JellyPages.com

.:namaku...:.

AHLAN WA SAHLAN

Sebuah blog yang tiada apa....cuma cebisan kenangan sepanjang kehidupan saya.

Semua cerita...mungkin tiada apa utk orang lain...tetapi amat berharga utk saya.

Friday, October 30, 2009

Dedikasi untuk aaryani!

Assalamualaikum...

Menjelajah ke blog kawan-kawan petang tadi.....terbacalah entry kak yan (aaryani) tentang betapa minatnya dia dengan lagu Anuar Zain - Ketulusan Hati yang kini sering berkemundang di Astro Oasis. Tak sangka pulak.....minat saya dengan kak yan sama!!!! Saya juga meminati lagu ini yang telah "dioasiskan" (betul ke ayat nih...?)

Dahulu masa Anuar Zain menyanyi dan berkumandang di radio atau tv tak pula terasa getaran lagu nih...tetapi sekarang amat terasa. Lagu ini seolah2 ada belati yang menusuk tajam di sudut hati!!

Untuk kak Yan...saya telah usahakan untuk download lagu ni dari Youtube petang tadi. Tidak dipaksa tapi atas kerelaan saya sendiri......terimalah ye Kak Yan....sebagai tanda persahabatan maya kita.

Sebahagian besar yang menghantar komen di blog kak Yan juga ada yang tidak pernah menonton lagu ini kerana tidak ada Astro Oasis. Jadi saya uploadkan video klip ini untuk tatapan anda semua juga.....


Lagu ini juga saya dedikasikan untuk semua rakan blogger yang setia bersama saya selama ini....hayati senikatanya....moga dapat menyentuh hati dan perasaan!! Hanya Allah sahaja yang memahami betapa rindunya saya untuk menjadi tetamu Allah......bilakah agaknya saya akan dijemput untuk pergi ke sana. Beruntung buat anda semua yang telah menjejaki kaki ke sana.....bersyukurlah.


video

Yang ada astro oasis bolehlah membuka channel 106 setiap hari antara pukul 6.00 pagi hingga 6.30 pagi. Sebaik sahaja dikeudarakan lagu Munajat oleh arwah Ustaz Asri pasti akan disusuli dengan lagu ini yang didedikasikan untuk jemaah2 haji kita yang akan berangkat ke Tanah Suci. Biasanya saya akan pasang sementara menemani kami sekeluarga bersiap2 untuk keluar kerja dan ke sekolah.....buat santapan rohani!!



Tuesday, October 27, 2009

Dapat 700 keping VCD Naruto!!

Assalamualaikum...

Berdasarkan entry saya yang lepas....saya ada berhutang "satu rahsia" dengan rakan2 blogger semua. Siapa kacau Shoutbox saya.? Saya seakan sudah tahu jawapannya tetapi tak ada bukti yang sahih. Yang pastinya pelajar berkenaan tak tahu menahu pun tentang "bog", malah tak tahu langsung pun ttg address blog saya......secara jujurnya dia mengaku bukan dia yang membuat onar di Shoutbox saya. Saya yakin dia benar......(katanya kat rumah saya mana ada internet.....nak pegi CC pun mana ada duit.....nak buat folio guna komputer hari tu pun jenuh minta tolong orang lain...) Antara kami pun dah clear....saling menyucikan hati dan bermaafan.....kita kan manusia biasa.


Kesimpulannya....saya sudah mengadu kepada Allah. Saya sudah luahkan segalanya. Selebihnya saya sudah bungkus semua masalah ini dan serahkan bulat-bulat p Allah....biarlah Dia sahaja yang mengadili semua perkara. Biarlah Allah yang menentukan semua perkara. Nak berburuk sangka pun tak boleh...tak pasal2 dapat dosa kering. Setuju semua kan...? Serahkan sahaja pada Allah. Yang mana baik, baiklah Allah balas, yang mana buruk, buruklah nanti balasannya. Kita sebagai manusia mana boleh menentukan segalanya.

Selesai di situ..... .


*********

******

***

*

Tengahari tadi sekembali dari sekolah, Fahem mengeluarkan sekeping VCD Naruto dan menghulurkannya kepada saya.

"VCD Naruto ni Fatin Syazwani yang kasi hadiah kat Fahem....dia kata hadiah harijadi"

"Hadiah harijadi? Birthday Fahem kan bulan dua...nape sekarang baru dapat?" kata saya sangsi dengan jawapannya. Bimbang juga takut dia mencuri atau membawa balik VCD kawan-kawan tanpa kebenaran.

"Dia kata bulan dua dulu dia tak sempat kasi...hadiah harijadi boleh kasi selalulah ibu....beri dua tiga kali pun tak apa...." katanya petah, siap berfalsafah lagi tentang hadiah harijadi.

"Kalau ibu tak caya tanya kak ngah...kak ngah nampak Fatin kasi VCD ni kat Fahem". Kak Ngah mengangguk tanda bersetuju dengan pengakuan adiknya.

"Bukankah VCD tak boleh dibawa ke sekolah? Barang larangan kan...?" tanya saya lagi. Kurang berpuas hati.

"Sekolah kak ngah tak kisah pun...lagi pun bukan nak tengok kat sekolah. Simpan dalam beg je...pas tu bawak balik. Ramai budak buat macam tu....lagi pun cikgu tak rampas pun....cikgu pun tak pernah kata tak boleh bawak...." tegas kak ngah penuh yakin.

"Peraturan disiplin bukan hanya yang terkeluar dari lidah cikgu....peraturan sekolah termaktub dalam Buku Peraturan Sekolah. Ni mesti tak khatam buku tu...." kata saya.

"Tak pe ibu....jangan susah hati. Lagi pun bersedekah ni kan amalan terpuji. Ibu selalu kata....darab ngan 700 kan??? Maknanya Fatin nanti dia dapat 700 VCD kat akhirat. Banyak pahala dia." tambah Fahem.

