jam untuk seorang anak. Itu pun dengan pemantauan ibu.


2. Tak ada ASTRO.
Mungkin ini alasan Fahem sorang aje....


3. Tak ada kawan.
Yang ini tak berapa terkesan sangat.....duduk di rumah sekarang pun dah memang tak ada kawan. Kawan anak2 saya adalah adik beradiknya sendiri.....so, tak ada masalah sangat.

Apa lagi yea....keperluan yang lain semua ada. Mesin basuh ada, peti ais ada, dapur ada, tv ada, katil ada, almari ada...............kami aje yang tak ada di situ. Kasihan rumah kami tu.....


Namun begitu saya ada juga menyediakan agenda wajib dilaksanakan oleh anak2 saya sepanjang cuti.....maknanya tarikh akhir 31 Disember semua tugasan ini wajib dipenuhi...dan hadiah juga disediakan!!!! Mari kita tengok.


Kak Long: Wajib hafal Surah Yaasin, Surah Al-Mulk, Surah AlQiyamah, Surah Al Insaaan, Surah Sajdah. Sebenarnya dua tiga surah memang dia dah hafal tetapi perlu digilap kembali hafazannya. Waktu yang paling sesuai menghafal ialah selepas waktu subuh dan selepas isyak. Ibunya juga yang akan tasmi` bacaannya. Di samping itu, pastikan apa yang dihafal difahami maksudnya. Kak Long juga saya wajibkan dia membaca beberapa buku agama yang asas tentang tauhid dan feqah. Yang ini mesti dibimbing penuh oleh ibunya.



Kak Ngah: Wajib hafal Surah Yaasin dan Surah Al Mulk. Masa dia di sekolah rendah dahulu saya wajibkan dia hafal ayat2 lazim....sekarang dia sudah mahu melangkah ke sekolah menengah....maka bermulalah hafazannya di peringkat menengah rendah dahulu. Sukatan ini saya yang tetapkan...bukan ditetapkan oleh mana2 pihak. Buku agama yang wajib dibaca dengan bimbingan saya ialah "Mengapa Saya Memeluk Islam"



Fahem: Sekarang dia sedang meningkatkan kefahamannya tentang bacaan2 dalam solat. Membetulkan bacaan dan menghayati maknanya sekali. Mengajarnya tentang solat yang betul, cara melaungkan azan yang betul dan sebagainya. Masa untuk dia ialah setiap kali selepas maghrib seusai dia membaca Al-Quran. Ayat2 hafazan untuk dia saya tetapkan pada ayat2 lazim yang mudah...biarlah sedikit asalkan dia dapat membaca dengan baik dan bertajwid, memahami maksud dan menghayatinya. Jadual Fahem perlu diselenggarakan....kerana dia terlalu banyak aktiviti yang mahu dilakukan. Terlalu banyak. Pukul 5 hingga 6.30 adalah waktu dia beraktiviti lasak di luar rumah.....sekarang dia sedang giat berlatih dengat kasut roda dan skateboardnya.


Kesemua tugasan di atas perlu diselesaikan sebelum 31 Disember. Sekurang2nya dua jam sehari perlu dihabiskan untuk menghafal. Pilihlah mana2 waktu yang sesuai asal tidak melanggar peraturan. Anak2 yang dapat melengkapkan tugasan yang diberi dengan cemerlang.....akan mendapat imbuhan yang sesuai.


Asyiq: Ingat zaman dulu2....kalau cuti aktiviti banyak dihabiskan menolong emak dan ayah di kebun.....menanam jagung,terung dan cili. Ini adalah aktiviti emak dan ayah di waktu petang kerana waktu paginya mereka di sawah atau di kebun getah. Bila jual hasil kebun dapatlah duit poket. Tapi duit poket itu biasanya kami simpan....sekurang2nya emak dan ayah tak perlu mengeluarkan duit lain untuk membeli sepasang kasut sekolah untuk sessi persekolahan yang baru.