Saya hilang kata-kata.

Terpana dengan pukulan maut Fahem.

Inilah akibatnya kalau Islam hanya difahami secara serpihan. Mujur kamu baru kanak-kanak berumur 8 tahun...kalau kak longnya yang menuturkan ayat tersebut maunya saya terus pengsan.

Aduhai anak....

Masih banyak yang perlu aku sumbat maklumat!!

Sunday, October 25, 2009

Kena tampar VS Kena Cubit!

Assalamualaikum....

Meja saya di bilik guru berkembar dengan meja Ketua Guru Disiplin Sesi Petang. Jadi kiranya kami adalah dua orang guru yang memegang jawatan yang sama...cuma bezanya dia di sesi petang dan saya di sesi pagi.

Suatu pagi Pengetua masuk di bilik guru. Dia ternampak sebilah rotan kecil yang terletak di atas meja Puan S....guru yang bersejawatan dengan saya. Rotan tersebut tidak pernah pun digunakan oleh Puan S.....ada di situ pun sebagai hiasan sahaja, katanya sebagai tangkal. Sekarang kan dah tak boleh guna rotan di sekolah.


"Wah....dua orang guru disiplin ni ada rotan nampaknya...." tegur pengetua sambil membelek2 rotan kecil yang nilainya RM1.50 kut di pasaran.


"Kami tak pernah guna pun....ada kat situ dah lama dah. Puan S kata buat tangkal!" balas saya sambil tersenyum.


"Kat rumah saya ada rotan ni.....masa anak2 kecil dulu rotan memang saya simpan di rumah. Anak2 perlu dirotan kalau melakukan kesalahan besar.....tak solat ke, menipu ke, mencuri ke, memang mereka kena rotan. Tak boleh mendidik kalau tak ada rotan bah...." katanya dalam loghat Sabah yang pekat.


"Saya tak ada rotan tapi guna hanger..." celah Penolong Kanan yang turut berada di situ. "Kalau kesalahan kecil saya cubit jer...." tambahnya lagi.


"Mak saya pesan kalau kita tampar atau cubit....kita boleh control sebab kita dapat rasa kesakitan tangan kita semasa menampar atau mencubit" tambah Penolong Kanan lagi sambil tersenyum.


"Betul.......tengoklah budak2 sekarang ramai yang sudah rosak. Sebabnya....mak dan bapa langsung tidak menggunakan rotan...terlalu berlembut, sokong anak....bila anak dah rosak, angkat tangkat tanda "mengaku kalah" bila dah tak boleh ubah perangai anak." Pengetua menambah dengan bersemangat.


"Ada pula yang datang ke sekolah merayu pada cikgu suruh tunjuk ajar anak dia orang...." Penolong Kanan pula mencelah.


Saya yang dari tadi asyik mendengar turut tersenyum. "Saya pun ada rotan di rumah....sangkut aje di dinding buat tangkal juga. Selalunya saya "getu" (cubit yang kuat) sahaja bila dia orang buat salah. Anak yang kecik tu memang malas solat....saya kata kalau dah sepuluh tahun masih malas solat terpaksalah saya rotan....itu pesan Nabi kan?"

********

*****

**

*


Sekolah saya memang terkenal di daerah sebagai sekolah berprestasi akademik yang agak memuaskan berbanding dengan sekolah harian biasa yang lain. Namun begitu tahap disiplin tidaklah berada di tahap sifar....salahlaku yang pelbagai jenis kerap berlaku.


Namun begitu ibu bapa sekarang amat menjaga kemanjaan anak mereka. Kadang2 langsung tidak boleh ditegur. Bila mereka melakukan salahlaku.....mereka dipanggil mengadap kita. Tarik muka....jawab acuh tak acuh....melawan....semuanya mencabar kesabaran kita. Kita adalah manusia biasa.....kadang2 bila berhadapan dengan tingkahlaku yang sebegitu hilang juga kesabaran kita.


Saya akui saya amat tegas dengan anak2.....yang boleh dikatakan boleh dan yang salah tetap akan menerima hukuman. Saya akur sekiranya anak saya dihukum oleh guru sekiranya dia betul2 melakukan kesalahan di sekolah....biarlah menjadi "mata" dan "telinga" untuk saya sewaktu anak2 saya di sekolah. Namun begitu ibubapa lain tidak begitu. Bukan semua....


********

*****

**

*

Saya masih ingat peristiwa semasa saya dalam darjah enam...tahun 1983. Seorang guru lelaki masuk ke dalam kelas mengajar Bahasa Melayu. Entah kenapa mungkin hari tu dia tidak sihat....dia minta kami buat kerja sendiri. Lalu dia tidur di meja guru.....


Murid2 dalam kelas hingar bingar. Ada yang berlari ke sana ke mari dan ada yang buat kumpulan bersembang. Maklumlah kerja sekolah tak ada....apa lagi, bersembanglah. Saya duduk di belakang seorang murid lelaki...Fadhil nama dia. Ingat lagi.


Fadhil memang suka duduk di atas bangku dan "menjongketkan" dua daripada kaki bangku. Ada seorang budak lelaki lain datang dan menarik bangku yang sedang "dijongketkan" oleh Fadhil. Apa lagi si Fadhil pun jatuh ke belakang dan meja saya pun terbalik.....habis tunggang langgang. Kelas jadi riuh rendah. Ada yang ketawa....ada yang menjerit.


Cikgu tadi terjaga dari tidur. Merah padam muka dia....(bukankah ada orang yang akan jadi panas baran kalau tidurnya terganggu...?) Dia meluru ke arah kami. Saya pula tengah tertunduk2 mengangkat meja yang terbalik. Fadhil pula dah siap mengalihkan bangkunya dan duduk diam.


Cikgu tadi meluru ke arah saya lalu ditamparnya saya di pipi kiri dan kanan tanpa usul periksa. Merah kedua-dua pipi saya. Murid2 lain juga semua diam. Seorang pun tak berani bercakap walau sepatah.


"Cikgu....bukan saya yang menjatuhkan meja ni.....meja ni ......." kata saya terketar2 bertujuan menerangkan situasi sebenar. Satu tamparan lagi singgah di pipi saya. Berbekas lima jari di pipi saya.


"Diam kamu...dah salah tak mahu mengaku...." katanya sambil menjerit.


Airmata saya laju membasahi pipi. Cikgu tersebut terus angkat kaki keluar kelas.


Berkali2 Fadhil minta maaf dengan saya. Murid yang menarik bangku Fadhil juga minta maaf. Tiga kali tamparan "pedas" cikgu itu membuatkan saya hilang kata2...hanya airmata yang membasah pipi. Teresak2 lagi. Semua kawan2 perempuan memujuk saya.


Peristiwa tersebut tamat di situ. Saya balik ke rumah dengan pipi merah. Ayah ada bertanya....emak juga ada bertanya tapi tak berani nak jelaskan apa sebenarnya yang berlaku. Saya tipu mak dan ayah....saya kata kena tahi ulat. Gatal kononnya.....pura2 tergaru-garu. Saya pula tak mengadu kat mana-mana guru lain bahawa saya kena tampar. Masa tu rasanya title Guru Disiplin pun tak ada. Saya tak ingat siapa guru disiplin saya. Pada saya semua cikgu adalah guru disiplin.


********

Baru2 ni pula dalam dewan sekolah, Program Selepas PMR berlangsung. Sebagai seorang guru disiplin saya sentiasa mengawasi tingkahlaku anak murid saya. Saya ada menerima aduan dari Penolong Kanan yang ada beberapa orang murid datang sekolah dengan "bermake -up"....pipi berfoundation, bibir bergincu, mata dicabut bulu kening, bulu mata bermaskara......semua itu telah termaktub dalam buku disiplin sebagai satu salahlaku disiplin. Cuba bayangkan kalau semua murid perempuan bersolek....hilanglah tumpuan mereka untuk belajar.


Saya nampak salah seorang pelajar perempuan tersebut. Saya nampak juga dia memakai sebuah jam tangan besar....jam tangan yang tak sepatutnya mereka pakai ke sekolah. Lagaknya dipakai oleh artis2 remaja. Saya panggil seorang pengawas untuk memanggil murid tersebut. Panggilan pertama.


Murid tersebut terus menyimpan jam tangan besar tadi ke dalam beg sekolah. Saya nampak dia melakukannya dari jauh. Kemudian mengeluarkan tisu mengelap kelopak mata (mungkin nak mengelap maskara yang dipakainya pagi tadi). Dia tetap tidak berganjak dari tempat duduknya.


Saya panggil lagi pengawas yang lain untuk memanggil dia datang berjumpa saya. Murid tadi terus kaku di tempat duduknya walau pengawas tadi berdiri tercegat di sebelahnya. Panggilan kedua pun dia tidak datang.


Saya membuat isyarat jari kepada pengawas tadi untuk memanggilnya buat kali ketiga. Dia tetap kaku di tempat duduknya. Kemudian dia bangun menuju ke arah kumpulan kawan-kawannya yang lain.....berbisik2 dan merenung ke arah saya. Panggilan ketiga juga gagal....dia tidak datang terus berjumpa saya. Saya mula naik geram.


Saya bangun dan terus menuju ke arah murid tersebut. Apabila dia nampak saya....dia cuba lari ke arah keluar dewan. Saya berlari2 anak mengejar dia.....hati saya betul2 panas masa tu. Apabila saya mendekati dia, saya pegang bahu dia.....dia berpaling. "Kamu dengar tak saya panggil kamu??????" kata saya sambil mencubit perutnya. Barulah dia berhenti berjalan. Apabila telah dicubit barulah dia mengekori saya, barulah panggilan kali ini dia patuhi. Maknanya panggilan yang keempat!! Ya, panggilan yang keempat!!! Dapatlah sikit "upah" saya berpenat lelah mengejar dia. Kena cubit di perut.

Setelah disoal siasat....ada empat salahlaku yang dilakukannya....semuanya termaktub dalam buku disiplin sekolah. Nampak riak diwajahnya...dia tidak suka saya mencubit perutnya.


*******

****

**

*

Rupanya cerita itu tidak tamat di situ. Dia ada mengadu pada seorang "guru" lain bahawa dia kena cubit dengan saya. Saya tahu dia mengadu kepada guru tersebut.....ada maklumat sampai kepada saya. Minta dikasihani. Tak berpuashati.

Esoknya pula ada seorang "muridmu" meluahkan catatan di blog saya di ruang Shout Box saya. Dua kali dia melahirkan ketidakpuasan hati dia. Saya bukan percaya 100% bahawa ianya ditulis sendiri oleh murid berkenaan tetapi hati kecil saya seolah2 membenarkan bahawa "muridmu" adalah bukan murid yang saya cubit itu. Mungkin ada perkara lain yang berselindung disebaliknya. Selalunya hati kecil saya jarang silap. Saya perlu menyiasat. Saya tak sabar nak menunggu hari Isnin.....teka teki ini harus segera ada jawapannya.

Inilah salah satu kelamahan saya....mudah marah. Saya tahu kelemahan diri saya ini boleh menjerumuskan diri saya kepada perkara yang "tidak enak" sebagai seorang guru disiplin. Saya tidak malu untuk mengakui kelemahan saya di sini. Saya bukanlah manusia sempurna....kerana saya hanyalah manusia biasa.