Anda? Bagaimana dengan aktiviti cuti anda??? Boleh kita berkongsi untuk kebaikan bersama.


Monday, November 23, 2009

Ada apa pada agama?


***Sebuah cerita yang sudah agak lama dalam simpanan
sehingga tak pasti dari mana sumber asalnya.
Selalu saya ceritakan kisah ini...terutama kepada
anak murid dan kanak2 yang berada di sekeliling saya.


Seorang syeikh arab berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjadi ahli panel satu ciri ceramah mengenai agama, teknologi dan alam semesta. Suatu hari, syeikh bersama seorang sahabatnya menaiki teksi untuk ke program tersebut. Disebabkan masa bermulanya program tersebut masih panjang, sahabat syeikh tadi meminta pemandu teksi menghantarnya ke sebuah pusat jualan komputer. Tinggallah syeikh tadi bersama dengan pemandu teksi di dalam teksi tersebut.


"Encik percaya kepada agama?" tanya syeikh kepada pemandu teksi yang berambut perang dan bermata biru.


Walaupun agak terperanjat dengan soalan syeikh yang secara tiba2 itu...pemandu itu tetap menjawab dengan tenang..."Saya tak percaya. Saya tak perlukan agama. Setiap pagi saya keluar rumah memandu teksi mencari wang. Wang saya gunakan untuk membeli keperluan keluarga. Saya lakukan perkara yang sama saban hari...buat apa dengan agama....saya tak memerlukannya dan saya hidup sempurna tanpa agama"


"Encik tahu dengan agama-agama yang ada di dunia ini?" tanya syeikh itu lagi.


"Taulah sikit2, tapi saya tak pedulikannya sangat. Lagi pun saya tengok orang yang beragama sama sahaja hidupnya dengan orang tak beragama....hidup berperang, bergaduh, pelacuran, pengganas..........." jawab pemandu itu panjang lebar.


"Encik tahu tentang komputer?" tanya syeikh itu pula seolah2 mengalih topik perbualan.


Pemandu itu tersengih. "Mestilah tahu. Ciptaan terhebat. Semua orang mesti tahu. Kalau tidak, mereka pasti akan ketinggalan zaman!"


"Kalau encik betul2 tahu, siapa yang mencipta komputer...manusia atau ianya tercipta dengan sendirinya?"


"Tentulah manusia yang cipta. Takkan komputer tercipta dengan sendirinya...?"


"Kalau macam itu, mana yang lebih kompleks.....manusia atau komputer?"


Kali ini pemandu itu tak dapat menahan ketawa. Dia ketawa terbahak2. Baginya soalan syeikh itu terlalu bodoh. " Tentulah manusia lebih kompleks."


"Okay....jika komputer dicipta oleh manusia, maka manusia yang lebih kompleks ini dicipta oleh satu kuasa yang lebih hebat bukan?"


Si pemandu teksi tadi terdiam......sambil mengangguk perlahan dia berkata, "Ya".


"Dalam agama kami, Tuhan adalah pencipta yang agung. Kami wajib percaya kepada keagungan Tuhan kami. Perkara yang kecil hingga kepada perkara yang sebesar2nya....semuanya dicipta oleh Tuhan kami. Apa yang ada tidak boleh berlaku dengan sendirinya."


"Cuba bayangkan jika encik tidak pernah diberitahu tentang komputer sebelum ini. Tiba2 encik disuruh menggunakan komputer.....apakah encik tahu menggunakannya?" soal syeikh.


"Tak tahu, saya tak tahu mengenainya....macam mana saya mahu menggunakannya???"



"Bagaimana kalau saya berikan sebuah buku panduan penggunaan komputer...sudah pasti encik tahu menggunakannya...bukan begitu??"


"Tentulah.." jawan pemandu teksi dengan penuh yakin.


"Dalam agama kami, kami ada sebuah kitab sebagai panduan. Kitab inilah yang mengatur kehidupan kami. Tanpa kitab, manusia bertindak mengikut kehendak masing2. Kitab itu mengawal hati dan akal kami supaya jangan berperang, jangan membunuh, hidup berkasih sayang dan memelihara alam sekitar" terang syeikh panjang lebar.