Pada saya denda "dicubit" bukanlah satu hukuman "mati" yang terlalu teruk. Saya sendiri pun pernah kena lebih teruk dari itu.....atas kesalahan yang bukan saya lakukan. Namun begitu atas kerelaan saya ditampar walaupun bukan atas sebab saya bersalah.....maka saya menjadi "manusia" seperti sekarang. Saya mahu jaga maruah cikgu saya ketika itu. Perkara tersebut saya tak ingin besar2kan...malah tidak berdendam pun. Sampai sekarang saya tetap senaraikan cikgu tersebut sebagai manusia yang tergolong dlm doa2 saya....."li masha i khina" yang saya mohon kesejahteraannya di dunia dan di akhirat setiap kali selepas solat.


Kita tunggulah hari isnin nanti.....mungkin ada cerita baru. Itu pun kalau murid tersebut datang ke sekolah.....

*******

****

**

*



Saturday, October 24, 2009

Syahdu...

video

Kadang-kadang lidah sukar melafazkan
Kesyahduan bertemuMu ya Rabb
Hanya hati dapat merasa
Betapa manisnya kasih dan cintaMu

Ya Allah...
Matikanlah aku dalam iman dan islam
Matikanlah aku dalam lautan kasihMu
Matikanlah aku dalam taufik dan inayahMu
Matikanlah aku dalam mardhiahMu

Masukkanlah aku ke dalam syurgaMu...


Bisikan hati
Subuh Sabtu yang
.....hening
.....syahdu.

...

..

.


Tuesday, October 20, 2009

Ibu beranalogi pulak...

Assalamualaikum...

Hari Jumaat bertarikh 9hb Oktober 2009 merupakan hari ketiga anak sulung saya menduduki PMR...hari ni hanya kertas Geografi, bermula pukul 8.10 dan berakhir 9.25 pagi. Seperti biasa seawal pukul 6.40 pagi kami sudah bersiap sedia untuk ke sekolah. Jarak antara sekolah dan rumah yang hampir 20 kilometer menjadikan saya bergerak awal setiap pagi. Itu adalah rutin biasa.....singgah dahulu di sekolah rendah menghantar kak ngah dan fahem. Biasanya mereka di antara lima orang pelajar sekolah itu yang sampai paling awal ke sekolah.....itulah kedudukan yang sering diwar2kan oleh pak cik jaga sekolah yang setia sentiasa berkhidmat. Dialah yang banyak berjasa kerana tolong mengawasi kedua orang anak2 saya itu sebelum sesi persekolahan bermula.


Biasanya saya akan sampai di sekolah pukul 7.05 pagi. Entah kenapa lebih kurang lima kilometer saya keluar dari rumah....kesesakan jalanraya bermula. Saya terus memotong barisan dengan memasuki lorong motorsikal.....alhamdulillah saya berjaya terus ke hadapan lebih kurang tiga kilometer. Kereta2 lain pun ada yang mengekori dibelakang saya....kalau kena saman, nasiblah! Yang penting saya perlu segera melepasi kesesakan ini.....


Masih samar apakah yang berlaku di hadapan. Dalam hati sudah mengagak adanya kemalangan jalanraya. Kak long dah mula gelisah. Saya pun gelisah juga....tapi mesti lebih "cool" dari dia, kalau tidak dia lebih risau. Saya meminta dia bertenang....banyakkan berselawat, jangan merungut dan saya pula dalam keadaan getir tersebut membanyakkan membaca selawat tafrijiyyah dan membaca ayat seribu dinar....mohon Allah beri jalan keluar. Kertas Geografi bermula pukul 8.10 pagi.!!!!!

Dalam kekalutan...kawan satu sekolah menghantar SMS kepada saya...."akak terlibat dlm jem tak?? Saya di depan SEMESTI lagi...." Dia satu-satunya rakan sekolah yang tinggal berhampiran dengan rumah saya.....rupanya dia berada lebih kurang tiga kilometer dari kedudukan saya sekarang. Saling berbalas SMS.....jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Hati bertambah risau. Namun begitu aliran kereta bergerak bagaikan semut.....sempatkah aku????

Syukur alhamdulillah.....akhirnya lebih kurang 7.40 pagi saya sudah nampak lokasi kemalangan tersebut. Sebuah lori mengangkut kelapa sawit terbalik di tengah jalanraya....terburai habis semua isi perutnya. Sebuah lagi lori tangki juga berada di lorong bertentangan.....menyebabkan hanya ada sedikit ruang untuk kenderaan lalu lalang. Polis trafik melepaskan laluan secara bergilir-gilir....alhamdulillah, laluan motorsikal yang saya ikuti tadi agak laju pergerakkannya kerana kebetulan jalan yang terbuka berada di hadapan laluan kami.....merah berseri kembali wajah anak saya.....hati saya juga berbunga riang!! Syukur ya Allah.

Kata2 syukur tak putus keluar dari mulut kami berdua. Ceria sungguh dia....yang penting dia sempat masuk dewan sebelum pukul 8.10 pagi!!

"Sebuah lori sawit kalau accident mestilah penuh atas jalanraya dengan buah sawit kan???"kata saya.

"Mestilah ibu....takkanlah lori sawit yang accident, yang penuh atas jalanraya buah durian pulak kut...hihi" kak long membalas persoalan saya dalam nada berbaur lucu.

"Betul....kalau lori sawit accident.....yang penuh atas jalanraya mestilah buah sawit, kalau lori angkut durian yang accident...yang penuh atas jalanraya mestilah buah durian. Kalau lori angkut bunga dari Cameron Highland yang accident mestilah yang bertabur atas jalanraya mestilah bunga2 harum mewangi.....dan kalau lori sampah yang accident...mestilah yang berterabur atas jalanraya mestilah sampah sarap yang busuk kan.....????" saya mengiyakan jawapan kak long tadi.

"Ibu beranalogi lagi???? Apa yang ibu nampak kali ni???" kak long dah mula mengagak apa yang saya fikirkan.

"Kalau kita memiliki sekeping hati yang bersih dan suci....akan kerap keluar dari mulut kita patah perkataan yang manis....sedap telinga mendengarnya...."