"Sekarang, selepas pencipta komputer mencetak buku panduan tersebut, apa yang perlu dilakukannya? Dia perlu melatih jurutera bagaimana untuk menyampaikan pengetahuan tentang mesin itu kepada pengguna kan? Pengetahuan ini perlu disampaikan sehingga semua orang tahu dan faham bagaimana menggunakan komputer tersebut."


"Begitu jugalah dengan agama kami. Tuhan menurunkan rasul dan nabi untuk mengajar dan menyampaikan amanat sebagaimana yang Tuhan kami mahu. Semuanya mesti jelas supaya manusia hidup sempurna seperti yang Tuhan kami mahu."


Si pemandu teksi itu terus mendiamkan diri. Khusyuk dia mendengar kata2 syeikh berkenaan kerana sebelum ini belum pernah ada orang yang menerangkannya sebegitu.


Pemandu itu bertanya tentang kenapa ada manusia yang hidup berperang sedangkan mereka adalah orang yang beragama?


Syeikh itu menerangkan bahawa itu semuanya bukan kesalahan agama, tetapi kesalahan penganut itu sendiri. Samalah dengan penggunaan komputer itu juga.....kalau pengguna menggunakannya dengan cara yang salah pasti ianya akan rosak. Jadi bukan komputer yang salah direka, tetapi penggunalah yang salah kerana tidak tahu cara menggunakannya.



Ataupun apabila kita melihat sebuah kereta mewah berjenama terkenal terlibat dalam kemalangan jalanraya......adakah kerana salah kereta itu direka atau salah pemandu yang mengendalikan pemanduan kereta tersebut..?????


"Tetapi cuba bayangkan, kalau orang yang langsung tidak ada agama....pasti kehidupannya langsung lebih teruk. Kalau semua orang tidak ada agama, kita akan jadi seperti haiwan, hidup tanpa haluan. Apa jadi kalau semua orang tidak mengendahkan peraturan yang dibuat ketika berada di jalanraya???"


Pemandu teksi itu menganggukkan kepalanya. Pada minit2 terakhir perbualan mereka, pemandu itu tiba2 berkata "Saya ingin sekali memeluk agama encik, apa yang perlu saya lakukan?"


Syeikh itu menjawab "Katakanlah, aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah"


Thursday, November 19, 2009

Merah Mata Kak Ngah...

Assalamualaikum...

Hari ni saya sengaja mengambil cuti CRK (Cuti rehat Khas) kerana nak melayan karenah anak kedua saya...Kak Ngah. Seawal pukul 9.00 pagi saya dah sampai ke sekolah...kerana hari ini adalah hari keluarnya keputusan UPSR dan hari anugerah di sekolahnya juga.


Punya la lama tunggu...10.30 pagi Penolong Kanan 1 belum sampai ke sekolah. Semasa Guru Besar berucap....tiba2 dia mendapat memo dari seorang guru yang lain...sehelai kertas A4 putih berada di tangannya.....dia berhenti berucap sebentar. Dewan pun senyap sepi seolah memahami akan isi kandungan memo tersebut. Hadirin seolah2 dapat mengagak.


"Saya baru mendapat berita dari Penolong kanan saya di PPD....ada berita kurang menyeronokkan. Hanya 3 orang sahaja pelajar yang mendapat 5A.....dan lima orang pelajar mendapat 4A 1B. Keputusan yang lain tak dapat diumumkan buat masa ini....."


Hati saya berdegup kencang...dup dap dup dap.....Jiran saya, kak Siti pun memegang tangan saya. Dia juga berdebar. Masing2 menunggu keputusan dibacakan.


Yang dapat 5A...bla...bla....bla....tahniah. Pasti....tiada nama kak ngah dalam senarai. Pasrah. Redha. Airmata bergenang juga.....kasihan kak ngah!