"Kalau kita selalu buat perkara yang baik....maka perkara yang baik itu akan jadi tabiat......walau apa yang berlaku dalam kehidupan dia......yang baik jugalah yang akan keluar dari tingkahlaku seseorang....macam lori sampah, walaupun kita tak nampak sampah dalam lori dia, bila berlaku accident......sampah sarap itu akan keluar dan terburai juga di jalanraya!"

"Alahai ibu ni....kak long nak exam Geografi ni.....fikirkanlah apa2 yang ada kaitan dengan Geografi....beranalogi lagi ibu ni...!!!!" kak long cuba mematikan khayalan saya.

"Alah....dengarlah dulu. Mana boleh dah study dalam kereta....relaks2 minda anda sekarang...!" kata saya sambil tersenyum.

"Satu lagi....kalau kita mengamalkan perintah Allah sepanjang umur dengan penuh ketaatan dan kepatuhan serta keikhlasan kepada Allah.....maka kematian kita nanti pun akan diakhiri dengan perkara2 yang baik juga.....kalau seseorang jarang tinggal puasa sunat, mungkin dia akan mati dalam keadaan berpuasa sunat. Kalau seseorang tu suka solat2 sunat di malam hari...mungkin dia akan mati dalam sujud tahajjudnya kepada Allah. Begitu juga sebaliknya....kalau seseorang dah biasa membuang masa berhibur mungkin akhir hayatnya dalam keadaan dia sedang berhibur dan lalai dalam mengingati Allah......." tambah saya panjang lebar.

Kak long mengangguk akur dengan analogi saya....dan tepat pukul 7.55 saya sampai di perkarangan sekolah.

Saya nampak Pengetua, Penolong Kanan dan beberapa orang guru berkumpul di hadapan pejabat........

"Ada lima orang budak sekolah kita masih terperangkap dalam kesesakan tu.....bas mereka sangkut bah....."kata Pengetua kepada saya dalam loghat Sabahnya yang agak pekat.

Tepat pukul 8.10 pagi bas sekolah sampai di hadapan sekolah......terkejar2 lima pelajar tadi dengan wajah yang agak sugul. Sempat lagi kami menenangkan mereka.....Pengetua, Penolong Kanan, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Koku semua ada. Betapa prihatinnya pentadbir sekolah saya.....saya amat menghargai keperihatinan mereka semua!!!

Syukur...tepat pukul 8.10 peperiksaan Geografi bermula......analogi saya tamat di situ.

"Kalau boleh saya tak mahu lagi beranalogi pasal "accident"......saya tak mahu perkara ini berulang lagi.....!!!!!"


Tepat pukul 8.45 barulah kawan saya yang menghantar SMS tadi muncul di sekolah.....jauh jarak masanya....walaupun jarak kereta kami tadi cuma tiga kilometer sahaja......nampak sungguh Allah memudahkan perjalanan saya.......syukur ya Allah. Terasa Allah sentiasa di sisi saya.

Friday, October 16, 2009

Akurlah pada kelemahan diri...!

Entry ini adalah entry berjadual. Sebarang komen dan ulasan rakan-rakan akan saya balas sekembali saya dari bercuti nanti. Terima kasih atas keperihatinan kalian semua.

Assalamualaikum semua...

Manusia...dilahirkan dengan pelbagai ragam. Ada manis, ada masam dan ada kelat2 masin. Teringat saya satu slot tazkirah di dalam sebuah kelas......biasanya slot tazkirah ini mengisi ruang selepas amali solat setiap minggu.

Saya minta semua murid mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen. Murid-murid dikehendaki menjarakkan diri mereka di antara satu sama lain. Saya meminta mereka menulis sebanyak mungkin kelemahan diri mereka sendiri....hendaklah jujur, telus dan saya ingatkan bahawa apa yang mereka tulis adalah rahsia. Tidak ada seorang pun di antara kami yang akan melihat hasil tulisan orang lain...hatta saya sendiri.

Suka melihat mereka masuk ke dalam diri masing2....mencatat dalam emosi yang tersendiri. Ada yang nampaknya terlalu beremosi sehingga berkerut wajah. Lima belas minit berlalu.....

"Saya ni teruk ustazah....sebab tu penuh kertas ni saya tulis" tingkas si Minah yang terkenal dengan jujur dan telusnya apabila berbicara.

"Semua orang ada kelamahan diri masing-masing.....mana ada orang yang sempurna!! Saya pun macam awak, masih banyak kelamahan yang perlu saya baiki...." ulas saya secara jujur juga.

*****
***
*

Manusia dilahirkan dengan ego yang bersangatan di dalam diri. Ego yang tinggi menjadikan kita cepat marah dan paling teruk bersifat panas baran. Salah satu cara untuk meleraikan ego ialah dengan mengenal pasti semua kelemahan yang ada pada diri kita sendiri.

Senaraikan semuanya.....secara jujur dan telus.

Kemudian apabila ada orang memuji kita....kita takkan mudah bangga diri kerana kita sentiasa akur akan kelemahan yang ada pada diri kita. Orang nampak kekuatan dan kehebatan kita mungkin dari satu sudut tetapi mereka gagal mengenali kelemahan kita dari sudut yang lain. Hanya kita dan Allah sahaja yang memahami kelemahan diri kita sendiri. Justeru itu kita tidak mudah syok sendiri dengan pujian orang lain kepada kita.....maka terlindunglah kita dari sifat riyak, takabbur dan ujub. Sifat2 ini umpama api dalam sekam....menjahanamkan dan mensia-siakan semua amalan baik yang pernah kita lakukan.

Riyak.....adalah sifat menunjuk-nunjuk kehebatan diri untuk dipandang mulia oleh orang lain. Kita akan menjadi pelakon yang hebat.....pandai berlakon supaya mudah dipandang mulia. Contohnya apabila di hadapan orang lain kita berlagak baik tetapi hakikatnya tidak sebegitu.