Yang dapat 4A 1B bla....bla....bla....Aini Amirah, Sarah Atiqah. Derauan darah tadi seolah2 terhenti. Pasti sudah...kak ngah dapat 4A 1B. Jiran kami juga....Sarah Atiqah juga dapat 4A 1B, yang merupakan kawan baiknya....anak kak Siti.


Kak Siti menekup muka rasa tak percaya. Mata dah mula merah. Saya juga. Peperiksaan Percubaan hari tu dapat 5A....dua2 anak kami dapat 5A....bukan over confident tapi rasa macam tak yakin....nak tengok slip dulu!!!!!!!


Nampak kelibat kak ngah dan Sarah di luar dewan....juga dah merah matanya. Melambai2 tangan ke arah saya. Saya cuma berlagak tenang.....mungkin dah agak biasa dengan situasi ini. Kak Siti beria2 menangis....mungkin dia terlalu mengharap. Anak dia cuma ada dua....yang sulung pun dapat 4A 1B, yang bongsu ni pun dapat 4A 1B...sedangkan anak dia di antara harapan sekolah untuk mendapat 5A. Mungkin itu sebab dia terlalu kecewa. Saya mengajak Kak Siti keluar dewan untuk memujuk anak2 kami....tapi dia minta untuk bertenang...lemah lutut katanya.


Saya menelefon suami....tumpah juga air mata kebal ni apabila bercakap dengan suami. Pasrah. Redha. Menarik nafas panjang.....cepat2 airmata disapu. Tak mahu sekali2 kak ngah melihatnya...kalau tidak, dia kan lagi rasa sedih.


Akhirnya kami pergi ke pejabat untuk mendapatkan slip keputusan sebenar.....mereka di pejabat suruh datang keesokkan hari untuk mengambilnya....."hari ni kami agak sibuk dengan hari anugerah....ambil esoklah sekali dengan sijil berhenti...."


Ada pulak macam tu....ada ke ibubapa yang datang berpusu-pusu hari ni dijawabnya dengan ayat sebegitu. Rasa sedih pun ada....hanya melihat keputusan peperiksaan di papan kenyataan sahaja....keputusan umum.


Memujuk dan memberi semangat untuk kak ngah. Pada saya 4A 1B pun keputusan yang sudah agak baik walaupun kami mengharapkan 5A. Bahasa Inggerisnya dapat B. Masih banyak peluang untuk kak ngah berusaha. Bukan hari ini pemutus nasibnya....jenuh memujuk, jenuh memberi motivasi, jenuh mengurut belakang....dia tetap menangis. Alahai kak ngah....


Terimakasih kepada semua rakan2 blogger yang mendoakan untuk kak ngah. Pada saya keputusan 4A 1B adalah yang terbaik untuk kak ngah. Semoga kak ngah akan lebih matang untuk menghadapi hari2 yang berikutnya....masih panjang langkah kak ngah. Kak ngah mesti kuat.....


Dalam banyak2 SMS yang saya terima dari kawan2 dan sanak saudara....ada satu SMS yang paling mencuit hati saya......


".......jangan susah hati, bersyukurlah. Anak akak dulu pun 4A 1B juga, kemudian PMR dapat penuh juga, kemudian SPM dapat juga 9A 1B. Walaupun mungkin tiada bangku dan kerusi di SBP tetapi yakinlah masih ada kerusi dan bangku di SMK Convent.....esok datang jumpa saya, bawa slip keputusan!!!!"


Siapa yang hantar SMS....boss saya nombor 2 (Penolong Kanan SMK Convent) - ("ayat SMS ditukar2 sedikit supaya lebih dramatik....hihi") Ada pulak satu masalah besar...esok baru nak ambil slip keputusan....!!!!


Terimakasih kepada semua yang amat prihatin. Tahniah kepada anak2 yang berjaya dengan cemerlang dalam UPSR. Teruskan kecemerlangan.....

Tahniah kepada Umairah. Kepada Nurul Liyana...tahniah juga kerana berjaya dapat 4A 1B. Semoga terus cemerlang!!!!


Asyiq: ...tak dapatlah saya mempamirkan slip keputusan di sini...kerana belum dapat!



Tuesday, November 17, 2009

Sama ke cara kita?

Assalamualaikum....



Semasa menikmati minum teh petang tadi berlakulah perbualan sepasang suami isteri yang jarang diceritakan di sini sebelumnya.....


Isteri: "Tadi dapat SMS dari kawan saya...dia beritahu dia nak berangkat ke Mekah Rabu ni...."


Suami: "Alhamdulillah....muda lagi dah dapat ke sana. Dia sebaya ke?"


Isteri: "Tua setahun......dia mendaftar dgn Tabung Haji tahun 2004. Katanya masa tu belum cukup duit pun. Dlm tempoh 4 tahun dia cukupkan duit dia....then tahun ni dia buat rayuan.."


Suami: "Kita pun kena buat cam tu....cukup empat tahun mendaftar nanti kita bolehlah buat rayuan...." nadanya penuh pengharapan.


Isteri: "Rasa teringin sangat nak ke sana.....membuak-buak rasanya rindu ni...." ada nada kesayuan di situ.


Senyap...


Masing-masing melayan perasaan sendiri. Seribu rasa berkocak di dada.
Allah sahaja yang Maha Memahami.


Seorang ustaz memberi syarahan tentang adab-adab semasa di Tanah Suci...melalui saluran Astro Oasis. Gambar jemaah haji sedang bertawaf sekeliling Kaabah mencuri tumpuan.


Suami: "Abang ada satu soalan.....tolong fikirkan jawapannya..."


Isteri : "Jangan yang susah-susah...tak larat nak fikir"


Suami: "Kalau seorang bukan Islam berkata.....saya sembah patung kamu kata salah, yang kamu sembah kotak empat segi tu (Kaabah) tak salah ke?"

"Fikirkan jawapan yang sesuai untuk "dia"....bukan untuk abang!!!"


Isteri: "Kalau kita jawab...kami bukan sembah Kaabah...kami sembah Allah!"


Suami: "Itu jawapan untuk orang Islam...orang bukan Islam dia tak mahu terima jawapan tu..."


Isteri: " ..........................................................." hilang kata-kata.



Suami: Senyum......(senyumannya amatlah menghiris hati...haha)



Isteri: "Saya akan kata....kalau kotak empat segi tu diubah atau dimusnahkan....kami tetap akan sembah ke arah yang sama....sebab yang kami sembah adalah Allah, bukan Kaabah. Kaabah hanyalah satu tanda/mercu untuk umat Islam menghadap kepadanya sewaktu beribadat. Semua mesti menghadap ke arah yang sama walaupun Kaabah dah tiada....."

"Awak pula tetap akan menyembah patung itu walaupun ianya diubah ke arah yang berbeza-beza. Utara...selatan...timur...barat.....Itu bezanya antara kamu dan saya. Itu bezanya antara apa yang kamu sembah dengan apa yang kami sembah......"


Suami: Senyum lagi.....angguk-anggukkan kepala.


Isteri: "Bagus idea abang ni....nanti saya nak postkan satu entry untuk ni. Nak minta semua rakan2 blogger tolong berikan jawapan. Mungkin ada jawapan lain yang lebih logik"


Ok...tolong fikirkan yea. Mesti anda semua ada jawapan yang lebih baik dan lebih logik dari jawapan di atas tu.

Saje nak beri "homework" kat kawan-kawan. Bukan selalu kan...kan...kan..!?



Friday, November 13, 2009

Kehidupan di alam barzakh!!!

Assalamualaikum....