Takabbur....adalah sikap membesarkan diri. Dalam apa juga perlakuan dan tindakan kita merasakan bahawa kitalah yang terbaik dan terhebat. Pendapat kita tidak boleh langsung disanggah, diri kita langsung tidak boleh dikritik....kerana merasakan diri kita adalah yang paling hebat mengatasi orang lain. Takabbur juga sudah bertapak dalam diri apabila kita merasakan orang lain terlalu rendah dan hina....yakni suka merendah2kan kelebihan dan kehebatan orang lain. Akulah yang paling hebat....akulah yang paling gah....akulah yang paling canti....akulah yang paling kaya....orang lain tidak dapat mengatasi kehebatan diriku!!! Itulah tuturkata orang takabbur.

Ujub...sifat ini seringkali muncul dalam diri kita. Rasa bangga pada diri sendiri tetapi ianya tidak melibatkan orang lain. Dalam bahasa lain kita panggil "syok sendiri" Duduk bergaya di hadapan cermin kita rasakan bahawa kitalah yang paling cantik ketika itu....

Ketiga-tiga sifat ini boleh menjadikan kita syirik. Ianya termasuk dalam syirik khafi iaitu syirik secara tersembunyi (bukan nyata). Kenapa pula? Sebabnya sifat-sifat ini tidak layak dimiliki oleh manusia...kerana kita sifatnya lemah. Yang hanya layak bersifat seperti ini hanyalah Allah sahaja kerana Allah bersifat Maha Kaya, Maha Perkasa. Oleh itu kita menduakan Allah jika bersifat seperti ini.

Amat sukar mengatasi ketiga-tiga sifat ini kecuali dengan mengenal pasti kelamahan yang ada dalam diri kita sendiri. Kadang-kadang untuk menulis kelamahan diri kita juga merupakan satu kepayahan kerana kita disalut oleh sifat ego yang tinggi. Justeru itu, sewaktu sujud kepada Allah pun hati kita masih sukar untuk ditundukkan kerana kita tidak akur pada kelemahan diri kita sendiri...lantaran itu setitis airmata pun susah digugurkan apabila kita berdosa sedangkan salah satu dari syarat taubat diterima oleh Allah ialah mestilah ada sifat "menyalahkan diri sendiri dan menyesal yang bersangatan kepada apa yang kita lakukan"

Menulis kelemahan diri kita sendiri dan sentiasa menghayatinya adalah satu amalan untuk mengelakkan diri kita marah apabila kita dikritik. Sifat ego dalam diri juga menjadikan kita susah ditegur....kena pula cara teguran yang tidak mengikut seni yang diajar oleh Rasulullah. Jika kita selalu akur akan kelemahan diri kita, kita akan mudah untuk menerima kritikan dari orang lain.....malahan kita merasakan bahawa kita lebih teruk dari apa yang dikritik. Secara positifnya kita akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.

Justeru itu manusia sering berselisih pendapat dan berburuk sangka kesan dari kurangnya akur pada kelemahan diri kita sendiri. Kita tidak akan mudah untuk marah pada seseorang yang melakukan kesilapan kerana kita juga akur tidak ada manusia yang sempurna. Kita juga akan mudah memaafkan kesalahan orang lain. Bukankah hidup kita akan menjadi tenang dan damai...

...sekadar ingin berkongsi rasa dalam mendidik diri sendiri....amiiiin ya Rabb.

Thursday, October 15, 2009

Berehat sebentar!!

Assalamualaikum.....

Syukur tidak terhingga kak long dapat melalui saat2 getirnya dengan tenang...sekarang hanya doa dan harapan agar mendapat keputusan yg cemerlang. Terima kasih juga kepada semua rakan2 blogger yang turut sama mendoakannya. Kalian semua memang baik hati.


Saya suka tengok gambar ni....setiap kali mereka beratur masuk ke dewan peperiksaan sayalah yang akan berdiri merakamkan wajah masam manis mereka bersama debaran dan kegusaran mereka. Inilah di antara wajah2 masyarakat Malaysia yang akan datang. Anak saya??? Dihujung sekali. Sebagai pemegang nama A...A.....,maka dia adalah calon yang pertama dalam senarai calon PMR 2009 di sekolahnya.

Alhamdulillah, banyak sudah perkara merumitkan yang berjaya kami lalui semenjak dua menjak ni....jadi hujung minggu ini adalah waktu untuk bersantai dan merehatkan minda....jauh dari rutin harian biasa. Kami sekeluarga bercuti.....!!! Inilah masanya hendak melegakan semua otot2 yang sudah stress terutamanya dalam tempoh tiga minggu yang lalu.

*******
*****
***
*

Selepas berehat...insyaAllah saya akan kembali ke dunia blogging. Banyak idea dan cerita yang perlu saya kongsikan dengan semua....sarat...mungkin melimpah sudah! Doakan pemergian dan kepulangan kami dengan selamat....amiiin.

Friday, October 9, 2009

Salah bahasakah..?

Pukul 6.00 petang sekembali mengambil Fahem dari sekolah agama rakyat, tiba-tiba sebuah motorsikal yang dipandu oleh seorang pemuda India masuk ke perkarangan rumah. Berdecit-decit bunyi motorsikal tu...kasar sungguh cara pemanduannya.

Kawasan rumah (kuarters kolonial/dipunyai oleh majikan tempat suami tumpang bekerja) yang kami tinggal ini adalah sebuah rumah sebuah-buah yang 'mungkin' layak digelar banglo oleh sesetengah orang lain...mirip zaman penjajah sebelum merdeka. Antara sebuah rumah dengan rumah yang lain jaraknya memang jauh....dan hanya dipagari oleh pohon buluh renik yang jarang dijumpai dimana-mana. Tetamu yang datang ke sini juga mestilah berdaftar di pintu masuk utama....maksudnya kawasan ini terlalu 'privacy'

Dari mana pemuda bermotorsikal ini datang? Siapa yang membenarkannya masuk ke kawasan perumahan ini?? Hati saya berkata-kata....

Tergesa-gesa dia meluru kearah saya.

"Saya datang mahu kutip derma!!" katanya sambil tersengih.
"Tak lama lagi Deepavali....kami mahu beli kambing...sembahyang untuk Tuhan" sambungnya.

Terkedu saya sebentar. Mata saya melirik kepada pemuda tersebut. Perkataan "sembahyang untuk Tuhan..." menjadikan saya amat teruja!! Sungguh.

Di tangan pemuda tersebut terdapat sebuah buku tulis yang sudah lusuh.....mungkin mencatat nama-nama penderma yang memberikan sumbangan. Di dalam buku tulis itu juga terdapat beberapa keping duit bernilai RM10 dan RM1. Dalam lingkungan kurang dari Rm100. Dia menunjukkan kepingan ringgit itu kepada saya sambil menjelaskan ianya adalah hasil kutipan dari rumah-rumah yang berdekatan.

"Saya minta maaf....kalau awak minta derma atas dasar 'kemanusiaan' saya boleh bantu.....tapi kalau atas dasar................." ayat saya mati di situ apabila dia terus menyampuk pantas.

"Kiranya saya ni binatang ke......tak boleh kasi derma???"

Menyirap darah saya dengan kebiadapan pemuda tersebut. Merah muka menahan rasa geram!!

"Awak dengar dulu cakap saya.....awak faham tak makna "kemanusiaan"???" suara saya ditinggikan sedikit, ada nada ketegasan di situ.

Dia mengangguk. Diam.

Saya terus menyambung....."Derma kemanusiaan maksudnya derma untuk membantu kamu sekiranya kamu ketiadaan makanan, ketiadaan tempat tinggal, terlalu miskin.....maka agama saya suruh keluar derma untuk bantu kamu...."

"Tapi kalau bertujuan untuk agama kamu, untuk membeli kambing dan disembelih untuk Tuhan kamu maka agama saya melarangnya....." Agama saya juga melarang kami meminta derma dari kamu untuk tujuan meraikan upacara dalam agama saya...."

"Jadi saya minta maaf sebab saya tidak dapat membantu....saya harap kamu faham dan jangan salah sangka"

"Oooo...itu macam ka? Saya juga minta maaf...kakak jangan marah ya..!" katanya.

"Macam mana awak boleh masuk kawasan ni??" tanya saya inginkan kepastian. Selama 5 tahun saya menetap di sini, tak pernah lagi berlaku peristiwa sebegini.

"Itu guard duty...kawan saya jugak!!" katanya sambil tersenyum.

"Awak datang dari mana?" tanya saya lagi merisik....

"Sana....Hutan Melintang mariiii...." katanya sambil menghidupkan enjin motorsikalnya.

"Terima kasih kakak...." katanya sambil berlalu.

Dari jauh saya dengar motorsikal itu berhenti di halaman rumah sebelah....lebih kurang 100 meter dari halaman rumah saya. Sayup2 saya mendengar suaranya memanggil tuan rumah. Senyap. Tiada kedengaran tuan rumah menyahut panggilannya. Saya pasti tuan rumah sentiasa ada di rumah. Kenapa tuan rumah mendiamkan diri??

Adakah tuan rumah yang satu bangsa dan satu agama dengannya juga mengeluarkan derma hanya untuk "bantuan kemanusiaan" juga???? Hati saya tertanya-tanya.

Senyum sendiri.

Adakah jawapan untuknya tadi wajar dilafazkan oleh saya...? Kalau tidak wajar apa jawapan yang sepatutnya??

Sunday, October 4, 2009

Semoga berjaya kak long...!

Assalamualaikum w.b.t......kini tibalah masanya pula saya dedikasikan entry ini khusus untuk anak sulung saya...Aini Atirah atau lebih dikenali sebagai kak long di kalangan adik beradiknya dan Aini di kalangan sahabat dan sepupunya. Dilahirkan pada 7.11.1994 iaitu sempena ulangtahun perkahwinan kami yang pertama. Kak long memang anak bertuah...kerana sedari dia dalam kandungan saya lagi dia sudah berada di universiti. Saya yang pada masa itu sedang beada di tahun akhir pengajian di Akademi Islam Universiti Malaya. Berkahwin awal di dalam usia 22 tahun dan berada di kampus sewaktu mengandungkan kak long merupakan pengalaman 'termahal' yang saya miliki yang mungkin tidak dapat dirasai oleh orang lain. Mungkin atas dasar ini juga kak long membesar sebagai anak yang pintar, cerdas dan bijak sedari kecil lagi.

Ini adalah gambar Aini dalam usia 5 bulan, sewaktu dipelihara oleh emak saya di rumah abang saya di Ampang....sewaktu itu saya sedang menduduki peperiksaan tahun akhir....April 1995. Emaknya yang pemalu itu hanya menampakkan cermin mata besar sahaja...yang menjadi trend pada masa itu...hihi. Nampak sikit aje yer....

Aini...memang dikenali sebagai kanak-kanak pintar sedari kecil lagi. Dia dikenali sebagai kanak-kanak bermata bulat yang pandai menyanyi lagu-lagu nasyid Raihan. Kebanyakkan lagu Raihan dalam album pertama semua dihafalnya sedari usia tiga tahun lagi.....iaitu dalam tahun 1997. Dalam bahasa yang belum fasih....dia akan berdiri menyanyi dengan beraninya. Amat mengejutkan kerana sebuah lagu Raihan dalam bahasa Iban pun mampu dihafalnya.....dan amat mengejutkan lagi dia mampu menghafal lagu "Kuch Kuch Hota Hai" yang pada masa itu sering berkumandang di radio dan tv. Sebelum melangkah ke tahun satu Aini sudahpun membaca separuh dari AlQuran (juz 15) sedangkan pada masa yang sama rakan-rakannya masih belajar kitab Iqra`.