Sempena hari Jumaat yang penuh keberkatan ini saya ingin berkongsi tiga klip video yang ada dalam simpanan peribadi saya. Klip video ini saya download dari Youtube.....untuk diri sendiri, untuk tatapan anak2 dan suami dan juga kebiasaannya saya akan kongsikan dengan anak2 murid saya di sekolah.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan semua rakan2 bloggers saya di luar sana....semoga dapat memberi manfaat....kerana ianya sarat dengan mesej dan pengajaran. Hati kita amat perlu kpd peringatan...demi menghidupkannya. Kadang2 kita mudah lupa.

Adalah lebih baik kita melihat klip video ini dengan secara turutan.....moga ada manfaatnya.



video




video




video

Saya minta maaf kepada semua kerana tidak dapat update blog dgn entry2 yang lebih baik kerana buat masa ini saya sibuk dengan urusan di sekolah....maklumlah kami hanya ada lebih kurang 5 hari lagi sebelum sekolah mula bercuti. Semua mesti diserahkan....tandatangan itu, tandatangan ini, simpan itu, simpan ini, segala2nya mesti beres.



Wednesday, November 11, 2009

Diet mengikut jenis darah


Menjelajah ke laman2 web kesihatan saya tertarik dengan satu artikel yang berkaitan dengan diet berdasarkan golongan darah yang kita miliki. Sebelum membaca artikel ini yang saya ambil dari sini, eloklah rakan-rakan sekalian mengenali dahulu jenis darah yang anda miliki....kemudian bolehlah mengamalkan jenis diet yang disarankan di bawah. Syukur kepada Allah kerana sebelum ini saya tidak pernah tahu tentang perkara ini......walaupun kajian ini telah dilakukan dengan jayanya pada tahun 1996. Betapa ketinggalannya saya. Namun begitu eloklah saya siarkan di sini untuk manfaat kita bersama.


Saya mempunyai jenis darah kumpulan O.

Diet berdasarkan golongan darah pertama kali diperkenalkan oleh Dr. Peter J.D´Adamo yang menjalankan penelitian pada setiap jenis darah yang menunjukkan kesan fisiologi berlaku terhadap lektin yang masuk dalam tubuh badan. Lektin adalah protein yang terdapat pada makanan, khususnya tumbuhan kekacang. Setiap protein makanan yang diserap tubuh, menurutnya hanya sesuai dengan jenis darah tertentu.

Dalam bukunya, “Eat Right For Your Type” yang diterbitkan pada tahun 1996 menerusi kajian yang dijalankan bertahun-tahun itu menjelaskan bahawa setiap individu memiliki tindakbalas yang berbeza terhadap makanan berdasarkan jenis darah yang dimiliki. Menurutnya, diet yang tidak berjaya berkait rapat dengan perkaitan ini dengan menambah bahawa lektin makanan yang tidak serasi dengan jenis darah tertentu akan membawa komplikasi buruk terhadap kesihatan individu antaranya penggumpalan sel darah merah dan pelbagai komplikasi lain.

Ini berbeza dengan pengambilan makanan yang sesuai dengan jenis darah kerana ia memberikan kesan positif antaranya keadaan emosi yang lebih stabil, mudah mengatasi tekanan dan peningkatan daya tahan lawan penyakit. Selain itu pengambilan makanan yang bersesuaian dengan jenis darah juga dipercayai dapat mengembalikan fungsi sistem tubuh dan memperbaiki metabolisma tubuh.

Darah terdiri daripada empat jenis iaitu A,B,AB, dan O.

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘A’

Dr. Peter J.D´Adamo dalam bukunya menyarankan pemilik jenis darah A mengambil diet vegetarian dengan pengambilan makanan yang mengandungi lektin yang sedikit. Ini kerana jika kandungan lektin diambil dalam kuantiti yang banyak akan mengakibatkan masalah perut. Menurut beliau lagi, golongan individu yang memiliki jenis darah A menghasilkan kandungan lendir lebih banyak berbanding jenis darah lain. Keadaan ini menimbulkan risiko terhadap jenis penyakit jenis alahan seperti asma, infeksi telinga dan gangguan pada saluran pernafasan.