Lihatlah tiga keping gambar ini....pada masa berusia dua hingga tiga tahun....bermata bulat, ceria dan berani. Malu??? Tiada dalam kamus hidup Aini....pada masa tu la. Apa sahaja yang dipinta akan dilakukannya dengan penuh yakin....menyanyilah yang paling disukainya.


Kita layan sahaja gambar-gambar ni.....Aini ketika berusia tiga dan empat tahun. Dia boleh membaca buku dan alQuran seawal usia lima tahun....kebijaksanaannya memang terserlah sedari kecil lagi. Orang kata "anak universiti...memang macam tu..." Kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah atas anugerah ini....

Aini juga kakak yang penyayang...kalau boleh baju yang dipakainya mesti sama dengan baju kak ngah.


Siapa sangka kanak-kanak bermata bulat itu dah membesar dah sekarang...dah menjadi anak dara dah...hihi. Keputusan nekadnya untuk tidak tinggal di asrama sewaktu mendapat 5A dalam UPSR 2006 sedikit pun tidak menjejaskan prestasi pembelajarannya. Dia membuktikan bahawa dia tetap cemerlang walaupun berada di sekolah biasa....katanya yang perlu ialah menjadi "pelajar luar biasa di sekolah biasa..." Matematik adalah subjek yang paling diminatinya. Sehingga sekarang dia mampu mencapai 100% markah dalam Matematiknya...dan bercita-cita untuk memperolehi PHD dalam bidang tersebut. Sedangkan ibu dan ayahnya menanam impian untuk dia menjadi seorang doktor perubatan....walau bagaimana pun kami memberikan sepenuh kebebasan untuknya memilih bidang yang diminatinya. Mana tahu...tiba masa nanti minatnya akan berubah.


Kak long....ibu, ayah dan adik-adik mendoakan yang terbaik untuk kak long. Mesti tenang dan teliti. Kami yakin kak long sudah bersedia...buatlah yang terbaik. Moga Allah kurniakan kejayaan yang diberkatiNya pada kak long....dalam PMR 2009 nanti. Kata ayah, sekiranya kak long muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik PMR 2009 SMK Convent Teluk Intan....kak long akan menerima hadiah besar tahun hadapan!!! Usahalah yang terbaik....moga Allah memberkatinya. Mohon jasa baik rakan-rakan blogger sekalian untuk turut sama mendoakannya....

"Kami semua sayang kak long...."

Thursday, October 1, 2009

Jangan kamu salahkan sesiapa!!!

Alhamdulillah, Oktober menjelang lagi...terasa semakin cepat masa berlalu untuk meninggalkan 2009.

Saya pula terasa sungguh rindu untuk berblog. Entry pula dh semakin kurang. Bulan September dan Ogos hanya ada 6 entry sahaja. Berbanding dgn bulan pertama saya berblog....Februari 2009 ada 14 entry dan Mac 2009 ada 24 entry.....

Semakin hilang semangatkah untuk berblog??? Entahlah, kadang2 sempat berblog hanya untuk membaca blog kawan-kawan yg lain dan menghantar komen sahaja.....

Sememangnya saya amat rindu untuk berblog. Jadi hari ini saya buatkan satu entry untuk merasmikan bulan Oktober yang bertuah ini....namun, masa amat terhad dan tidak mengizinkan saya untuk terus berada di sini.

Maafkan saya jika ada yang tak nampak kelibat saya di mana2.....mungkin selepas anak sulung saya menduduki PMR barulah banyak kelapangan. InsyaAllah ada entry khusus untuk dia nanti.

********
JANGAN KAMU SALAHKAN SESIAPA

Di lobi sebuah muzium yang berlantaikan marmar yang cantik, kelihatan sebuah patung yang begitu indah dan halus ukirannya. Pengunjung yang datang dari seluruh pelusuk dunia memuji-muji keindahan dan kehalusan ukiran patung tersebut. Suatu malam, berkatalah lantai marmar kepada patung tersebut....

Lantai: Patung...memang ini tidak adil.! Mereka datang memijak-mijak badan aku tetapi
yang kena puji adalah kamu pula! Memang tak adil!!

Patung: Sahabat...kamu ingat tak bahawa kita berasal dari gunung yang sama?

Lantai: Ya, aku ingat. Kita datang dari gunung yang sama tetapi mendapat layanan yang amat
jauh berbeza.

Patung: Masihkah kau ingat akan seorang lelaki yang datang kepada kamu dan ingin mengukir
badan kamu tetapi kamu tidak mengizinkannya???

Lantai: Mestilah aku ingat. Lelaki yang datang dengan pelbagai jenis peralatan tajam...sakit
badanku diketuk dan ditikam. Siapa yang sanggup??

Patung: Betul...itulah sebabnya dia tidak dapat mengukir badan kamu.....

Lantai: Jadi...??

Patung: Apabila pengukir itu kecewa dengan kamu, dia mula mengukir diri aku pula. Aku merelakan diriku sakit tetapi amat yakin bahawa aku akan menjadi sesuatu yang berbeza suatu hari nanti apabila kerjanya selesai.
Sahabatku....kita perlu berkorban untuk mendapatkan sesuatu. Oleh kerana kamu
mengalah terlalu awal kerana tidak mahu bersusah2 dahulu......maka janganlah marah
sesiapa yang memijak badan kamu sekarang!!!


******
Cerita di atas sebenarnya ada kaitan dengan saya sekarang. Sekarang saya sedang 'bersama' dengan anak sulung saya untuk memberi semangat dan motivasi untuknya menghadapi PMR setelah dahulu bertungkus lumus bersama kak ngah dengan UPSRnya. Jadi saya terpaksa memberi perhatian yang lebih kepadanya dengan mengenepikan beberapa urusan peribadi sendiri. Mungkin pengorbanan ini ada nilai tambahnya kelak...insyaAllah.

Selepas ini barulah selesa saya berblog...hihi.

Pengikut ASYIQ