Selain itu sumber makanan berasaskan haiwan seperti ikan dan ayam boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang terbatas. Individu dengan jenis darah ini juga dianjurkan mengambil susu yang telah melalui proses penapaian seperti susu masam, krim tanpa lemak, keju alami, telur dari jenis organik atau ayam kampung (dalam jumlah terbatas), lemak (dalam jumlah terbatas, kekacang dan bijirin dan susu kacang soya. Individu darah jenis ini perlu mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.

Makanan yang harus dihindarkan adalah hidangan laut berwarna putih seperti ikan siakap putih, cumi-cumi, daging lembu, daging salai, susu, keju hasil olahan industri, kacang merah, roti, kuih-muih, kek, kentang, mangga, betik, jeruk, pisang, minyak jagung dan minyak kacang tanah.

Ciri khas individu jenis darah A:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Perlu menghindari makanan yang daripada produk susu dan daging
• Dianjurkan menjadi vegetarian atau mengambil makanan berkadar karbohidrat tinggi, namun rendah lemak
• Mengurangkan stres dengan bermeditasi, atau berolahraga
• Cukup beristirehat

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air putih dicampur jus limau nipis dan oat
Snek: Jus anggur / kopi
Makan Tengah Hari: Salad dan roti gandum satu potong serta teh herba
Snek: Kuih beras dua potong dan teh hijau
Makan Malam : Pasta tanpa daging campur brokoli, yoghurt dan teh herba

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘B’

Berbeza dengan individu darah jenis A, individu darah jenis B lebih fleksibel. Teori Dr. Peter J.D’Adamo menyarankan golongan jenis darah ini menghindari makanan beku atau makanan dalam tin manakala sangat menganjurkan makanan berasaskan susu yang memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.

Ciri khas golongan darah B:

• Dianjurkan untuk melakukan diet dengan berbagai-bagai variasi makanan, namun perlu menghadkan pengambilan daging.
• Disarankan mengambil makanan dan minuman berasaskan susu untuk meningkatkan sistem imunisasi badan.
• Olahraga yang sesuai dilakukan adalah berenang, bermain tenis, berjalan kaki dan bermeditasi.
• Untuk mengatasi stres, disarankan memiliki hobi dan aktiviti berasaskan kreativiti.

Pemilik golongan darah B sangat mudah terhadap penyakit berkaitan imunisasi dan serangan virus, mereka disarankan agar mengambil sayuran hijau yang kaya magnesium dalam kuantiti yang banyak.
Makanan yang dianjurkan adalah daging lembu, kambing kibas, arnab, ikan laut, semua produk susu kecuali ‘blue chesse’ dan aiskrim, telur ayam organik dan ayam kampung, minyak zaitun, beras merah, beras putih, makanan berasaskan beras dan buah-buahan.

Manakala makanan yang perlu dikurangkan pengambilannya adalah ayam, ketam, udang, kerang-kerangan, telur puyuh, telur itik, minyak bijan, minyak jagung, minyak biji matahari, minyak kacang tanah, minyak soya, kelapa, santan, soya, kacang tanah, biji bunga matahari, biji labu, bijan, kacang pistacio, tempe, tauhu, kacang merah, makanan berasaskan gandum, mi segera, beras pulut, jagung, lobak, tomato dan jagung.

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan: Bijirin dan buah pisang beserta segelas susu tanpa lemak
Snek: Jus anggur
Makan Tengahari: Sepotong dada ayam dan dua potong roti beserta salad dan teh herba
Snek: Jus limau/yogurt dan teh herba
Makan Malam : Sepotong ikan salai, sayur rebus, buah-buahan segar dan teh herba

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘AB’

Pola makan pemilik golongan darah AB adalah gabungan antara pola makan golongan darah jenis A dan B. Penyakit yang berisiko dijangkiti adalah sinus, infeksi telinga, dan gangguan saluran pernafasan. Pengambilan jenis makanan yang dianjurkan adalah hidangan laut, semua jenis telur (kecuali telur itik), susu fermentasi (melalui proses penapaian), minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak kacang tanah, kacang tanah, semua jenis sayuran kecuali jagung, taugeh dan cendawan dan semua jenis buah-buahan kecuali jeruk.

Golongan daripada jenis darah ini, harus menghadkan pengambilan daging lembu, udang dan ikan laut, susu dan semua produk susu serta daging yang diproses. Makanan berasaskan kekacang pula perlu diambil dalam kuantiti sedikit. Kurangkan pengambilan berasaskan gandum seperti roti, kek, kuih-muih dan pasta.

Ciri khas individu jenis darah AB:

• Memiliki sistem pencernaan yang sensitif
• Disarankan untuk mengambil makanan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap
• Untuk lebih bertenaga olahraga pada setiap pagi digalakkan

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Air limau nipis, jus anggur, roti dua potong beserta satu potong keju
Snek : Yogurt
Makan Tengahari : Dada ayam empat hirisan, salad, dua biji buah plum dan teh herba
Snek: Kek keju dan teh herba
Makan Malam : Omelet dan salad buah serta kopi

DIET UNTUK GOLONGAN DARAH ‘O’

Dr. Peter J.D´Adamo menyarankan agar pemilik darah jenis O lebih banyak mengambil makanan berprotein tinggi, mengikut diet rendah karbohidrat dengan pengambilan ikan atau daging (kecuali daging yang diolah) serta sayur-sayuran yang banyak, telur dan kacang namun menghindari produk susu dan gandum. Beliau turut menyarankan agar pemilik darah jenis ini menghadkan pengambilan buah-buahan.

Pemilik darah jenis O harus menghindari semua jenis bijirin, pasta dan nasi. Dr. Peter J.D´Adamo turut menyenaraikan jenis makanan yang perlu dihindar seperti sayur brokoli, sawi, taugeh, terung, cendawan, dan kentang. Bagi pemilik darah jenis ini, telur, susu, gandum dan kekacang tidak diperlukan memandangkan tubuh telah mendapat khasiat daripada sumber daging.

Hindari jeruk kerana ia mampu mendatangkan keracunan usus kepada golongan darah jenis ini.

Ciri khas golongan darah O:

• Memiliki sistem imunisasi tubuh yang lebih tinggi berbanding golongan darah jenis lain
• Mudah mengadaptasi berbagai makanan
• Untuk mengatasi tekanan, disarankan melakukan aerobik
• Dianjurkan untuk mengambil makanan berprotein tinggi dan rendah karbohidrat, seperti daging, buah-buahan, ikan, sayuran
• Berisiko terkena radang dan kerosakan organ seperti arthritis jika makanan yang diambil tidak bersesuaian

Menu diet yang dianjurkan:

Sarapan : Dua potong roti bakar lapis mentega dan sebiji pisang
Snek : Teh herba
Makan tengahari: Sepotong daging panggang, salad bayam dan epal
Snek : Sepotong kuih
Makan Malam : Sepotong daging lembu dan asparagus yang direbus, kentang rebus, buah-buahan dan teh herba

Hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Peter J.D´Adamo ini adalah suatu yang baru dan masih terdapat pertikaian daripada pakar pemakanan. Justeru, tidak melihat kepada jenis darah, apa yang lebih utama adalah mengamalkan pemakanan yang sihat.

Pemakanan sihat hakikatnya adalah mengenai memenuhi keperluan pemakanan harian dan pada masa yang sama, mengelakkan kekurangan atau berlebihan zat yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit yang berkaitan dengan pemakanan tanpa mengira jenis darah individu. Ia meliputi membuat keputusan yang bijak tentang apa jenis makanan yang harus dimakan dan bagaimana mengamalkan tabiat makan yang sihat. Justeru, terpulanglah kepada anda sama ada ingin mengadaptasi saranan Dr. Peter J.D´Adamo ataupun tidak.


**** Selepas ini bolehlah mengamalkan diet yang sesuai untuk diri kita.


Pengikut ASYIQ